Friday, March 3, 2023

Sekecil mana kejahatan tetap akan diadili

Sekecil mana kejahatan tetap  akan diadili

Setiap perbuatan manusia tidak pernah luput dari pengawasan Allah Subhanahuwata'ala. Setiap kebaikan akan mendapat ganjaran daripada-Nya dan setiap kejahatan yang dilakukan, semuanya akan diadili dan ditebus di akhirat nanti.


Semua hak-hak yang tidak ditunaikan semasa di dunia akan diputuskan nanti di hadapan Allah. Sekecil manapun kezaliman itu, bahkan seekor kambing yang menanduk kambing yang lainnya juga akan diadili oleh Allah.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ


Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Semua hak itu pasti akan dipenuhi (dibalas) pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk". Muslim (4679).


Imam Nawawi menjelaskan dalam syarahnya: “Adapun qisas bagi haiwan bertanduk terhadap haiwan tidak bartanduk bukanlah seperti qisas orang yang bertanggungjawab kerana haiwan tersebut tiada pentaklifan akan tetapi bagi haiwan itu ada qisas muqabalah (balas membalas)". [Syarah Sahih Muslim, 16/136]


Setiap manusia di dunia ini tidak akan terlepas daripada perhitungan yang adil di akhirat kelak. Tidak akan ada manusia yang mampu untuk memanipulasi rekod amalannya kerana setiap perhitungan yang dilakukan Allah Subhanahuwata'ala adalah sangat adil.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا ۖ وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَاسِبِينَ


Maksudnya:"Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawipun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan". Al-Anbiya ayat 47


Tidak seperti perhitungan dunia yang ada kalanya betul, malahan tidak kurang juga berat sebelah. Ada insan teraniaya disebabkan perhitungan tidak adil baginya. Namun, bagi Allah Subhanahuwata'ala, setiap amalan akan dihitung dengan tepat dan adil.


Keadilan Allah Subhanahuwata'ala tidak sama dengan makhluk-Nya. Dari Abu Dzar Radhiyallahu anhu dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,


يَقُوْلُ اللهُ : مَنْ جَاءَ بِالْـحَسَنَةِ ، فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِـهَا وَ أَزِيْدُ ، وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ ، فَجَزَاؤُهُ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا ، أَوْ أَغْفِرُ.


Maksudnya:"Allah berfirman, ‘Barangsiapa mengerjakan kebaikan, ia berhak atas sepuluh kebaikan yang sama dan Aku tambahkan (kebaikan kepadanya). Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan, balasannya ialah kesalahan yang sama atau Aku mengampuninya". Muslim (2687), Ahmad (V/153), dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah (V/25, no. 1253).


Allah Subhanahuwata'ala memberikan balasan-Nya dengan adil, sesiapa berbuat dosa sebesar zarah maka balasan terhadapnya juga sebesar zarah dan sesiapa berbuat kebajikan, Allah Subhanahuwata'ala tidak hanya membalas, tetapi menambahkan balasan daripada rahmat-Nya dengan gandaan tidak terkira.


Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai dan akan dibalas di sisi-Nya. Sama ada ia kecil mahupun besar, penilaian daripada Allah Subhanahuwata'ala adalah yang paling adil untuk manusia.


Allah Subhanahuwata'ala memberikan balasan-Nya dengan adil, sesiapa berbuat dosa sebesar zarah maka balasan terhadapnya juga sebesar zarah dan sesiapa berbuat kebajikan, Allah Subhanahuwata'ala tidak hanya membalas, tetapi menambahkan balasan daripada rahmat-Nya dengan gandaan tidak terkira.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ * وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ


Maksudnya:"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula". Al-Zalzalah ayat 7-8.

 

Ini adalah balasan bagi yang berbuat baik dan jahat. Walaupun yang dilakukan adalah hanya sebesar zarrah (ukuran yang sangat kecil), akan dibalas. Maka sudah tentu lebih utama lagi jika ada yang beramal lebih dari itu dan akan dibalas. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِنْ سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا


Maksudnya:"Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (dimukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau kiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh". Ali Imran ayat 30.


وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا


Maksudnya:"Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis)".Al Kahfi ayat 49.


Bagi Allah Subhanahuwata'ala, setiap amalan akan dihitung dengan tepat dan adil. Malah, setiap amalan tidak terlepas daripada catatan malaikat. Malaikat yang ditugaskan mencatat amalan manusia tidak sesekali leka dengan tugasan yang diberikan. Tidak mungkin manusia dapat menyembunyikan kejahatan yang dilakukan kerana semuanya akan dicatat secara terperinci.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ


Maksudnya:"Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir". Qaf ayat 18.


Pada hari perhitungan amalan nanti, setiap insan akan menerima keputusan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Keputusan itu menentukan sama ada seseorang itu menuju ke syurga atau ke neraka.


Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan perihal keputusan perhitungan amalan manusia itu menerusi firman-Nya,


فَاَمَّا مَنْ اُوْتِيَ كِتٰبَهٗ بِيَمِيْنِهٖۙ. فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَّسِيْرًاۙ. وَّيَنْقَلِبُ اِلٰٓى اَهْلِهٖ مَسْرُوْرًاۗ. وَاَمَّا مَنْ اُوْتِيَ كِتٰبَهٗ وَرَاۤءَ ظَهْرِهٖۙ. فَسَوْفَ يَدْعُوْا ثُبُوْرًاۙ. وَّيَصْلٰى سَعِيْرًاۗ. إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا. إِنَّهُ ظَنَّ أَنْ لَنْ يَحُورَ. بَلَىٰ إِنَّ رَبَّهُ كَانَ بِهِ بَصِيرًا


Maksudnya:"Maka adapun orang yang catatannya diberikan dari sebelah kanannya. Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah. Dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Dan adapun orang yang catatannya diberikan dari sebelah belakang. Maka dia akan berteriak, “Celakalah aku!. Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir). Sesungguhnya dia menyangka bahwa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).(Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya". Al-Insyiqaq ayat 7-15


Tidak hanya rekod yang dicatat, pada hari perhitungan kelak anggota badan turut menjadi saksi terhadap setiap perbuatan buruk yang dilakukan.


Ketika itu mulut akan dikunci dan atas kuasa Allah Subhanahuwata'ala, tangan dan kaki akan berbicara sebagai saksi atas perbuatan yang dilakukan.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan". Yasin ayat 65.


Allah Subhanahuwata'ala tidak akan mengurangi pahala seseorang dan pembalasan akan disempurnakan-Nya. Begitu juga Allah Subhanahuwata'ala tidak akan menyeksa orang yang tidak sepatutnya menerima seksaan kerana pahala dan seksaan adalah hasil amal yang memberi kesan baik atau kotor terhadap jiwa.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...