Sunday, April 30, 2023

Puasa merupakan tanda kesempurnaan keimanan seseorang.

Puasa  merupakan tanda kesempurnaan keimanan seseorang.

Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Maka sudah semestinyalah di bulan Al-Qur’an ini umat Islam mengetatkan ikat pinggang dan menyuntik motivasi diri agar lebih bersemangat untuk membaca serta merenungkan isi Al-Qur’an Al-Karim. Merenung atau mentadaburi isi kandung Al-Qur’an hendaklah mendapat perhatian yang besar dari segala aktiviti umat muslim di bulan suci ini. Hanya dengan usaha inilah umat Islam dapat mengembalikan peranan Al-Qur’an sebagai pedoman hidup dan panduan menuju jalan yang benar.


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ


Maksudnya:"Bulan Ramadhan adalah bulan-bulan diturunkannya Al-Qur’an. Al-Quran adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)".  Al-Baqarah ayat 185)


Usaha yang mulia ini boleh dimulai dari satu ayat yang sering dibacakan, dikumandangkan, bahkan dihafal oleh kaum muslimin, iaitu surat Al-Baqarah ayat 183, yang membahaskan tentang ibadah puasa. Ayat yang mulia tersebut berbunyi,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".Al-Baqarah ayat 183.


Ayat ini mengandungi banyak pelajaran berharga berkaitan dengan ibadah puasa. 


Mari kita sama-sama fahami hikmah yang mendalam dibalik ayat yang mulia ini.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman".


Dari lafaz ini dapat diketahui bahawa ayat ini adalah ayat madaniyyah atau diturunkan di Madinah (setelah hijrah), sedangkan yang diawali dengan yaa (يَا أَيُّهَا النَّاسُ). atau (يا بني آدم), adalah ayat makkiyyah atau diturunkan di Makkah. Lihat Al Itqan Fi Ulumil Qur’an karya Imam As-Suyuthi, 55.


Imam Ath-Thabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah : “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, membenarkan keduanya dan mengikrarkan keimanan kepada keduanya". Lihat Jami’ Al Bayan Fii Ta’wiil Al Qur’an, 3/409.


Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini: “Firman Allah Ta’ala ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa". Tafsir Qur’an Al Azhim Libni Katsir, 1/497


Dari ayat ini kita melihat dengan jelas adanya kaitan antara puasa dengan keimanan seseorang. Allah Ta’ala memerintahkan puasa kepada orang-orang yang memiliki iman, dengan demikian Allah Ta’ala hanya menerima puasa dari jiwa-jiwa yang terdapat iman di dalamnya. Dan puasa juga merupakan tanda kesempurnaan keimanan seseorang.


Oleh kerana itu, apakah yang dimaksudkan dengan iman?


Iman secara bahasa ertinya percaya atau membenarkan. Sebagaimana dalam ayat Al-Qur’an:

وَمَا أَنْتَ بِمُؤْمِنٍ لَنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ


Maksudnya:"Dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar".  Yusuf ayat 17.


Secara jelasnya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan makna iman dalam sebuah hadith


الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره


Maksudnya:"Iman adalah engkau mengimani Allah, mengimani Malaikat-Nya, mengimani Kitab-kitab-Nya, mengimani para Rasul-Nya, mengimani hari kiamat, mengimani qadha dan qadar, yang baik mahupun yang buruk". Muslim (102,108)


Demikianlah enam rukun yang mesti dimiliki oleh orang yang mengaku beriman. Maka orang enggan mempersembahkan ibadah hanya kepada Allah semata-mata, atau menyembah sesembahan yang lain selain Allah, perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya. Orang yang enggan mengimani Muhammad adalah Rasulullah atau meninggalkan sunnahnya, mengada-adakan ibadah yang tidak beliau tuntunkan, maka perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya. Orang yang tidak percaya adanya Malaikat, tidak percaya datangnya kiamat, tidak percaya takdir, perlu dipertanyakan kesempurnaan imannya.


Namun jangan anda menyangka bahawa iman itu sekadar percaya di dalam hati. Imam Asy Syafi’i menjelaskan,


وكان الإجماع من الصحابة والتابعين من بعدهم ممن أدركناهم أن الإيمان قول وعمل ونية ، لا يجزئ واحد من الثلاثة بالآخر


Maksudnya:"Setahu saya, telah menjadi ijma para sahabat serta para tabi’in bahawa iman itu berupa perkataan, perbuatan, dan niat (perbuatan hati), jangan mengurangi salah satu pun dari tiga hal ini". Lihat Syarh Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah, 4/149


Dengan demikian tidak dapat dibenarkan orang yang mengakui beriman namun enggan melaksanakan solat, enggan membayar zakat, dan amalan-amalan zahir yang lainnya. Atau wanita yang mengatakan “Walau saya tidak berjilbab, yang penting hati saya berjilbab”. Jika imannya benar, tentu hati yang ‘berjilbab’ akan ditunjukkan juga secara lahiriah, iaitu memakai jilbab dan busana muslimah dengan benar. Oleh kerana itu pula, puasa sebagai amalan zahiriah merupakan kesan dari iman.


Sebagaimana yang dapat difahami maksud dari sebuah hadith, bahawa kesan dari Iman itu dapat menghalang seseorang itu dari melakukan maksiat seperti berzina atau meminum arak sedangkan dia  dalam keadaan  beriman.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ


Maksudnya: “Tidaklah seorang pengzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman". Al-Bukhari(5578) dan Muslim (100).


Hadith ini bermaksud sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa para ulama berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini. Akan tetapi, pendapat yang tepat di sisi ahli tahqiq adalah seseorang itu tidak akan melakukan maksiat dalam keadaan imamnya sempurna. Untuk itu, maksud penafian di dalam hadith ini adalah menafikan kesempurnaan sebagaimana yang disebutkan “Tidak ada ilmu melainkan yang bermanfaat dan tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat". [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 41-42/2].


Selain itu, hadith ini melarang keras orang yang melakukan dosa besar dan menakutkan mereka akan balasan yang akan dikenakan disebabkan perbuatan tersebut serta ancaman akan hilangnya iman daripadanya ketika mereka melakukan perbuatan tersebut. Ini kerana, perbuatan tersebut akan melemahkan imannya kerana iman akan terus menjadi lemah dan berkurang disebabkan oleh maksiat yang dilakukan sehingga dikhuatiri pelakunya akan terjatuh ke dalam kekufuran. [Lihat: Fath al-Mun’im, 1/212]


Imam al-Baihaqi ada memuatkan sebuah hadith ini di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman yang membicarakan berkaitan cabang-cabang iman. Ini kerana, hadith ini menceritakan sebahagian daripada cabang-cabang iman sepertimana yang Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sifatkan iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabangnya.


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,


الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ


Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman. Muslim (162).


Iman akan bertambah dengan ketaatan dan akan berkurang dengan maksiat atau dosa yang dilakukan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Untuk itu, kita dituntut untuk sentiasa memelihara diri kita daripada melakukan dosa-dosa atau maksiat kepada Allah agar keimanan yang ada di dalam diri kita merupakan keimanan yang sempurna. Akhirnya, semoga Allah Subhanahuwata'ala menetapkan hati, lidah dan perbuatan kita di atas keimanan serta ketaatan kepada-Nya semata-mata. ٱمين 




  

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...