Sunday, March 12, 2023

Tiga persediaan menyambut Ramadhan.

Tiga persediaan menyambut Ramadhan.


Hanya menunggu hitungan hari kita akan memasuki bulan penuh barokah, Ramadhan mubarok. Meskipun begitu masih belum  terlambat untuk kita  melihat tiga persediaan yang semestinya disiapkan sebelum memasuki bulan Ramadhan . Tiga bekal tersebut adalah:


Pertama: Bekal ilmu.


Bekal ini adalah yang paling utama, agar ibadah kita menghasilkan munafaat, berfaedah, dan tidak disia-siakan pahalanya. ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata,


مَنْ عَبَدَ اللهَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ مَا يُفْسِدُ أَكْثَرَ مِمَّا يُصْلِحُ


Maksudnya:"Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan". Lihat Al Amru bil Ma’ruf, hal. 15. 


Seseorang yang tidak mengetahui  hukum puasa, boleh jadi puasanya  akan rosak. Seseorang yang tidak tahu  hal-hal yang disunatkan di saat berpuasa, boleh jadi dia akan kehilangan pahala yang banyak. Seseorang yang tidak tahu jika maksiat akan mengurangkan pahala puasanya, dia hanya akan dapat lapar dan dahaga sahaja di saat berpuasa. 


Ingatlah syarat diterimanya ibadah bukan hanya ikhlas, akan tetapi Ibadah diterima jika mengikuti tuntunan dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Namun demikian, ada juga dari kalangan masyarakat kita kadang-kadang beribadah hanya ikut-ikutan, yang penting ikhlas katanya. Padahal ibadah yang dilakukannya tidak ada dalil  dan tidak ada tuntunan dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam.


Ada orang yang menyangka, bahawa dengan banyaknya amal dan ibadah sudah mendapat jaminan pada hari akhiratnya, sekurang-kurangnya merupakan tanda kebenaran dan bukti kesahihan. Begitulah sering kita dengar, dan itulah fenomena yang terjadi di kalangan kaum muslimin. 


Namun dapat dibayangkan, seseorang yang mempunyai amalan sebanyak pepasiran di pantai, akan tetapi setelah ditimbang, ianya hanya bagaikan debu yang berterbangan, Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا


Maksudnya:"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan". Al Furqan ayat 23.


Bukan saja amalannya tidak dianggap sebagai amalan yang diterima, bahkan dialah penyebab masuknya ke dalam api neraka. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ خَاشِعَةٌ عَامِلَةٌ نَاصِبَةٌ تَصْلَى نَارًا حَامِيَةً


Maksudnya:"Sudah datangkah kepadamu berita (tentang) hari pembalasan? Banyak muka pada hari itu tunduk terhina, bekerja keras lagi kepayahan, memasuki api yang sangat panas (neraka)". Al Ghasyiah ayat 1- 4.


Banyak ayat yang menerangkan tentang keutamaan ilmu dan celaan terhadap orang yang beramal tanpa ilmu, Allah Subhanahuwata’ala membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang bodoh, seumpama perbezaan antara orang yang melihat dengan si buta.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى


Maksudnya:"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta?". Al-Ra`ad ayat 19.


Di tempat lain dalam Al Qur’an Allah Subhanahuwata’ala mencela orang-orang yang bodoh, iaitu,


وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Al Araf ayat 187.


وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ


Maksudnya:"Dan kebanyakan mereka tidak berakal". Al Maidah ayat 103.


Bahkan mereka juga disamakan dengan binatang, dan lebih dungu daripada binatang,


إِنَّ شَرَّ الدَّوَابِّ عِنْدَ اللَّهِ الصُّمُّ الْبُكْمُ الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah, ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apa". Al Anfal ayat  22.


Kedua: Perbanyakan taubat.


Inilah yang dianjurkan oleh para ulama kita. Sebelum memasuki bulan Ramadhan, perbanyaklah taubat dan istighfar. Semoga di bulan Ramadhan kita  menjadi lebih baik. Keburukan dahulu hendaklah kita tinggalkan dan digantikan dengan kebaikan di bulan Ramadhan. Ingatlah bahawa syarat taubat yang dijelaskan oleh para ulama sebagaimana dinukil oleh Ibnu Katsir rahimahullah, “Menghindari dosa untuk saat ini. Menyesali dosa yang telah lalu. Bertekad tidak melakukannya lagi di masa akan datang. Lalu jika dosa tersebut berkaitan dengan hak sesama manusia, maka ia mesti menyelesaikannya/ mengembalikannya.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14:61). 


Inilah yang disebut dengan taubat nasuha, taubat yang tulus dan murni. Moga Allah menerima taubat-taubat kita sebelum memasuki waktu barokah di bulan Ramadhan sehingga kita  dipermudahkan untuk melaksanakan kebaikan.


Taubat yang tulus dan murni tertuang dalam surah At-Tahrim ayat 8 sebagai berikut,


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَٰنِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ


Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". At-Tahrim ayat 8.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ


Maksudnya:"Dari Ibnu Umar, dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: " Allah Ta'ala masih menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai di tenggorokan". Ahmad(5885)


Pada hakikatnya, taubat harus kita lakukan setiap waktu. Namun keharusan bertaubat ini bertambah kuat sebelum memasuki bulan Ramadhan. Ulama menganjurkan untuk memperbanyak taubat kepada Allah menjelang memasuki bulan Ramadhan supaya kita dapat menjalankan puasa Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa yang tenang. Dengan kebersihan hati dan ketenangan jiwa, kita akan dapat melaksanakan semua ibadah puasa Ramadhan dengan baik dan sempurna. Dalam surah An-Nur ayat 31, Allah Subhanahuwata'ala berfirman;


وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya:"Bertaubatlah kalian kepada Allah wahai orang-orang beriman supaya kalian beruntung".


Di antara do’a untuk meminta segala ampunan dari Allah adalah do’a berikut ini:


اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى خَطِيئَتِى وَجَهْلِى وَإِسْرَافِى فِى أَمْرِى وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّى اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى جِدِّى وَهَزْلِى وَخَطَئِى وَعَمْدِى وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِى


Maksudnya:"Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kejahilanku, sikapku yang melampaui batas dalam urusanku dan segala hal yang Engkau lebih mengetahui hal itu dari diriku. Ya Allah, ampunilah aku, kesalahan yang kuperbuat tatkala bersungguh-sungguh mahupun saat bermain-main dan ampunilah pula kesalahanku saat aku tidak sengaja mahupn sengaja, ampunilah segala kesalahan yang kulakukan". Bukhari  (6398) dan Muslim  (2719).


Ketiga: Banyak memohon kemudahan dari Allah.


Selain dari dua perkara di atas, kita juga perlu sedari bahawa untuk mudah melakukan kebaikan di bulan Ramadhan, itu semua atas kemudahan dari Allah. Jika kita terus pasrahkan pada diri sendiri, maka ibadah akan menjadi sulit untuk dijalani. Kerana diri ini sebenarnya begitu lemah. Oleh kerana itu, hendaklah kita banyak bergantung dan tawakkal pada Allah dalam menjalani ibadah di bulan Ramadhan. Terus memohon doa pada Allah agar kita mudah menjalankan berbagai bentuk ibadah baik solat malam, ibadah puasa itu sendiri, banyak berderma, mengkhatamkan atau mengulang hafalan Qur’an dan kebaikan lainnya.


Diantara doa yang boleh kita panjatkan untuk memohon kemudahan dari Allah adalah sebagai berikut.


اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً


Maksudnya:"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah]. Dikeluarkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya 3:255. Dikeluarkan juga oleh Ibnu Abi ‘Umar, Ibnus Suni dalam ‘Amal Yaum wal Lailah.


اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ


Maksudnya:"Ya Allah, aku memohon pada-Mu agar mudah melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran). (HR. Tirmidzi (3233)


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam juga pernah bersabda pada Mu’az, “Demi Allah, aku sungguh mencintaimu. Aku wasiatkan padamu, janganlah engkau lupa untuk mengucapkan pada akhir solat (sebelum salam):


اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ


Maksudnya:" Ya Allah, tolonglah aku agar selalu berzikir/mengingat-Mu, bersyukur pada-Mu, dan memperbagus ibadah pada-Mu]”. Abu Daud dan Ahmad, sahih.


Hadith ini menjadi  dalil yang menunjukkan bahawa agama ini dibangun dan dapat ditegakkan dengan zikir dan syukur.


Orang yang mengatakan bahawa aku serahkan semua urusanku kepada Allah Subhanahuwata'ala, aku sandarkan hidupku kepada-Nya, aku bertawakal kepada-Nya, kerana Allah Subhanahuwata'ala yang akan mencukupi orang-orang yang menyerahkan urusannya kepada Allah Subhanahuwata'ala dan inilah makna tawakkal yang hakikatnya menyerahkan semuanya kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam mengajar sebuah doa untuk dinamakan di waktu malam tatkala meletakkan tubuh di atas tempat tidur, sebelum  memejamkan mata. Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,

 

عَن الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا اضْطَجَعَ الرَّجُلُ فَتَوَسَّدَ يَمِينَهُ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ إِلَيْكَ أَسْلَمْتُ نَفْسِي وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ إِلَيْكَ ظَهْرِي وَوَجَّهْتُ إِلَيْكَ وَجْهِي رَهْبَةً مِنْكَ وَرَغْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ وَمَاتَ عَلَى ذَلِكَ بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَوْ بُوِّئَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ


Maksudnya:"Dari Al Baraa` bin Azib dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: "Jika seorang laki-laki berbaring, lalu ia berbantal ke sebelah kanannya dan membaca:  (Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan punggungku kepada-Mu, dan saya hadapkan wajahku pada-Mu, kerana berharap (mendapatkan rahmat-Mu) dan takut (pada siksa-Mu, bila melakukan kesalahan). Tidak ada tempat perlindungan dan penyelamatan dari ancaman-Mu, kecuali kepada-Mu. Aku beriman pada kitab yang telah Engkau turunkan, dan (kebenaran) Nabi-Mu yang telah Engkau utus).' Kemudian ia meninggal dalam keadaan seperti itu, maka akan dibangunkan rumah untuknya di dalam syurga". Ahmad(17874)


Jadi menyerahkan segalanya kepada Allah Subhanahuwata'ala itu bukan kerana terpaksa tetapi memang pilihan kita. Kerana kita tahu dengan keterbatasan kita, semua usaha, semua ikhtiar dan semua sebab yang kita jalani, kita yang melakukannya sebagai sebab tetapi urusannya kita serahkan semuanya kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Semoga Allah menjadikan Ramadhan kita lebih baik dari sebelumnya. Marilah kita menyambut Ramadhan mubarok dengan suka cita, diiringi ilmu, taubat dan perbanyak do’a kemudahan.





No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...