Pagi beriman dan petangnya kafir dan menjual agama kerana habuan dunia.
Ada sebuah hadith menggambarkan situasi akhir zaman berkaitan penyakit yang melanda manusia. Hadith tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu beriman pada waktu pagi namun petangnya menjadi kafir, ada pula petang hari beriman dan sebaliknya menjadi kafir pada pagi hari. Waktu berubah sangat cepat hanya dalam jangka waktu tidak sampai sehari keimanan dan kekufuran bertukar ganti. Boleh jadi paginya ia masih beriman adanya Rabb pencipta alam, petangnya ia sudah menjadi kafir atau mengingkari adanya Rabb pencipta alam.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Bahwasanya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Bersegeralah beramal sebelum datangnya fitnah seperti potongan malam yang gelap gulita, seorang laki-laki diwaktu pagi mukmin dan diwaktu petang telah kafir, dan diwaktu petang beriman dan pagi menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia". Ahmad (8493)
Hadith di atas menggambarkan bagaimana manusia hari ini berdepan dengan masalah kegoyangan akidah, dan kelonggaran prinsipnya. Banyak faktor yang menyumbang ke arah ini.
Ramai ulama yang menghuraikan hadith ini di dalam kitab-kitab mereka. Rata-rata mengaitkan hadith ini dengan gejala murtad yang semakin meluas. Dahsyatnya fitnah dunia akhir zaman, seperti kedatangan malam yang gelap gulita. Salah satu akibat dari dahsyatnya fitnah ialah berubahnya hati manusia dengan cepat dan mudah sekali tercabutnya iman kepada kufur. Seolah-olah akhir zaman menyaksikan manusia mula hilang kepercayaan kepada Islam.
Masyarakat yang berubah-ubah pendirian. Tergoncangnya prinsip hidup. Kebenaran terkeliru. Ramai juga yang tak mengenal diri sendiri apatah lagi hendak mengenal Tuhan.
Lebih-lebih lagi di zaman ini di mana syubhat (kekeliruan) sangat cepat menyebar melalui internet dan media sosial. Ternyata banyak tersebarnya tulisan, video dan bahan-bahan yang boleh menyebabkan seseorang itu ragu akan keimanannya dan akhirnya mengingkari (kafir). Tulisan tentang golongan athies yang tidak percaya akan adanya Rabb yang mencipta sangat banyak tersebar di media sosial. Demikian juga keyakinan bahawa semua agama itu sama saja yang penting dapat menjalani kehidupan. Boleh saja berlaku di pagi harinya dia beriman, tetapi petang harinya dia menjadi kafir sebagaimana hadith diatas.
Inilah gambaran akhir zaman yang hari ini kita menyaksikannya. Gejala murtad berleluasa tanpa kekangan. Bahkan masing-masing cuba menafsirkan Islam mengikut andaian masing-masing.
Banyak faktor yang kita boleh jangkakan berlaku pada hari ini yang merubah hati manusia dengan cepat dan mudah sekali hingga tercabutnya iman kepada kufur. Ianya berlaku dalam 12 jam sahaja, beriman di pagi hari, kemudian kufur di sebelah petangnya, beriman di petang hari kemudian kufur lagi di pagi harinya
Fenomena iman-kufur-iman-kufur boleh berlaku, apabila manusia dihimpit dengan masalah ingin cepat kaya dan ingin hidup senang tanpa mahu memikirkan hukum halal dan haram. Bahkan ada diantara mereka yang mempertikaikan hukum Allah dan mahu membebaskan diri dari hukum Allah ini.
Sedangkan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sudah berpesan,
مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ ..وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا
Maksudnya: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah Subhanahuwata'ala, kerana sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala tidak lupa barang sedikitpun. Kemudian Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam membaca daripada firman Allah Subhanahuwata'ala: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam ayat 64.
Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.
Faktor serangan pemikiran yang mempertikaikan logik Islam juga sebagai penyumbang kepada fenomena iman-kufur-iman-kufur apabila munculnya ideologi-ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam yang suci, diantaranya:
(a) Sekularism pada awal-awal kemunculannya lagi menggambarkan Islam itu hanya sekadar ‘religion’. Menyebabkan orang-orang Islam tidak melihat Islam sebagai sistem, hanya sekadar ritual.
(b) Golongan Pluralism pula menggambarkan Islam sama sahaja seperti agama-agama lain. Sekadar kepercayaan, dan tidak dianggap sebagai sistem hidup.
(c) Golongan Liberalism pula ialah suatu bentuk pemikiran memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.
Pemikiran Liberalism ini berupaya untuk membebaskan dan ‘meliberalkan’ umat Islam dari Islam yang satu, yang disepakati, dan Islam yang sudah mantap dan kukuh sekian lama. Dalam sejarah Islam, pemikiran sedemikian dahulu dikenal dengan nama golongan Ibahiyyun yang bermaksud golongan yang serba membolehkan apa sahaja. Yang haram menjadi halal. Yang wajib menjadi tidak wajib lagi. Zina, arak, judi semua menjadi halal. Solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, semua tidak lagi wajib.
Perkara ini jelas sesat bahkan boleh menyebabkan gugurnya iman sekiranya orang tersebut beriktikad pada perkara yang bercanggah dengan kaedah,
مَا هُو مَعلوم مِن الدينِ بالضَّرورةِ
Maksudnya:"ِapa yang diketahui dalam agama secara pasti".
Musibah besar yang melanda umat Islam pada hari ini ialah ancaman akidah dan pemikiran. Berbagai jenis kecelaruan didedahkan kepada umat Islam hari ini, bahkan ada yang menyeliputi pemikirannya dengan Islam, akan tetapi hakikatnya menyimpang jauh dari ajaran Islam sebenar.
.....وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya:"....Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya". Al-Baqarah ayat 217
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya:"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi". Ali Imran ayat 185
Disebabkan oleh belitan hawa nafsu dan akal yang singkat, lahirlah pemikiran yang ingin membebaskan agama ini dari tafsiran dan kefahaman yang telah diwarisi ulama Islam sejak zaman junjungan besar
Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sehingga hari ini. Usaha untuk mentafsirkan agama Islam dengan cara pandang yang liberal atau bebas serta merubah apa yang telah diwarisi oleh ulama terdahulu dengan tafsiran yang menggunakan akal semata-mata, tanpa panduan ulama dan kaedah yang telah digunakan oleh ulama-ulama Islam sejak dahulu hingga kini.
Golongan yang berubah-ubah pendirian ini ialah mereka ‘menjual agama’ يَبِيعُ أَحَدُهُمْ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا . Menggadaikan prinsip agamanya kerana mengejar habuan dunia.
Ataupun mereka yang menjual agama untuk meraih pengaruh populis. Hari ini penyakit ini semakin membarah di kalangan orang Islam. Masing-masing mendabik dada mempunyai dalil.
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ أَحَدُهُمْ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
Dari Abu Huraiah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Segeralah melakukan berbagai amal sebelum datangnya berbagai fitnah seperti potongan malam gelap, di pagi hari seseorang beriman dan di petang hari menjadi kafir, petang hari beriman dan di pagi hari menjadi kafir, salah seorang dari mereka menjual agamanya dengan barang dunia". Tirmizi(2121)
Umat Islam boleh ditimpa musibah atau bala bencana sebagaimana umat terdahulu yang musnah dan dilaknat kerana menokok tambah dan mereka-reka perihal agama mereka.
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya:"Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu". Al-Mu’minun Ayat 71
Sesungguhnya orang-orang yang beriman menyedari bahawa pada hari ini kita sedang menjalani kehidupan sebagaimana yang tergambar dalam hadith di atas. Sama ada kita suka atau pun tidak, kita perlu mengakui hakikat bahawa masyarakat kita sedang hidup dalam kegelapan dan kesamaran akidah seperti kepekatan akhir malam yang gelap gelita.
Pada hari ini kita menjalani kehidupan dalam suasana fitnah dan ujian yang begitu dahsyat terhadap keimanan di mana kebanyakan insan tidak lagi mengenali agama mereka melainkan hanya dengan sangkaan-sangkaan bahawa mereka mengetahui. Sesiapa sahaja boleh mengaku diri sebagai Muslim dan Mukmin, sedangkan mereka telah jelas melanggar garis sempadan yang memisahkan di antara wilayah Iman dan kufur.
No comments:
Post a Comment