Thursday, December 8, 2022

Takwa sebaik-baik bekal

Takwa sebaik-baik bekal

Dunia ini adalah tempat persinggahan sahaja. Suatu saat yang telah ditetapkan pada azali, kita akan pulang kembali kepada Sang Pemilik, iaitu Allah Subhanahuwata'ala,


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ


Maksudnya:"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya". Al-A’raf Ayat 34


Tabiat orang yang melakukan perjalanan adalah membawa bekal. Hal ini juga termasuk dalam bahagian dari syariat. 


Kisah beberapa orang penduduk Yaman yang pergi menunaikan haji tanpa membawa bekal, sehingga mereka menjadi beban kepada orang lain. Mereka mendakwa bahawa mereka bertawakkal kepada Allah. Setelah kejadian itu, Allah menurunkan firman-Nya,


….وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ


Maksudnya:"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal". Al-Baqarah ayat 197.

Lihat Tafsir Jalalyn


Sebagaimana perjalanan ke Baitullah memerlukan bekal, begitu juga perjalanan menuju akhirat untuk bertemu Allah pun memerlukan bekal. Bekalannya pun mestilah bersesuaian dengan perjalanan yang akan ditempuh.


Perjalanan dunia memerlukan bekal fisik kerana tubuh kita memerlukan sejumlah protein. Perjalanan akhirat pula tidak memerlukan makanan ataupun harta, tetapi bekal non-materil atau pahalalah yang paling diperlukan.


Allah Subhanahuwata'ala memberikan tuntunan tentang bekal terbaik dari apa yang mesti disiapkan oleh seorang mukmin sebelum menuju perjalanan akhirat. Dia berfirman,     فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ 

“Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa”.


Maksud takwa:


Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan”.


Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari”.


Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan”.


Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala”.


Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas”.


Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. 


Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


 هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ…


Maksudnya:"…Dialah (Allah) yang patut (kita)  bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi ampunan”. Al-Muddatstsir ayat 56.


Potensi dan signal yang mengajak untuk menyembah Allah disebut takwa. Takwa dibangunkan dengan enam simpulan, iaitu enam dasar iman. Untuk memaksimalkan takwa dalam diri, iman mestilah dinaikkan dengan cara memperbanyak amal soleh.


Semakin banyak ibadah yang dikerjakan, maka semakin kuatlah simpulan iman, dan semakin bertakwa pula orang tersebut di sisi Allah Subhanahuwata'ala.


Takwa adalah unsur atau intipati   asas bagi hidup dan di dalam jiwa ada potensi kebaikan yang disebut takwa. Allah berfirman,


وَنَفْسٍ وَّمَا سَوّٰىهَاۖ فَاَلْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوٰىهَاۖ


Maksudnya:"Dan demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)-nya. Lalu Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya".  Asy-Syams ayat 7-8.


Menjaga ketakwaan sangat penting kerana takwa adalah bekal terbaik bagi setiap hamba, baik kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. Dengan takwa, semua masalah akan menemukan jalan penyelesaiannya, dengan takwa ilmu akan terserap dengan mudahnya, dan dengan takwa keberuntungan akan sentiasa mengiringi hingga kehidupan akhirat nanti. Allah Subhanahuwata'ala telah menyampaikan hal-hal ini dalam firman-firman-Nya.


Dengan takwa, semua masalah akan menemukan jalan penyelesaiannya, 


وَمَنْ يَّتَّقِ اللّٰهَ يَجْعَلْ لَّهٗ مَخْرَجًا ۙ….


Maksudnya:".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar".  Ath-Thalaq ayat 2.


Dengan takwa dibukakannya keberkatan dari langit dan bumi bagi orang yang bertakwa iaitu Surah al-A’raf ayat 96,


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya".


Dengan takwa ilmu akan terserap dengan mudahnya,


…وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ


Maksudnya:"...Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.". Al-Baqarah ayat 282.


Dengan takwa keberuntungan akan sentiasa mengiringi hingga kehidupan akhirat nanti,

وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ…


Maksudnya:"..Bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung". Al-Baqarah ayat 189.


Dengan takwa adalah sebagai sebab seorang hamba dicintai oleh Allah iaitu Surah Ali Imran ayat 76,


بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"(Bukan demikian), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa.


Allah Subhanahuwata’ala juga bersama dengan orang-orang yang bertakwa iaitu Surah an-Nahl ayat 128, 


إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan".


Syurga pula diwariskan kepada orang-orang yang bertakwa iaitu Surah Maryam ayat 63,


تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا


Maksudnya:"Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa".


Allah Subhanahuwata'ala menyediakan kesudahan yang baik di dunia dan akhirat adalah bagi orang-orang yang bertakwa iaitu Surah al-’raf ayat 128. 


قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Musa berkata kepada kaumnya: "Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa".


Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Maksudnya:"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". Al-Hujurat ayat 13


Justeru itu, takwa adalah menjadi bekal terbaik bagi seorang hamba, baik selama masa bermusafir di alam dunia, mahupun saat berpulang nanti ke alam akhirat. Bekal takwa tidak hanya untuk orang yang sedang berhaji, tapi juga untuk kita yang sedang menunggu undangan untuk datang ke syurga-Nya.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...