Monday, January 23, 2023

Ajal semakin dekat maka bersegeralah beribadah.

Ajal semakin dekat maka bersegeralah beribadah.

Ajal berasal dari bahasa Arab  أجل yang mengikuti wazan  فعل yang bererti tertunda (أجلا), dan batas waktu (الأجل). Dalam kamus Al-Munawwir dikatakan bahawa kata ajal berasal dari kata– أجِل- يَأْجِلُ - أجَلا


Menurut Kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Quran  (الـمـعـجـم الـمـفـهـرس لألـفـاظ الـقـرآن الـكـريـم ), Al-Quran menyebutkan lafaz ajal sebanyak 56 kali dengan bermacam bentuk seperti, menjadi fi’il, isim Masdar, bentuk tasniyyah dan lain-lain.


Seperti contoh; kata ajal berkaitan dengan tuntutan manusia menulis hutang piutang,


يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ اِلٰٓى اَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوْهُۗ


Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu melakukan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Al-Baqarah ayat 282.


Kata ajal bertalian dengan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia, atau hubungan dengan Allah Subhanahawata'ala. Makna ajal lebih unggul dengan makna sebagai "batas waktu yang telah ditentukan". Oleh itu, jika dikatakan ajal berkaitan dengan kata manusia yang mencakupi seluruh umat manusia, maka makna ajal lebih unggul dengan maksud kematian.


Firman Allah Subhanahawata'ala,


وَلِكُلِّ اُمَّةٍ اَجَلٌۚ فَاِذَا جَاۤءَ اَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُوْنَ سَاعَةً وَّلَا يَسْتَقْدِمُوْنَ


Maksudnya: Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya". Al-Araf ayat 34


Setiap detik yang kita lalui memberi isyarat bahawa jangka hayat kita di dunia yang fana ini semakin singkat dan ajal kian dekat. Inilah kenyataan yang mahu tidak mahu terpaksa kita terima dan hadapi meskipun pesona kehidupan dunia membuat kita ingin hidup lebih lama lagi. Seruan Ilahi untuk kembali kepada-Nya tidak akan dapat dihindari oleh sesiapapun kerana sudah menjadi suratan setiap yang hidup pasti akan mati bila sampai waktunya.


Firman Allah Subhanahawata'ala,


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ


Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya-sebagai cobaan untuk mengukur kualiti iman dan kesabaran manusia). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. Al-Anbiya Ayat 35.


Firman Allah Subhanahawata'ala,


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ


Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan". Ali Imran ayat 185


Sehubungan dengan peringatan Allah Subhanahuwata'ala di atas, maka jadikanlah peristiwa matinya di kalangan saudara mara, jiran tetangga ataupun rakan taulan kita sebagai ibrah untuk menginsafi diri bahawa tiada yang kekal di alam ini melainkan Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. 

Sedarilah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah umpama permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Sedangkan negeri akhirat itu ialah tempat kehidupan yang jauh lebih baik bagi orang yang bertaqwa sebagaimana dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui firman-Nya,


وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ


Maksudnya:"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". Al-An'am Ayat 32.


Pada ayat Al-An'am Ayat 32 di atas Allah Subhanahuwata'ala menganjurkan kita supaya memikirkan perihal perkara yang telah dijelaskan-Nya itu. Iaitu bersangkutan dengan soal kehidupan sementara di dunia yang penuh mempesonakan serta kehidupan akhirat yang bakal menjadi destinasi abadi. Allah Subhanahuwata'ala menganjurkan kita supaya menghayati dan memikirkan perkara berkenaan sebagai dorongan kepada kita semua supaya tidak lalai daripada menyediakan bekalan secukupnya untuk menuju kampung akhirat.


Manusia yang beruntung adalah yang bermuhasabah setiap masa untuk memperbaiki diri dan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku.


Justeru itu,orang yang bijak akan sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk melaksanakan kebaikan dan tidak membiarkan masa berlalu dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan sia-sia. Bersegera untuk melaksanakan sebarang bentuk kebaikan yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. Ajaran Islam memerintahkan bersegera melakukan kebaikan kerana ia mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hati.


Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Ali Imran ayat 133,


وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa".


Dalam surah al-Baqarah ayat 148 Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Maksudnya:"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".


Allah Subhanahuwata'a kerap menggunakan istilah bersegeralah seperti فَاسْتَبِقُوا seperti pada ayat di atas atau وَسَارِعُوٓا۟ seperti pada ayat,


۞ وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya: Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa". Ali ‘Imran Ayat 133


Kalimah فَاسْتَبِقُوا atau وَسَارِعُوٓا۟  mempunyai maksud yang  sama iaitu bergegas dengan segera, jangan ditunda-tunda  untuk berbuat baik atau memohon ampunan Allah Subhanahuwata'ala.


Melakukan kebaikan adalah perkara yang tidak boleh ditunda-tunda, bahkan ianya wajib segera dikerjakan. Kerana kesempatan hidup sangat terbatas, kematian boleh datang secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya. Kerana itu ketika masih ada kehidupan, bersegeralah berbuat baik dan memohon keampunan dari Allah. 


Lebih dari itu kesempatan berbuat baik belum tentu pada setiap saat dapat kita miliki. Begitu pula secara fitrah tidak ada manusia yang suka membawa dosa-dosa ke akhirat, kecuali orang-orang yang sudah mati hatinya


Dalam hadith Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga menggunakan istilah بَادِرُوا maksudnya tidak jauh dari makna bersegera dan bergegas,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Segeralah beramal (sebelum kedatangan tujuh hal, tidaklah kalian menunggu selain kefakiran yang membuat lupa(disibukan oleh mencari rezki), kekayaan yang melampaui batas(lupa dan sombong), penyakit yang merosak(iaitu keadaan yang bertentang dengan waktu sihat), masa tua yang menguruskan(nyanyuk), kematian yang datang secara tiba-tiba, Dajjal, seburuk-buruk hal ghaib yang dinanti-nanti, kiamat dan kiamat(datang tiba-tiba) itu sangat membawa petaka dan sangat pahit." Tirmizi(2228)


Allah Subhanahuwata'ala memberikan panduan agar segera melaksanakan kebajikan yang lain setelah selesai melaksanakan suatu tugasan sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Insyirah ayat 7,

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ


Maksudnya:"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan-amal soleh), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain(Amal soleh yang lain)".


Oleh itu, laksanakanlah setiap tugasan yang diberikan dengan sebaik-baiknya seperti hadith,


وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ


Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik”. [Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932]


Marilah kita berazam menjadi Muslim yang lebih baik sama ada sebagai pemimpin, ibu bapa, suami isteri, anak-anak, pekerja atau majikan dalam sebuah keluarga, masyarakat dan negara. 


Perbaharui dan perbetulkan niat agar sentiasa istiqamah melakukan amal soleh supaya dapat menjalani kehidupan yang bermanfaat sebagaimana hadith,


 عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ


Maksudnya:"Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah dari ayahnya, seseorang bertanya: siapa orang terbaik itu? Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam menjawab: "Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya." Ia bertanya: Lalu siapa orang yang terburuk itu? Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam menjawab: "Orang yang panjang umurnya tapi buruk amalnya". Tirmizi (2252)


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...