Sunday, May 28, 2023

Tujuan Puasa Ramadhan

Tujuan Puasa Ramadhan 

Timbul persoalan, apa tujuan dari ibadah puasa? 

Apakah yang ingin dicapai oleh seseorang dari ibadah puasanya? 

Apa perubahan yang diharapkan oleh seseorang setelah  menyelesaikan ibadah puasa?


Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala  dalam firman-Nya,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa". Al Baqarah ayat 183.


Jelaslah bahawa tujuan puasa adalah agar kita menjadi orang yang bertakwa. Dan takwa adalah melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya dan menjauhi larangan Allah dan Rasul-Nya.


Allah Subhanahuwata'ala memberikan tuntunan tentang bekal terbaik dari apa yang mesti disiapkan oleh seorang mukmin sebelum menuju perjalanan akhirat. Dia berfirman,  

   فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ 


Maksudnya:“Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa”. Al-Baqarah Ayat 197


Takwa merupakan sebaik-baik bekalan yang mesti disediakan bagi orang yang beriman dan sebaik-baik pakaian yang mesti dipakai. Takwa juga akan membukakan pintu-pintu barakah dari langit dan bumi, menyinari jalan-jalan kepada orang yang beriman, dari keampunan dan kemudahan serta diberikan daripada yang tidak disangka-sangka dan memberi jalan keluar daripada kesulitan dan kesusahan.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


….وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ…..


Maksudnya:"….Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya...". Al-Talaq ayat 2-3


Firman Allah Subhanahuwata'ala


….وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا


Maksudnya:"…Dan barang-siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. Al-Talaq Ayat 4


Maksud takwa:


Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan”.


Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari”.


Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan”.


Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala”.


Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas”.


Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. 


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ…


Maksudnya:"…Dialah (Allah) yang patut (kita)  bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi ampunan”. Al-Muddatstsir ayat 56.


Tafsiran ayat di atas ialah "Dia (Allah) adalah Rabb yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan berhak memberi ampun,” yakni Dia patut ditakuti dan disembah, kerana hanya Dia-lah Tuhan yang sepatutnya disembah dan patut untuk memberi ampunan pada siapa saja yang bertakwa pada-Nya dan mencari ridha-Nya". Lihat Tafsir as-Sa'di


Initipati Takwa adalah; Takwa seseorang kepada Rabb-nya ialah ia meletakkan antara dirinya dan apa yang ia takutkan dari Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya dari itu semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut ialah mengerjakan ketaatan dan menjauhi larangan.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 ...اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ  …...


Maksudnya:"…Bertakwalah kalian kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya….”. Ali ‘Imran ayat 102.


Maka tujuan puasa adalah agar kita menjadi orang yang lebih taat kepada Allah dan Rasul-Nya, lebih serius menerapkan ajaran agama dalam kehidupan sehari-hari.


Al-Baghawi rahimahullah ketika menjelaskan ayat di atas, beliau mengaitan hubungan antara puasa dengan takwa:


الصوم وصلة إلى التقوى لما فيه من قهر النفس وكسر الشهوات


Maksudnya:"“Kerana puasa adalah wasilah menuju taqwa. Sebab puasa dapat menundukkan nafsu dan mengalahkan syahwat". Lihat Ma’alim At Tanziil, 1/196.


Dalam Tafsir Al Jalalain juga dijelaskan,


لعلكم تتقون المعاصي فإنه يكسر الشهوة التي هي مبدؤها


Maksudnya:" agar kalian bertaqwa dari maksiat. Sebab puasa dapat mengalahkan syahwat yang merupakan sumber maksiat". Lihat Tafsir Al Jalalain, 189.


Takwa meliputi banyak aspek, iaitu iman, ibadat dan akhlak. Bertakwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dikala bersendirian adalah pertanda kesempurnaan iman dan mempunyai pengaruh baik, iaitu Allah Azza wa Jalla membuat orang tersebut disanjung oleh orang-orang beriman.


Maka seorang muslim di setiap tempat dan masa sangat dituntut agar melaksanakannya sebagaimana sabda Nabi,


ٍ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ


Maksudnya:"Dari Abu Dzar ia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku, "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergauilah manusia dengan akhlak yang baik". Riwayat Tirmizi(1987),Ahmad (20392,20435,20556)


Maksudnya ialah bertakwalah kepada-Nya di saat sendirian mahupun ramai, atau ketika dilihat manusia ataupun tidak dilihat manusia.


Dan dalam sebuah hadith , Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdo’a,


 اَللَّـهُمَّ إِنِّيْ أَسْـأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّـقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى


Maksudnya:"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian (dijauhkan dari hal-hal yang tidak baik), dan kecukupan". Riwayat Muslim(2721)


Sebagaimana yang diisyaratkan oleh  Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya, 


, وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا


Maksudnya:".....Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu".

Al-Nisa ayat 1.


Maka  berbahagialah  orang yang memperbaiki diri saat ia sendirian, yang mana Allah Subhanahuwata’ala  memperbaiki keadaan dirinya ketika bersama manusia. Barangsiapa mencari pujian manusia dengan kemurkaan Allah Azza wa Jalla , maka orang yang memujinya akan menjadi penghina baginya


Islam telah menyarankan agar takwa itu dikaitkan dengan iman, amal soleh, ketaatan serta kewajipan, seperti solat, puasa, zakat, haji, menyampaikan amanah dan lain-lain lagi. Mengenai iman dan takwa Allah berfirman,


وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ


Maksudnya:"Dan sesungguhnya pahala di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa".  Yusuf Ayat 57


Takwa adalah wasiat Allah Subhanahuwata'ala untuk generasi terdahulu dan yang terakhir. 


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ “… 


Maksudnya:"Dan sungguh, Kami telah memerintahkan kepada orang yang diberi kitab suci sebelummu dan (juga) kepadamu agar bertakwa kepada Allah…”.

Al-Nisa ayat 131.


Takwa adalah wasiat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada umatnya, ketika  berkhutbah pada haji Wada’ iaitu di hari penyembelihan haiwan korban. Beliau berwasiat kepada manusia agar mereka bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin mereka, 


أَبَا أُمَامَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ فَقَالَ اتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ وَصَلُّوا خَمْسَكُمْ وَصُومُوا شَهْرَكُمْ وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالِكُمْ وَأَطِيعُوا ذَا أَمْرِكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ


Maksudnya:" Abu Umamah berkata, saya telah mendengar khutbah Rasulullah ﷺ ketika haji wada', beliau bersabda, "Bertakwalah kepada Allah Rabb kalian, kerjakanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat mal kalian, dan taatilah pemimpin kalian, nescaya kalian masuk syurga Rabb kalian". Tirmizi (616)


Takwa digandingkan dengan nama Allah SubhanahuwaTa’ala , seperti dalam firman-Nya,


 وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ...  


Maksudnya:"… Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan (kembali)”.Al-Maidah ayat 96.


Maksudnya ialah takutlah kepada kemurkaan dan kemarahan-Nya kerana itu adalah hal paling besar yang harus ditakuti. Hukuman dari Allah di dunia dan akhirat ada kerana kemurkaan dan kemarahan-Nya. 


Takwa digandingkan dengan hukuman Allah Azza wa Jalla dan tempat hukuman tersebut, seperti Neraka atau waktunya seperti hari Kiamat, sebagaimana Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


 وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ  


Maksudnya:“Dan periharalah dirimu dari api Neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.” Ali ‘Imran ayat 131.


 وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ 


Msksudnya:“Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah…”. Al-Baqarah ayat 281.


Setelah orang yang berpuasa terlatih selama 30 hari untuk menahan diri dari perkara yang mubah seperti makan, minum, hubungan intim, maka diharapkan setelah itu, dia mampu menahan diri dari perkara yang haram.


Sehingga orang yang berpuasa, semestinya setelah selesai dari ibadah puasa ia menjadi orang yang:


* meninggalkan syirik.

* meninggalkan bid’ah.

* lebih rajin solat.

* lebih rajin membaca dan mempelajari  Al-Qur’an.

* mendirikan solat berjamaah di masjid 5 waktu bagi laki-laki. 

* menutup aurat.

* berhijab syar’i bagi wanita, meninggalkan jilbab kecil dan pakaian ketat.

* meninggalkan riba.

* meninggalkan dusta, ghibah, kata-kata kotor.

* meninggalkan muzik, joget-joget,hiburan.

* meninggalkan rokok.

* meninggalkan berpacaran.

* rajin belajar agama.


Jika setelah puasa masih tidak ada apa-apa perubahan, maka dibimbangi puasanya tidak bermunafaat dan tidak mencapai tujuannya. Sa’id bin Jubair rahimahullah mengatakan,


إن من ثواب الحسنة الحسنة بعدها


Maksudnya:"Diantara ganjaran bagi suatu amalan kebaikan adalah boleh melakukan amalan kebaikan lain setelahnya".


Jika setelah amalan puasa Ramadhan selesai, ternyata kita masih tidak boleh melakukan ketaatan-ketaatan di atas, kita bimbang amalan puasa kita tidak dianggap sebagai amalan kebaikan oleh Allah Subhanahuwata’ala.


Dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang malakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.

    




No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...