Tuesday, March 21, 2023

Amala-amalan yang dituntut untuk dilakukan di luar bulan Ramadhan atau di dalam bulan Ramadhan.

Amala-amalan yang dituntut untuk dilakukan di luar bulan Ramadhan atau di dalam bulan Ramadhan.


Bulan Ramadhan yang ditunggu oleh kaum Muslimin bakal tiba. Kerinduan akan terubat dan penantian akan berakhir bila tibanya bulan Ramadhan. Sepatutnya setiap  Muslim memanfaatkan kesempatan emas di dalam Ramadhan tanpa membiarkan ia berlalu. Marilah kita mengoreksi diri agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan di masa silam. Semoga sisa usia yang terbatas dengan ajal ini boleh dimanfaatkan dengan baik untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya dan menjadi penghapus segala dosa.


Kedatangan bulan Ramadhan teramat sangat disayangi bila dibiarkan begitu saja. Itulah sebabnya, semangat berlumba melakukan kebaikan bergelora pada bulan yang penuh barakah ini. Namun, apakah semangat berlumba-lumba ini hanya ada di bulan ini saja? Ingat, Allah Subhanahuwata'ala berfirman :


فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ


Maksudnya:"Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan Al-Baqarah ayat 148


Sebagai upaya menigkatkan kualiti iman dan amal di dalam bulan Ramadhan,  beberapa perkara yang kebiasaanya dilakukan di luar bulan Ramadhan, juga dituntut untuk dilakukan oleh kaum Muslimin di dalam bulan Ramadhan. 


1- Semangat beribadah.


Muslim hendaklah sentiasa menanamkan ketakwaan kepada Allah Subhanahuwata'ala dalam hati mereka. Mereka hendaklah beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan melaksanakan kesemua yang  diwajibkan ke atas mereka di setiap waktu dan dimanapun jua mereka berada. Kerana, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah maut menjemputnya? Boleh jadi, seseorang itu mengharapkan kedatangan bulan Ramadhan. Namun, ternyata dia tidak mendapatkannya. Pada hakikatnya Allah Subhanahuwata'ala tidak menentukan batas akhir ibadah kecuali kematian.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman :


وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ


Maksudnya:"Dan sembahlah Rabb kalian sehingga datang kepadamu yang diyakini (ajal)". Al-Hijr ayat 99.


Pengertian al-Yaqin dalam ayat di atas adalah kematian. 


Bagi yang masih bermalasan-malasan melakukan ibadah di luar bulan Ramadhan, hendaklah ingat bahawa kematian boleh mendatangi seseorang dimana saja dan bila saja. Ketika kematian sudah tiba, kesempatan untuk beramal sudah berakhir, dan tiba waktunya untuk dipertanggungjawabkan kesempatan yang telah Allah Subhanahuwata'ala berikan kepada kita. Sudahkah kita bersedia untuk bertanggungjawab ke atas amalan kita,  disaat kita dipanggil oleh Allah Subhanahuwata'ala ?


Allah Subhanahuwata'ala berfirman :


إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Serta tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".  Luqman ayat 34.


Renungkanlah pesanan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kepada Abdullah bin Umar bin Khaththab Radhiyallahu ‘anhu, seorang Sahabat dan pula putera dari seorang Sahabat  yang berbunyi:


كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلِ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَا تِكَ لِمَوْ تِكَ


Maksudnya:"Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau orang yang sedang melakukan perjalanan !” Ibnu Umar mengatakan : “Jika engkau berada di waktu petang, jangan menunggu waktu pagi dan jika engkau berada di waktu pagi, jangan menunggu waktu petang. Ambillah (kesempatan) dari waktu sihat untuk (bekal) di waktu sakitmu dan ambillah kesempatan dari waktu hidupmu untuk bekal matimu". Bukhari(5937)


Banyak lagi ayat al-Qur'an dan hadith senada dengannya yang menganjurkan kita agar bertakwa setiap saat.


2-Zakat Mal


Zakat wajib dikeluarkan ketika harta itu telah genap setahun, tanpa menunggu bulan Ramadhan, kecuali jika Ramadhan sudah dekat. Misalnya, hartanya akan genap setahun (menjadi miliknya) pada bulan Sya’ban, lalu dia menunggu bulan Ramadhan untuk mengeluarkan zakat, ini tidak ada masalah. 

Namun, jika haulnya (genap setahunnya) pada bulan Muharram, maka zakatnya tidak boleh ditunda sehingga bulan Ramadhan. Namun, si pemilik harta, boleh juga mengeluarkan zakatnya lebih awal, misalnya dibayarkan pada bulan Ramadhan, dua bulan sebelum genap setahun. 

Mengawalkan waktu pembayaran zakat tidak mengapa, akan tetapi menunda penyerahan zakat dari waktu yang telah diwajibkan itu tidak boleh. Kerana kewajipan yang terkait dengan suatu sebab, maka kewajipan itu wajib dilaksanakan ketika apa yang menjadi penyebabnya ada. Hal ini berkaitan dengan sebuah kaedah yang disebutkan oleh para ahli ilmu:


الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا


Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.


Hal ini juga seperti yang dinyatakan di dalam kitab fiqh, seperti yang disebut dalam kitab Nihayatul al-Muhjat Syarh al-Minhaj:


يجوز تعجيلها في المال الحولي قبل تمام الحول فيما انعقد حوله ووجد النصاب فيه؛ لأنه صلى الله عليه وسلم أرخص في التعجيل للعباس


Maksudnya: Harus hukumnya untuk menyegerakan zakat pada harta yang diwajibkan zakat sebelum sempurnanya haul apa yang sampai pada haulnya dan wujud nisab padanya. Ini kerana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan rukhsah untuk menyegerakan pembayaran zakat ini kepada Saidina ‘Abbas RA. (Rujuk Nihayatul Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3:141)


Hadith tersebut adalah seperti berikut:


فعَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ الْعَبَّاسَ سَأَلَ النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في تعجيلِ صَدَقَته قبل أنْ تَحُلَّ، فرَخَّصَ في ذلك


Maksudnya: Daripada Saidina Ali RA, bahawa Saidina ‘Abbas bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk menyegerakan pembayaran zakatnya sebelum tiba haul, maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah memberikan rukshah terhadap perkara tersebut. Abu Daud (1624)


Tiidak ada seorang pun yang dapat menjamin bahawa dia akan masih hidup sehingga batas waktu yang direncanakan untuk melaksanakan ibadahnya yang tertunda. Terkadang dia meninggal sebelum dapat melaksanakannya, sehingga zakat masih menjadi tanggungan sementara buat para ahli waris yang terkadang mereka sendiri  tidak mengetahui bahawa si mati masih memiliki tanggungan zakat.


Keistimewaan bulan Ramadhan memang menggiurkan setiap insan yang beriman dengan hari Akhir. Mungkin kerana inilah, ada sebahagian orang yang menunda menunaikan kewajipan zakatnya, padahal perkara seperti ini adalah tidak dibenarkan. 


Berdasarkan kepada hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Saidina Ali Ibn Abi Talib RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ


Maksudnya: Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun qamari. Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)


3-Mengkhatamkan al-Quran


Di antara perkara yang sangat menggembirakan dan menyejukkan hati ketika memasuki bulan Ramadhan iaitu semangat kaum Muslimin dalam melaksanakan ibadah, termasuk di antaranya membaca al-Qur’an. 


Hampir tidak ada masjid yang kosong dari kaum Muslimin yang membaca al-Qur’an. Pemandangan seperti ini jarang dapat dilihat  di luar bulan Ramadhan, kecuali di beberapa tempat tertentu. 


Mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa bukan suatu perkara yang wajib. Namun, pada bulan Ramadhan, semestilahnya kaum Muslimin memperbanyak membaca al-Qur’an, sebagaimana Sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam didatangi oleh malaikat Jibrîl pada setiap bulan Ramadhan untuk mendengarkan bacaan beliau Sallallahu'alaihiwasallam,Dalam hadith sahîh dijelaskan,


إِنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلاَمَ كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُوْل ُاللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْ آنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيْلُ كَان رَسُوْل ُاللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ َ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّ يْحِ المُرْ سَلَةِ


Maksudnya:"Sesungguhnya Jibril mendatangi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam setiap tahun pada bulan Ramadhan sampai habis bulan Ramadhan. Beliau Sallallahu'alaihiwasallam memperdengarkan bacaan al-Qur’an kepada Jibril. Ketika Jibril menjumpai Rasulullah, beliau lebih pemurah dibandingkan dengan angin yang ditiupkan".Muslim(4268)


Imam Nawawi rahimahullah mengatakan : “Dalam hadith ini terdapat beberapa faedah, di antaranya ; menjelaskan kedermawanan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, juga menjelaskan tentang anjuran untuk memperbanyak kebajikan pada bulan Ramadhan; dianjurkan untuk semakin baik ketika berjumpa dengan orang-orang soleh; di antaranya juga anjuran untuk bertadarrus al-Qur’an". Lihat Syarh  al-Nawawi, (15/69). 


4-Ziarah Kubur


Ziarah kubur  disyariatkan supaya orang yang masih hidup dapat mengambil pelajaran dan juga dapat membantu mengingatkan akhirat. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :


زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَ كِّرُكُمْ الآخِرَةَ


Maksudnya:"Hendaklah kalian ziarah kubur, kerana ziarah kubur boleh membuat kalian mengingat akhirat". Ibnu Mâjah(1558)


Hadith ini menjelaskan bahawa tujuan ziarah kubur itu supaya dapat mengingatkan akhirat.  Ini bermaksud menziarahi Kubur bermunafaat bagi orang hidup.


Dalam hadith lain pula dijelaskan bahawa ziarah kubur dapat memberi munafaat kepada orang yang telah mati  dari kalangan kamu Muslimin. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengajarkan doa kepada para Sahabat beliau Sallallahu'alaihiwasallam yang hendak menziarahi kubur. Doanya berbunyi;


السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ


Maksudnya:"Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, dari (golongan) orang-orang beriman dan orang-orang Islam. Kami إِنْ شَاءَ اللهُ akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian".  Muslim(975)


Mengenai penentuan hari-hari tertentu untuk ziarah kubur, para Ulama menyatakan tidak ada riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menentuan hari-hari tertentu untuk ziarah kubur. Ziarah kubur boleh dilakukan bila-bila masa dan hari apa sahaja. Ziarah kubur boleh dilakukan ketika ada kesempatan, tanpa menentukan waktu-waktu tertentu. 


5-I'tikaf


i’tikaf dari sudut syarak membawa maksud: Menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. Rujuk Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/213).


Iktikaf adalah merupakan ibadah yang disyariatkan. Ia ditunjukkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:


وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ


Maksudnya: Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid". Al-Baqarah ayat 187.


Manakala dalil pensyariatan iktikaf daripada hadith adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:


 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ


Maksudnya: Adalah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan". Al-Bukhari (2025)


Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:


كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ 


Maksudnya: Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda". Muslim (1172)


Kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan mencari Lailatul Qadr. Rujuk Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/389).


Rukun Rukun Iktikaf


Iktikaf mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri. Keseluruhan rukun tersebut adalah empat yang berikut:


Mu’takif (orang yang melakukan iktikaf)

Masjid

Niat

Menetap.


Demikianlah beberapa perkara yang merupakan amala-amalan yang dituntut untuk dilakukan di luar bulan Ramadhan atau di dalam bulan Ramadhan.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...