Wednesday, January 11, 2023

Hasad dengki menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.

Hasad dengki menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.


Antara sifat mazmumah adalah hasad dengki( حَسَدَ - يَحْسَدُ) . Pekerti mazmumah iaitu pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. 


Hasad ( حَسَدَ - يَحْسَدُ) berasal dari bahasa Arab yang bererti dengki, yang mana sering digabungkan menjadi hasad dengki dalam bahasa harian kita. Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus. Tetapi dia akan merasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan yang memperolehi kelebihan serta keistimewaan berkenan


Hakikatnya, perasaan hasad dengki adalah salah satu perangai atau sifat buruk yang telah menghinggapi manusia sejak dari dahulu lagi. Ia bukan sahaja terjadi dalam dunia politik, perniagaan, pekerjaan dan persahabatan, malahan turut berlaku dalam suasana kekeluargaan.


Di dalam al-Quran misalnya, Allah Subhanahuwata'ala memaparkan kisah Nabi Yusuf yang dicampakkan oleh saudara-saudaranya ke dalam telaga kerana merasa dengki kepadanya yang sangat disayangi oleh bapanya, iaitu Nabi Yaqub. Hal ini terakam pada firman-Nya


إِذْ قَالُوا لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ .اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ


Maksudnya:"(Iaitu) ketika mereka berkata: "Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia kesuatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik". Yusuf ayat 8-9


Perasaan kurang senang dengan kemajuan serta kemewahan hidup yang dikecapi oleh orang lain adalah benih sifat iri hati dan hasad dengki. Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh menerima serta melihat orang lain melebihi dirinya. Lantas, rasa iri hati membuahkan pula sifat atau penyakit hasad dengki.


Berita gembira untuk si pendengki atau kaki hasad adalah perkara buruk yang menimpa orang yang didengkinya. Kalau ada berita buruk mengenai orang yang dihasadnya, maka berseriserilah mukanya kegembiraan. Tetapi jika ada kebaikan atau kelebihan lain orang yang dihasadnya pula, maka bermasam mukalah dia kedukaan.


Sifat buruk dan keji ini tidak akan reda selagimana terdapat individu atau kelompok tertentu yang sanggup mewakafkan dirinya untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain. Dan sesungguhnya watak yang sedemikian menyalahi ajaran Allah dan Rasul-Nya yang menyuruh kita turut gembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita buruk yang menimpa saudara Muslim.


Dari Watsilah bin Al Asqa’, ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لاَ تُظْهِرِ الشَّمَاتَةَ لأَخِيكَ فَيَرْحَمُهُ اللَّهُ وَيَبْتَلِيكَ


Maksudnya:"Janganlah engkau menampakkan kegembiraan kerana musibah yang menimpa saudaramu. Kerana jika demikian, Allah akan merahmatinya dan malah memberimu musibah". Tirmizi (2506), Dhaif.


Sifat negatif berkenaan adalah nilai yang tidak baik dalam kerangka bersaing mencapai kecemerlangan dan membangunkan Negara yang terbilang. Namun inilah antara resam dunia, apabila ada orang yang sebangsa dan seagama maju, kaya-raya dan berjaya, terus ada pemikiran negatif. Mereka mentohmah kononnya kemajuan serta kejayaan yang mereka perolehi itu hasil dari pinjaman, rasuah, tipu-daya dan sebagainya.


Tetapi ironinya, apabila bangsa lain maju, Berjaya serta kaya-raya, jarang sekali yang mempersoalkan bagaimana mereka memperolehi kelebihan tersebut. Senario ini mengisyaratkan ada sesuatu yang tidak kena, yakni berkemungkinan hati sudah diselimuti sifat cemburu dan hasad terhadap saudara seagama yang lebih ke hadapan dalam pelbagai bidang.


Hasad dengki adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Dalam menghuraikan persoalan sifat yang keji ini, Imam al-Ghazali menyenaraikan tiga ciri orang yang berdengki seperti berikut:


Pertama, menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.


Kedua, menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.


Ketiga, merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.


Sehubungan itu, seseorang yang berpenyakit hasad dengki sentiasa gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh orang yang didengkinya. Apabila perasaan itu tidak lagi dapat dikawal, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai dengan apa cara sekalipun.


Dan situasi inilah yang menatijahkan gejala negatif seperti mereka-reka cerita, menfitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya bertujuan memburuk-burukkan orang yang didengki. Malah, ada di kalangan yang dihidapi penyakit hasad itu sanggup bersekongkol dengan pihak musuh menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial hatta melanggani tukang-tukang sihir dan mengamalkan perbuatan keji lainnya semata-mata untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.


Perasaan hasad dengki merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam, dan Allah Subhanahuwata'ala mengarahkan agar kita meminta perlindungan dari Allah Subhanahuwata'ala dari kejahatan sifat dengki. Firman Allah ‘Azza wa Jalla:


وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


Maksudnya: Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya". Surah al-Falaq ayat 5.


Orang yang berpenyakit hasad dengki disifatkan sebagai kufur nikmat kerana seolah-olah tidak redha dengan ketentuan qada dan qadar Ilahi. Sebab itu, apabila hasad bermaharajalela menguasai diri seseorang, maka segala kebaikan akan terhakis. Amaran serta peringatan ini terangkum dalam hadith daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ


Maksudnya: Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu. Sunan Abi Dawud (4903)


Mereka yang menghidap sifat mazmumah seperti hasad perlu kembali kepada panduan yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, sebagaimana sabdanya,


عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَقَاطَعُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا 


Maksudnya:"Dari Anas bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Janganlah kamu  saling dengki, saling marah, dan jangan pula saling memutuskan hubungan satu sama lain. Tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara". Muslim(4642).


Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencegah diri daripada dihidapi sifat hasad. Ia perlu bermula di hati dengan menanamkan perasaan al-qanaah/ القناعة(cukup dengan apa yang diberikan); al-zuhd/الزهد (tidak mementingkan duniawi); kitmanus-sir/كتمان السر (merahsiakan rahsia); al-hilm/الحلم(mengawal kemarahan ); As-syajaah/الشجاعة (berani); dan al-iffah/ العِفَّة( pemaaf).


Saranan serta anjuran Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ini hendaklah kita semua junjung dan terjemahkan dalam kehidupan harian kita.  Dalam kerangka ini, rafakkanlah doa selalu memohon ke hadrat Ilahi Rabbi supaya dijauhkan dari segala sifat mazmumah, diampunkan segala dosa, diterima taubat kita dan seterusnya hidup dan mati dalam keadaan beriman.


وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا


Maksudnya:"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Al-Nisa ayat 110.

No comments:

Post a Comment

Taklif syar'i bila mencapai umur baligh

Taklif syar'i bila mencapai umur baligh  Taklif dari segi bahasa - Pembebanan. Dari segi istilah - Menerima tanggungjawab dan kewajipan ...