Thursday, February 23, 2023

Sekecil mana kebaikan akan menerima ganjaran.

Sekecil mana kebaikan akan menerima ganjaran.

Muslim yang melakukan kebaikan pasti akan menerima ganjaran daripada Allah Subhanahuwata'ala. 

Walaupun begitu pandangan manusia terhadap sesuatu amalan kebaikan adalah berbeza-beza. Ada yang memandang sesuatu amalan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan amalan lain yang baginya lebih besar. Namunpun begitu, hakikat pandangan manusia tidak boleh dijadikan asas dalam menentukan nilai amalan di sisi Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai dan akan dibalas di sisi-Nya. Sama ada ia kecil mahupun besar, penilaian daripada Allah Subhanahuwata'ala adalah yang paling adil untuk manusia.


فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ * وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ


Maksudnya:"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula". Az Zalzalah ayat 7-8.


Wasiat berharga yang disampaikan oleh Lukman Al-Hakim kepada anaknya bahawa setiap kejahatan dan kebaikan walaupun sangat kecil serta tersembunyi, pasti akan dibalas oleh Allah pada hari kiamat. Begitu pula nasehat beliau menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah. Sehingga kita wajib menyakini bahawa Allah akan selalu mengawasi kita di mana saja kita berada.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ


Maksudnya:"(Luqman berkata): “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui". Luqman ayat 16.


Ibnu Katsir rahimahullah berkata, “Ini adalah wasiat yang amat berharga yang Allah ceritakan tentang Lukman Al Hakim supaya setiap orang boleh mencontohinya … Kezaliman dan dosa apa pun walau seberat biji sawi, pasti Allah akan mendatangkan balasannya pada hari kiamat ketika setiap amalan ditimbang. Jika amalan tersebut baik, maka balasan yang diperoleh pun baik. Jika buruk, maka balasan yang diperoleh pun buruk". Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 11: 55.


Ayat di atas serupa dengan ayat di atas,


وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ


Maksudnya:"Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan".  Al Anbiya’ ayat  47.


Dalam usaha melakukan kebaikan, jangan sesekali memandang remeh terhadap amalan kebaikan yang dilihat kecil oleh mata kasar. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala menilai amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba dengan pandangan rahmat-Nya. Keadaan setiap orang berbeza-beza ketika melakukan kebaikan.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ


Maksudnya:"Dari Abu Dzar, Rasulullah bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu".  Muslim (4760)


Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah. Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.


Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar. Ada orang mungkin hanya mampu bersedekah dengan hanya RM1 daripada keseluruhan duit yang ada padanya bernilai RM10. Perbuatan terbabit tidak boleh dilihat kecil atau disamakan dengan orang yang juga bersedekah dengan RM1 daripada ribuan wang yang dimilikinya. Pastinya nilaian ganjaran yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata’ala juga melihat kepada niat dan keadaan seseorang ketika melakukan kebaikan. Keadaan setiap insan berbeza-beza ketika melakukan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ وَجَدَ غُصْنَ شَوْكٍ عَلَى الطَّرِيقِ فَأَخَّرَهُ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ……


Maksudnya:"Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Ketika seorang laki-laki berjalan pada suatu jalan dan menemukan dahan berduri lalu ia membuangnya maka Allah menyanjungnya/menyukai perbuatanya dan mengampuni dosanya…..". Bukhari(615)


Ada dalam kalangan hamba Allah Subhanahuwata'ala yang mendapat ganjaran yang luar biasa daripada amalannya yang mungkin dilihat sebagai biasa-biasa sahaja.


Penjelasan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tersebut menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala dengan rahmat-Nya berkuasa untuk menentukan ganjaran yang selayaknya atas usaha hamba-Nya yang melakukan kebaikan. Setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim akan diberi ganjaran oleh Allah Subhanahuwata’ala dan tidak sesekali dipersiakan.


Ada orang yang mampu mengeluarkan sedikit daripada rezekinya untuk disumbangkan kepada saudara seagama yang memerlukan bantuan kewangan. Ada juga orang yang mampu berdoa supaya saudaranya diberi perlindungan oleh Allah Subhanahuwata’ala dan terselamat daripada serangan musuh Islam.


Semua bentuk kebaikan yang dilakukan orang Islam akan diberi ganjaran selayaknya oleh Allah Subhanahuwata’ala. Justeru, tidak boleh ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang merendah-rendahkan usaha saudaranya dalam melakukan kebaikan. Asalkan perbuatan baik yang dilakukan berasaskan niat murni serta dengan rasa ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala, pasti ia akan menjadi sebab dikurniakan ganjaran istimewa oleh-Nya.


Dalam hadith lain, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَتْ شَجَرَةٌ فِي طَرِيقِ النَّاسِ تُؤْذِي النَّاسَ فَأَتَاهَا رَجُلٌ فَعَزَلَهَا عَنْ طَرِيقِ النَّاسِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ رَأَيْتُهُ يَتَقَلَّبُ فِي ظِلِّهَا فِي الْجَنَّةِ


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik berkata: ada sebatang pohon pada suatu jalan yang mengganggu manusia. Seorang laki-laki mendatanginya dan menyingkirkannya dari jalan itu. kata (Anas bin Malik) Radhiyallahu'anhu, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam lantas bersabda: "Sungguh saya melihat orang itu membolak-balikkan badannya di bawah naungan pohon tersebut di syurga". Ahmad (12112).


Buatlah kebaikan sebanyak-banyaknya meskipun ia membabitkan amalan yang dilihat kecil oleh sesetengah orang. Ini kerana tidak ada seorang pun yang mengetahui amalan yang manakah akan diterima oleh Allah Subhanahuwatsla'ala sebagai amalan terbaik untuk dirinya.


Setiap Muslim yang melakukan kebaikan pasti akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah Subhanahuwata'ala. Ada kalanya kita merasakan apa yang dilakukan itulah yang paling terbaik, sedangkan orang lain juga sebenarnya sedang melakukan kebaikan yang sama menerusi amalan yang berbeza.


Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggesa kita melakukan kebaikan. Kebaikan itu pula tidak dihadkan kepada amalan-amalan tertentu sahaja, sebaliknya Allah Subhanahuwata'ala mengiktiraf semua jenis kebaikan selagimana ia dibenarkan oleh syarak. Peluang untuk melakukan kebaikan dan amal soleh juga terbuka kepada sama ada lelaki ataupun perempuan.


Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahuwatala'ala menerusi firman-Nya,


مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Maksudnya:" Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan". Al-Nahl Ayat 97.


Malah, Allah Subhanahuwatala'ala juga berkuasa untuk mengampuni setiap hamba-Nya yang melakukan kesilapan dengan syarat mereka bertaubat dan melakukan amal soleh. Justeru, dapat difahami bahawa amalan soleh boleh menjadi sebab segala rekod kejahatan digantikan dengan kebaikan. Semuanya atas rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahuwatala'ala.


Firman Allah Subhanahuwatala'ala,


يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا


Maksudnya:"(yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Al-Furqan Ayat 69- 70.


 

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...