Wednesday, December 28, 2022

Orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala dari amalan kebaikannya di akhirat.

Orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala dari amalan kebaikannya  di akhirat.


Baik menurut bahasa ertinya elok, patut, teratur, beruntung, berguna, sembuh dan  selamat.


Kebaikan menurut istilah ertinya sifat baik; perbuatan baik dan sifat manusia yang dianggap baik menurut norma dan pandangan umum yang berlaku.


Kebaikan menurut Islam adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya dan juga oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam di dalam sabdanya.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَعْلَمَهُ النَّاسُ


Maksudnya:"Dari An Nawas bin Sam'an ia berkata; Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tentang kebaikan dan dosa. Beliau menjawab: "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah sesuatu yang mengganggu dalam dirimu(apa saja yang meragu dalam jiwamu dan kamu tidak ingin orang lain mengetahuinya". Darimi (2670)


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَالْإِثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ وَقَالَ لَا تَقْرَبْ لَحْمَ الْحِمَارِ الْأَهْلِيِّ وَلَا ذَا نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ


Maksudnya:"Nabi Sallallahu'alaihiwasallam lalu bersabda: "Kebaikan itu adalah sesuatu yang menjadikan jiwa tenang dan hati merasa tenteram. Sedangkan keburukan itu adalah sesuatu yang tidak dapat menjadikan jiwa tenang dan hati yang tenteram, meskipun hasil sebuah fatwa." Beliau melanjutkan: "Dan janganlah kamu memakan daging Himar yang jinak dan jangan pula binatang buas yang bertaring". Riwayat Ahmad(17076). Dhaif.


Allah Subhanahuwata'ala memperincikan terhadap apa yang disebut kebaikan dalam firman-Nya:


لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ


Maksudnya:"Kebaikan itu bukanlah dengan menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, Hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa". Al-Baqarah Ayat 177.


Kebaikan ada yang bersifat universal, ertinya orang mukmin dan kafir menganggap itu sebagai kebaikan, seperti sifat jujur, berbakti kepada orang tua, membantu orang miskin dan sebagainya.


Kebaikan ada yang bersifat spesifik yang disebut sebagai amal soleh. Amal soleh adalah kebaikan yang sifatnya lebih spesifik menurut pandangan Islam. Ertinya, pelakunya adalah seorang yang beragama Islam, dimana setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang yang beragama Islam itu akan diikat dengan syarat keimanan yang benar dan ianya akan dinamakan sebagai amal soleh.


Dari sini boleh difahami bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak disebut sebagai amal soleh, kerana tidak memenuhi syarat iaitu pelakunya mestilah seorang muslim.


Adakah kebaikan orang kafir sia-sia saja?


Amalan kebaikan orang kafir di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia juga, ianya adalah sebagai bukti bahawa sifat maha penyayang Allah Subhanahuwata'ala yang kasihkan akan hamba-Nya. Ini berdasarkan hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّهُ حَدَّثَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْكَافِرَ إِذَا عَمِلَ حَسَنَةً أُطْعِمَ بِهَا طُعْمَةً مِنْ الدُّنْيَا وَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَإِنَّ اللَّهَ يَدَّخِرُ لَهُ حَسَنَاتِهِ فِي الْآخِرَةِ وَيُعْقِبُهُ رِزْقًا فِي الدُّنْيَا عَلَى طَاعَتِهِ


Maksudnya:"Dari Anas bin Malik ia menceritakan dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, bila orang kafir mengerjakan suatu kebaikan, dengan kebaikan itu ia diberi sesuap makanan dari dunia(dibalas dengan kebaikan di atas dunia) , sedangkan orang mu`min itu kebaikan-kebaikannya disimpan oleh Allah diakhirat dan ia diberi rezeki di dunia kerana ketaatannya. Muslim(5023)


Berdasarkan hadith di atas kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak akan disia-siakan, bahkan kebaikan orang kafir akan dibalas di dunia akan tetapi mereka tidak akan mendapat balasan di akhirat.


Orang kafir tidak mendapat balasan di akhirat, kerana orang kafir itu tidak mengharapkan amalannya agar dibalas di akhirat kelak atau ia mengharapkan balasan tetapi tidak memenuhi syarat untuk dibalas di akhirat, iaitu syarat sebagai seorang yang beragama Islam. Sebagaimana balasan syurga adalah syarat Iman dan amal soleh, firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا ۙ قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya". Al-Baqarah ayat 25.


Apa jua amal yang baik yang pernah dilakukan oleh orang-orang yang tidak beriman kepada Allah (orang-orang yang kafir) di dunia dahulu akan terbuang sahaja pada hari kiamat kelak dan tidak dapat memberi sebarang pertolongan disebabkan oleh kekufuran mereka. Allah Subhanahuwata'ala menjadikan amalan baik mereka sia-sia seperti debu yang berterbangan, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا


Maksudnya:"Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan". Al-Furqan ayat 23.


Imam al-Qurtubi mengatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Amalan baik orang-orang kafir atau orang bukan Islam di akhirat kelak tidak akan dihitung oleh Allah Subhanahuwata'ala kerana tiada manfaat. Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu, seperti tanah yang asalnya kelihatan namun apabila ditiup debunya bertebangan dan hilang begitu sahaja.

[Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran: 7/24]


Segala apa amalan serta usaha oleh mereka yang tidak berdasarkan keimanan yang berlandaskan akidah yang sahih dan tidak pula mengikut jalan yang betul benar atau yang mendatangkan keimanan kepada mereka pada hari akhirat kelak adalah suatu amalan dan usaha yang sia-sia dan tidak mendapat apa-apa balasan daripada Allah Subhanahuwata'ala,   


مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ ۖ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ ۖ لَا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَىٰ شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الضَّلَالُ الْبَعِيدُ


Maksudnya:"Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh". Ibrahim ayat 18.


Orang-orang yang tidak beriman(orang kafir) akan rugi dan hampa di akhirat kelak, kerana amal-amal mereka yang baik yang dapat menolong mereka mereka, tidak dapat menyelamatkan mereka dari azab siksa Allah. Mereka adalah ibarat orang dahaga di padang pasir pada tengahari yang panas terik. Ia melihat riak sinaran panas dari jauh seperti air (fatamorgana) dan setelah ia sampai kesitu hampalah hatinya, kerana tidak didapati sesuatu apa pun.


وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ


Maksudnya:"Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya". An Nur ayat 39.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ اللهَ لَا يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً، يُعْطَى بِهَا فِي الدُّنْيَا وَيُجْزَى بِهَا فِي الْآخِرَةِ، وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا لِلَّهِ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الْآخِرَةِ، لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا


Maksudnya:"Bahwasanya Allah Ta'ala tidak menzalimi seorang mukmin atas amalan kebaikan yang dia lakukan, Allah membalas kebaikannya di dunia dan di akhirat. Sedangkan orang kafir Allah memberinya makanan (rezki) di dunia sebagai balasan atas kebaikannya, akan tetapi ketika seorang di akhirat nanti, maka kebaikannya tidak ada nilainya lagi dan dia tidak mendapat balasan apa-apa" . Muslim (2162)


Imam An Nawawi berkata: “Seluruh ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa seorang kafir setelah dia meninggal dunia, dia tidak mendapat pahala di akhirat dan tidak mendapat balasan atas amalan kebaikan yang dia lakukan di dunia.” (Syarah Sahih Muslim, 17/150)


Syeikh Ali Abdul Hamid menjelaskan hadith ini bahawa para ulama bersepakat tentang orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala di akhirat, dan segala amalan kebaikannya di dunia tidak berguna di akhirat kelak. Namun hadith ini juga mengatakan bahawa orang kafir akan diberi rezeki di dunia kerana amalan kebaikan mereka, yang mana amalan itu jika dilakukan oleh orang mu’min maka akan dikira sebagai perkara yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala. Tetapi amalan itu hanya terpakai pada perbuatan kebaikan yang tidak perlu kepada niat untuk menjadikan perbuatan itu sah sebagai ibadah (contohnya solat memerlukan niat) seperti amalan silaturrahim, bersedakah, membantu orang yang susah dan lain-lain.

[Lihat al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim: 1/287]


Dari penjelasan dan dalil-dalil yang dinyatakan, dengan jelas kita mengetahui bahawa balasan perbuatan orang kafir hanya di dunia, dan tidak akan mendapat balasan Allah Ta'ala di akhirat kerana dia tidak mengharap daripada amalannya balasan di akhirat atau amalannya itu tidak ikhlas kerana Allah dan tidak menurut syariat-Nya. Ertinya, orang kafir tidak mungkin masuk syurga kerana amalan kebaikan yang mereka lakukan tidak memenuhi syarat sebagai amal soleh yang memasukkannya ke dalam syurga. Bahkan seorang muslim pun tidak akan mendapat pahala kebaikannya apabila tidak memenuhi syarat ikhlas dan tidak bersesuaian syariat.


Amalan kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh orang kafir di atas dunia akan dibalas oleh Allah Subhanahuwata'ala dengan kebaikan di atas dunia juga seperti diberi rezeki, kesihatan, kasih sayang sesama manusia dan lain-lain. Tetapi mereka di akhirat kelak tidak akan mendapat apa-apa ganjaran kerana tidak beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala dan tidak mengikuti syariat-Nya, malah amalan mereka tidak bermanfaat sama sekali untuk membantu mereka di akhirat kelak.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...