Wednesday, December 21, 2022

Manusia sebagai hamba

Manusia sebagai hamba

Kata hamba atau عبد bererti; budak atau sahaya. Kata ini berasal dari kalimah عبد- يعبد-عِبادَةً  yang bererti beribadah, hamba sahaya, budak.


Menurut Ibnu Jaraij (L80 H/699 M) di Mekah, makna عبد dalam Al-Qur’an pada surah Az-Zariyat ayat 56,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

bukan hanya sekadar hamba yang biasanya dikenali masyarakat , melainkan hamba di sini memiliki makna supaya mereka mengenalku yakni mengenal Allah. Apabila manusia telah memahami makna hamba iaitu mengenal Allah, (maka) makrifatullah sepenuh makrifat, pandangan terhadap dunia cerah, memandang hidup ini penuh ketenteraman, kedamaian, segala perilakunya menjadi ibadah, segala amalnya menjadi barakah.


Manusia sebagai hamba, iaitu hamba kepada Allah Maha Pencipta, oleh kerana itu setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada Allah yang menciptanya.  Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu". As-Saffat ayat 96


Sebagai hamba, maka manusia tidak mempunyai apa-apa ke atas dirinya, tenaganya dan juga ke atas apa yang dihasilkan olehnya. Kesemuanya itu adalah menjadi hak milik kepada tuannya, iaitu Allah Subhanahuwata'ala. Hidup dan matinya, sembahyangnya dan ibadahnya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah, yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah.


Segala makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi adalah sebagai hamba yang dijadikan dan pada hakikatnya menyerah kepada-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ۩


Maksudnya:"Hanya kepada Allah-lah sujud (tunduk patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari". Al-Ra'd ayat 15


Menurut Ibnu Katsir:"Kerana itu, segala sesuatu sujud (tunduk) kepada-Nya baik secara suka rela iaitu dari orang-orang mukmin, mahupun terpaksa seperti orang-orang kafir.

وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ (Dan sujud pula bayang-bayang mereka di waktu pagi) pagi hari. وَالْآصَالِ (Dan petang hari), آصَالِ jamak dari perkataan أصيل  ertinya petang hari". Lihat Tafsir Ibnu Katsir


Manusia yang menepati hakikat sebagai hamba, maka sudah pastilah mesti tunduk patuh, taat setia, mengikut dan menurut perintah Allah Maha Pencipta.  Maka alangkah lebih layak dan berhak manusia itu, sebagai sifatnya hamba Allah yang istimewa itu sujud dan menyerah diri kepada Allah, itulah intipati atau saripati Islam sebagai Agama Allah.


إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


Maksudnya:"Sesungguhnya aku menghadapkan mukaku(diriku) kepada Rabb yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar(aku tetap di atas dasar Tauhid Mengesakan Allah), dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan". Al-An’am ayat  79.


Sesungguhnya hakikat tujuan manusia dijadikan dan juga kewajipan utama pada hari pertama mereka diberi hak tinggal di bumi ini adalah mesti patuh mengabdikan diri kepada Allah dengan mesti berpandukan kepada panduan dari Allah. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat  56.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ


Maksudnya:“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”.


Allah Subhanahuwata'ala juga telah memberi amaran yang tegas dan nyata supaya mereka jangan sekali-kali mengabdikan diri kepada syaitan, sebaliknya mereka mestilah mengabdikan diri kepada Allah sahaja.Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ. وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ


Maksudnya:"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus". Yasin ayat 60-61.


Ayat surah Az-Dzariyat ayat  56 sangat jelas menyebutkan kedudukan manusia dalam sistem penciptaannya adalah sebagai hamba yang menyembah Allah. kedudukan ini berhubungan dengan hak dan kewajiban sebagai hamba di hadapan Allah sebagai penciptanya. Jadi tujuan penciptaan manusia adalah menyembah kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Penyembahan manusia kepada Allah mencerminkan bahawa manusia sangat memerlukan segala sesuatu dalam aspek kehidupan dengan aturan yang baik dan adil, kerana Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang sangat sempurna, mampu menggunakan potensi yang dimilikinya dengan baik, iaitu dengan merealisasikan potensi iman kepada Allah, menguasai berbagai disiplin ilmu pengetahuan, dan melakukan aktiviti amal soleh sebagai hamba Allah.


Tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah Subhanahuwata'ala ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepada-Nya. Oleh kerana tujuan itulah, maka Allah Subhanahuwata'ala mengutuskan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dengan  membawa risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah Subhanahuwata'ala dan menjauhi thagut. Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36,


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Maksudnya:"Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)".


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ:قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّ حَقَّهُ عَلَيْهِمْ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا قَالَ أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ إِذَا فَعَلَوْا ذَلِكَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ أَنْ لَا يُعَذِّبَهُمْ


Maksudnya:"Mu'adz bin Jabal dia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Apakah kamu mengetahui apa hak Allah terhadap hamba-Nya? ' Saya menjawab; 'Allah dan rasulNya lebih mengetahui.' Beliau bersabda: "Hak Allah atas mereka adalah agar mereka menyembah-Nya, dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun." Beliau bertanya; "Apakah hak mereka atas Allah apabila mereka telah melakukan hal tersebut? ' Aku menjawab; Allah dan RasulNya lebih tahu. Beliau bersabda: "Agar Allah tidak mengazab mereka". Tirmizi (2567)


Skop ibadah dalam Islam adalah cukup luas, merangkumi segenap aspek kehidupan, malah semua amalan yang dilakukan sama ada amalan anggota, perkataan dan hati akan dikira ibadah selama mana ia menepati syarat-syarat yang ditentukan. Ulama Islam telah membahagikan ibadah keadaan dua, iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. 


Dua keadaan ibadah:


1-Ibadah Umum.

ibadah umum yang merupakan pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah Subhanahuwata'ala melalui urusan kehidupan dunia yang menyangkut hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah Subhanahuwata'ala yang lain yang berlandaskan akidah dan syariat Islam.

Pendek kata semua amalan yang dilakukan dikira sebagai ibadah asalkan ia menepati syarat-syarat yang ditentukan, antaranya:

• Pekerjaan atau perbuatan itu mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata'ala semata-mata. Perbuatan yang dilakukan kerana riya’ atau mempunyai muslihat yang tertentu tidaklah dikira sebagai ibadah.

• Amalan yang dilakukan juga mestilah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, kerja-kerja yang haram seperti menjual arak, menguruskan kedai-kedai judi atau kelab-kelab malam adalah dilarang dalam Islam.

• Pekerjaan atau amalan yang dilakukan itu tidak menghalang seseorang dari melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Dalam hal ini Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah al-Nur ayat 37,


رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ


Maksudnya:"laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.


• Amalan yang dilakukan juga mestilah dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi,


وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ


Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” [Lihat: Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932]


2-Ibadah Khusus:

Ibadah khusus yang juga dikenali sebagai ibadah yang formal adalah ibadah yang mana struktur, sistem dan peraturan-peraturannya telah ditentukan oleh syariat Islam secara lengkap dan terperinci. Bentuk dan cara perlaksanaannya tidak boleh direka-reka atau dilakukan mengikut kehendak sendiri, malah ia mestilah menepati syarat-syarat sahnya sesuatu ibadah itu. Umpamanya ibadah solat, puasa, zakat dan haji yang mempunyai syarat-syarat sahnya dan perkara-perkara yang membatalkannya yang tersendiri.


Sebagai kesimpulan, setiap manusia selaku makhluk Allah Subhanuwata'a yang kerdil di muka bumi ini mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka tinggal dan di zaman bila mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...