Thursday, May 11, 2023

Hutang boleh menjadi pemutus hubungan silaturrahim dan persahabatan serta ancaman kepada mereka yang sengaja tidak mahu membayar hutang.

Hutang boleh menjadi pemutus hubungan silaturrahim dan persahabatan serta ancaman kepada mereka yang sengaja tidak mahu membayar hutang.

Islam tidak melarang seseorang itu untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Islam sebagai agama yang meliputi akidah, akhlak, ahkam dan hadarah tidak pernah memisahkan ahkam daripada akhlak, termasuk urusan yang berkaitan harta benda dan ekonomi.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

Surah al-Baqarah ayat  282.


Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah Subhanahuwata'ala kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/411) Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/118). Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/551)


Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:


أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ


Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka'ab bin Malik: "Wahai Ka'ab", Ka'ab menjawab: "Ya, aku datang wahai Rasulullah". Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: "Rebatlah sebahagian". Ka'ab membalas: "Ya, wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: "Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya".

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)


Namunpun begitu, disebalik keharusan berhutang ianya juga mengandungi kemudharatan yang besar. Para ulama telah menjelaskan begitu banyak bahaya kebiasaan berhutang tanpa ada keperluan darurat. Hutang juga boleh menjadi pemutus silaturahim dan persahabatan. Di mana orang yang berhutang berusaha menghindari atau bahkan memutuskan hubungan dengan orang yang memberi pinjaman hutang. Hal ini boleh jadi kerana yang berhutang memang  ada niat yang tidak baik kerana tidak ingin melunasi hutangnya atau mungkin yang berhutang pula tidak mampu untuk melunasi hutangnya, hingga menyebabkan dia menjadi tidak senang hati apabila bertemu dengan orang yang memberikan pinjaman hutang kepadanya.


Pernah dikisahkan satu kisah seperti berikut,


ولما مرض قيس بن سعد بن عبادة استبطأ إخوانه في العيادة، فسأل عنهم فقيل له: إنهم يستحيون مما لك عليهم من الدين. فقال: أخزى الله مالا يمنع عني الإخوان من الزيارة، ثم أمر مناديا ينادي من كان لقيس عنده مال، فهو منه في حل. فكسرت عتبة بابه بالعشي لكثرة العواد.


Maksudnya:"Tatkala Qais bin Sa’ad bin ‘Ubadah sakit, para saudara dan sahabat menunda menjenguknya. Lalu, ia bertanya tentang mereka. Maka, dijawab, ‘Mereka merasa malu kerana ada hutang kepada engkau.’ Ia pun berkata, ‘Semoga Allah menghinakan harta yang telah mencegah kawan-kawan menjengukku.’ Kemudian ia perintahkan agar diumumkan bahawa barangsiapa yang ada hutang kepada Qais, telah diputihkan (dianggap lunas). Setelah itu, ambang pintu rumah Qais patah kerana begitu ramainya orang yang menjenguknya". Lihat Hakaya Al-Ajwad, hal. 51.


Demikianlah hutang boleh menjadi pemutus persaudaraan dan persahabatan, bahkan boleh menjadi penyebab permusuhan dan perkelahian antara saudara kandung sendiri yang lahir dari satu darah dan satu nasab. 


Hutang merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib, ini seperti disebutkan di dalam al-Quran,


إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil". Surah al-Nisa ayat 58.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian" Surah al-Maidah ayat 1


Selain itu, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang sengaja enggan membayar hutang dan tidak berusaha untuk melunaskan hutangnya tersebut.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ


Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah Subhanahuwata'ala akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah Subhanahuwata'ala akan membinasakan dirinya". Riwayat al-Bukhari (2387)


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga bersabda,


أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا


Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri". Riwayat Ibn Majah (1969)


Disamping itu, hutang akan dibayar kepada si pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ


Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan". Riwayat Abu Daud (3597)


Jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ


Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. Riwayat Tarmidzi (1079)


Dosa berhutang tidak terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang tersebut walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ


Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)". Riwayat Muslim (1886)


Orang yang berhutang tidak disembahyangkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata,


كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ


Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu". Riwayat al-Bukhari (2286)


Berdasarkan kepada dalil yang umum daripada ayat al-Quran dan hadith di atas, maka hutang tersebut termasuklah juga hutang kepada bank. Oleh itu, hutang pinjaman bank juga termasuk di dalam hutang yang wajib dibayar dan diancam dengan ancaman yang berat di dalam hadith sekiranya sengaja tidak mahu membayarnya.


Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk memastikan pinjaman tersebut dilunaskan antaranya seperti mengambil pelan takaful bagi menjamin pembayaran hutang dan sebagainya. Kita haruslah berusaha memastikan bahawa kita dapat melunaskan hutang tersebut. Tambahan pula, hutang tersebut merupakan al-dayn al-muajjal (hutang yang boleh ditangguhkan), justeru ia boleh ditangguhkan kepada masa-masa tertentu jika sekiranya mempunyai kekangan.


Oleh kerana itu, syariat memotivasikan agar orang yang berhutang segera melunasi hutangnya jika ia mampu dan tidak sengaja menunda-nundakannya bahkan memprioritikannya sebagai prioriti yang paling  utama.


Jika yang berhutang itu mampu untuk menjelaskan hutangnya namun enggan membayar, maka pihak pemberi hutang juga boleh membawanya ke muka pengadilan untuk diambil keputusan dengan adil.


Sebaliknya pula orang yang memberikan pinjaman hutang(sipemiutang) juga dimotivasikan agar memberikan kelonggaran dalam menagih hutangnya. Apabila yang berhutang sedang dalam keadaan tidak mampu atau sedang ada keuzuran, Maka hendaknya dia memaklumi keadaan tersebut dan memberikan tambahan waktu.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ


Maksudnya:"Jika orang yang berhutang kesulitan, maka berilah kelonggaran hingga ia dimudahkan…". Al Baqarah ayat 280.


Demikian juga Nabi Sallallahu’alaihiwasallam turut memberikan motivasi agar memudahkan orang yang berhutang, baik dalam memberi hutangnya, menagihnya, dan lain-lain hal berkaitan dengan hutang. Beliau Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


من يسَّرَ على معسرٍ يسَّرَ اللَّهُ عليهِ في الدُّنيا والآخرةِ


Maksudnya:"Barangsiapa memudahkan kesulitan orang lain, maka Allah akan mudahkan ia di hari Kiamat". Riwayat Muslim  (2699)


Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,


مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ وَقَاهُ اللَّهُ مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ


Maksudnya:"Barangsiapa memberi tangguh kepada orang yang kesulitan, atau menggugurkannya, Allah akan memeliharanya dari wap (panas) Jahannam". Ahmad (2860)


Bahkan, syariat memotivasi pemiutang sehingga tahap memutihkan hutangnya (dianggap lunas). Hal ini bertepatan dengan anjuran Allah Subhanahuwata'ala untuk melapangkan kesempitan bagi orang yang berhutang dengan bersedekah kepadanya, seperti dalam firman-Nya:


وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak). Surah al-Baqarah ayat  280.


Ayat ini salah satu daripada urusan ekonomi berasaskan akhlak, takaful dan bantu-membantu iaitu melanjutkan tempoh bayar kepada pihak berhutang tanpa mengenakan sebarang faedah. Malah, jika yang berhutang berdepan kesulitan, hendaklah diberi tempoh sehingga ia mampu melunaskan hutang itu.


Ayat itu diturunkan sempena peristiwa Bani Al-Mughirah yang merayu kepada Bani Thaqif kerana tidak mampu membayar hutang pokok supaya diberi tangguh hingga kebun tamar mereka mengeluarkan hasil. Namun Bani Thaqif enggan memberi tempoh itu lalu turunlah wahyu Allah Subhanahuwata'ala


Perbuatan Qais bin Sa’ad bin ‘Ubadah pada riwayat di atas adalah dalam rangka menjaga silaturrahim yang diperintahkan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا


Maksudnya:“.....Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu". An-Nisa’ ayat 1


Demikian juga perintah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dalam satu konteks hadith agar menjaga. Beliau Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


يَأْمُرُنَا بِالصَّلاَةِ وَالصَّدَقَةِ وَالْعَفَافِ وَالصِّلَةِ


Maksudnya:"Muhammad memerintahkan kami salat, sedakah, menjaga kehormatan, dan silaturahim". Riwayat Bukhari(6)


Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri berlindung daripada masalah hutang. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari,


أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.


Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdoa selepas daripada menunaikan solat, “Ya Allah Subhanahuwata'ala, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang. Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari". Riwayat al-Bukhari: (832)


Pada akhirnya, kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bagi menyelesaikan hutang seperti yang kami nukilkan dalam artikel ‘Irsyad al-Hadith Siri Ke-180: Doa-Doa Untuk Melangsaikan Hutang’, antaranya:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ


Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia". Riwayat Abu Daud, (4:353)


No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...