Wednesday, January 18, 2023

Istiqamah perbuatan dan amalan.

Istiqamah  perbuatan dan amalan.

Istiqamah yang dimaksudkan ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan menekuni melaksanakan syariat tanpa berubah dan tidak berpaling walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti diperintahkan Allah dan Rasul dalam Surah Fusilat Ayat 6,


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ ۗ وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ


Maksudnya:"Katakanlah: "Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepada-Nya dan mohonlah ampun kepada-Nya. Dan kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya.


Istiqamah adalah daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan.


Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah Subhanahuwata'ala. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.


Islam menuntut kita untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebaikan. Setiap amal kebaikan yang dilaksanakan seperti bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan lainnya, hendaklah berterusan dan diamalkan untuk menjadi pembakar semangat sebagai usaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala. 


Namun, istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh seseorang. Tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan amalan secara istiqamah dalam kehidupan seharian. Bersifat istiqamah ini merupakan sesuatu perkara yang mencabar kepada diri hamba-Nya. 


Begitu juga perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci diredai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutama perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat.


Terkadang ketika melakukan amalan-amalan tersebut kita perlu melakukannya secara berkala dan bermusim. Justeru, istiqamah memerlukan disiplin yang tinggi di dalam diri untuk dilaksanakan secara konsisten dan berterusan. 


Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa. Firman Allah di dalam Surah Yusuf ayat 87,


يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ


Maksudnya:"Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".


Juga dalam mengharungi cabaran untuk beristiqamah ianya amat memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahuwata'ala yang teguh.


Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Hud ayat 112,


فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ


Maksudnya:"Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan". Hud ayat 112.


Islam menggalakkan umatnya agar terus beristiqamah dalam mengerjakan amal ibadah serta amal soleh yang disukai dan diperintah oleh Allah Subhanahuwata'ala serta Rasul-Nya Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Sesungguhnya istiqamah dalam melakukan amal kebaikan dapat memberatkan timbangan amal di akhirat kelak. Justeru amat beruntunglah hamba Allah Subhanahuwata'ala yang sentiasa istiqamah mengerjakan amal kebaikan. Kemuncak kepada keberuntungan melakukan istiqamah adalah dengan kurniaan redha Allah Subhanahuwata'ala. Maksudnya di sini, matlamat akhir kita dalam beristiqamah melakukan ibadah serta amal soleh adalah meraih redha Allah Subhanahuwata'ala.


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Maksudnya:"Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik". Al-Kahfi ayat 30


Justeru dalam kita beristiqamah, amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih afdal atau lebih baik, daripada melakukan amalan yang banyak tetapi hanya sekali sekala atau mengikut musim. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ وَقَالَ اكْلَفُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ


Maksudnya:"Dari Aisyah radliallahu 'anha bahawa dia berkata; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya; "Amalan apakah yang paling dicintai Allah?" Dia menjawab; 'Yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit, lalu beliau bersabda: 'Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian". Bukhari (5984)


Oleh itu, jangan ditinggalkan walaupun satu amal soleh meskipun kita rasakan ia kecil. Istiqamah melakukan amal kebaikan pada setiap masa biarpun hanya memberi senyuman kepada orang lain.

Sabda Rasullullah Sallallahu'alaihiwasallam,


 … وَلَا تَزْهَدْ فِي الْمَعْرُوفِ وَلَوْ مُنْبَسِطٌ وَجْهُكَ إِلَى أَخِيكَ وَأَنْتَ تُكَلِّمُهُ.....


Maksudnya:"... Janganlah kamu menganggap remeh suatu kebaikan walaupun kamu hanya tersenyum kepada saudaramu ketika kamu sedang berbicara dengannya…". Ahmad(16021)


Jelaslah istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak.  Justeru itu, hendaklah  kita berusaha mendidik hati untuk beristiqamah pada setiap amal ibadat dan amalan yang berkebajikan seterusnya meninggalkan perkara-perkara yang mungkar dan mendatangkan dosa. 


Ada beberapa hikmah yang terkandung dalam sifat beristiqamah, diantaranya: 


Pertama: Seseorang yang istiqamah, tidak mudah merasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah Subhanahuwata'ala.


بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ


Maksudnya:"(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati". Al-Baqarah ayat 112


Kedua: Orang yang istiqamah itu tidak mudah merasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia meyakini semua itu adalah milik mutlak Allah Subhanahuwata'ala.


لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَىٰ


Maksudnya:"Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah". Ta Ha ayat 6


وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَىٰ


Maksudnya:"Dialah Allah yang menjadikan seorang tertawa dan menangis". An-Najm ayat 43.


Ketiga: Mereka yang istiqamah juga mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan


Allah Subhanahuwata'ala berfirman menerusi surah Fussilat, ayat 30,


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلْبِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ )


Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."


Jelaslah istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak. Setiap Muslim hendaklah berusaha mendidik hati untuk beristiqamah pada setiap amal ibadat dan amalan yang berkebajikan seterusnya meninggalkan perkara-perkara yang mungkar dan mendatangkan dosa.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...