Thursday, October 13, 2022

Malu menurut perspektif Islam

Malu menurut perspektif Islam

Istilah malu atau dalam bahasa Arab الحياؤ yang berasal dari perkataan الحياةُ (hidup). Hujan disebut kehidupan kerana dengan adanya hujan bumi dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup. 


وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَنْشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَيْتًا ۚ كَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ


Maksudnya:"Dan Yang menurunkan air dari langit menurut kadar (yang diperlukan) lalu Kami hidupkan dengan air itu negeri yang mati, seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari dalam kubur)". Al-Zukhruf ayat 11


Begitu juga dengan malu iaitu disebut sebagai kehidupan dunia dan akhirat. Oleh itu, mereka yang tidak mempunyai sifat malu dianggap mati didunia dan akan menderita di akhirat.


Malu adalah akhlak atau perangai yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.


Ini kerana itu, malu adalah merupakan kunci kepada kebaikan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


اَلْـحَيَاءُ خَيْرٌ كُلُّهُ.


Maksudnya:“Malu itu kebaikan seluruhnya.” Muslim (37,60)


Malu adalah satu kata yang mencakup perbuatan menjauhi segala apa yang dibenci. 

Lihat hal. 53 dari Kitab Raudhatul Uqala wa Nuzhatul Fudhala (Taman orang-orang yang berakal dan temasyanya orang-orang yang mempunyai keutamaan) karya Abu Hatim Muhammad ibnu Hibban al Busty rahimahullah(L270 H - w354 H /965M)


Al-Junaid rahimahullah berkata, “Rasa malu iaitu melihat kenikmatan dan kelalaian sehingga menimbulkan suatu keadaan yang disebut dengan malu. Hakikat malu ialah sikap yang memotivasi untuk meninggalkan keburukan dan mencegah sikap menyia-nyiakan hak pemiliknya". Lihat Fathul Bari (X/522) tentang definisi malu.


Jenis Sifat Malu:


1- Malu الجَبْلةُ :الطبيعةُ, iaitu malu yang bersifat semulajadi. Contoh malu yang bersifat fitrah ini ialah malu untuk telanjang. Sebagai contoh; Nabi Adam dan Siti Hawa a.s pada awal lagi mereka malu untuk mendedahkan aurat masing-masing lantas apabila terdedah cepat-cepat mereka tutup dengan daun anggota tertentu.


فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ


Malsudnya:"Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun surga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?". Al-A’raf Ayat 22


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


اَلْـحَيَاءُ لاَ يَأْتِيْ إلاَّ بِخَيْرٍ.


Maksudnya:“Malu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan”. Bukhari(6117)


2- Malu كسب, iaitu malu yang diusahakan. Pada asalnya malu bukanlah bersifat diusahakan namun untuk menyempurnakannya ia boleh diusahakan. Contohnya hasil usaha dan kajian yang membentuk sifat makrifatullah, iaitu menjadikan seseorang itu malu kerana takut akan keesaan Allah Subhanahuwata'ala. Malu إيمانِ ini dapat mencegah seseorang itu daripada membuat dosa.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya : Dan orang-orang yang bermuhajadah pada jalan Kami (Allah) pasti Kami akan tunjukkan (hidayahkan) kepada mereka jalan-jalan (yang membawa kepada mengenal dan mencapai keredaan) Kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya". Al-`Ankabut 69.


Malu yang diusahakan juga merupakan asas yang kuat untuk membentuk iman yang utuh. Allah Subhanahuwata'ala mengkhususkan sifat malu ini kepada manusia agar mereka terhindar dari keburukan dan kehinaan agar mereka tidak sama seperti binatang yang menerkam segala yang diingininya tanpa rasa malu.


Contohnya ialah apa yang dialami oleh Abu Sufyan ketika bersama Heraklius ketika ia ditanya tentang Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam , Abu Sufyan berkata,


فَوَ اللهِ ، لَوْ لاَ الْـحَيَاءُ مِنْ أَنْ يَأْثِرُوْا عَلَيَّ كَذِبًا لَكَذَبْتُ عَلَيْهِ.


Maksudnya:“Demi Allah Azza wa Jalla , kalau bukan ketana rasa malu yang menjadikan aku khawatir dituduh oleh mereka sebagai pendusta, nescaya aku akan berbohong kepadanya (tentang Rasulullah Sallallahu‘alaihwasallam)". Bukhari(67)


Diantara keutamaan Iman:


1- Malu adalah salah satu daripada cabang-cabang Iman:


Sifat malu merupakan salah satu daripada sifat yang terpuji dan ia merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith yang sahih, antaranya,


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ


Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan". Bukhari (9)


Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan ta’liq pada hadith ini, beliau mengatakan bahawa malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat terebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.


2-Malu sebagai pencegah tuannya dari melakukan maksiat.


Ada seorang Sahabat Radhiyallahu anhu yang mengecam saudaranya dalam masalah malu dan ia berkata kepadanya, “Sungguh, malu telah merugikanmu.” Kemudian Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


دَعْهُ ، فَإِنَّ الْـحَيَاءَ مِنَ الإيْمَـانِ.


Maksudnya:"Biarkan dia, kerana malu termasuk iman". Bukhari(24,6118)


Abu ‘Ubaid al-Harawi  rahimahullah berkata, “Maknanya, bahawa orang itu berhenti dari perbuatan maksiatnya kerana rasa malunya, sehingga rasa malu itu seperti iman yang mencegah antara dia dengan perbuatan maksiat".Fathul Bâri (X/522).


3-Malu pada hakikatnya tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.


Malu mengajak tuannya agar menghias diri dengan  sifat mulia dan menjauhkan diri dari sifat-sifat yang hina.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


اَلْـحَيَاءُ لاَ يَأْتِيْ إِلاَّ بِخَيْـرٍ.


Maksudnya:"Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata".Muttafaq ‘alaihi


Dalam riwayat Muslim menyebutkan,


اَلْـحَيَاءُ خَيْرٌ كُلُّهُ.


Maksudnya:"Malu itu kebaikan seluruhnya". Muslim (35), Abu Daud ( 4676),


4-Allah Subhanahuwata'ala cinta kepada orang-orang yang malu.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ حَيِيٌّ سِتِّيْرٌ يُـحِبُّ الْـحَيَاءَ وَالسِّتْرَ ، فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ.


Maksudnya"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla Maha Pemalu, Maha Menutupi, Dia mencintai rasa malu dan ketertutupan. Apabila salah seorang dari kalian mandi, maka hendaklah dia menutup diri". Abu Daud(4012)


5-Malu adalah akhlak Islam.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ لِكُلِّ دِيْنٍ خُلُقًا وَخَلُقُ اْلإِسْلاَمِ الْـحَيَاءُ.


Maksudnya"Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu". Ibnu Majah(4181)


6-Malu akan menghantarkan seseorang ke Syurga.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


اَلْـحَيَاءُ مِنَ اْلإِيْمَانِ وَ َاْلإِيْمَانُ فِـي الْـجَنَّةِ ، وَالْبَذَاءُ مِنَ الْـجَفَاءِ وَالْـجَفَاءُ فِـي النَّارِ.


Maksudnya:"Malu adalah bahagian dari iman, sedang iman tempatnya di Syurga dan perkataan kotor adalah bahagian dari tabiat kasar, sedang tabiat kasar tempatnya di Neraka". Ahmad (11/501)


7-Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah sosok insan yang sangat pemalu


Allah Subhanahuwata'ala berfirman :


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلَّا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَٰكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانْتَشِرُوا وَلَا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنْكُمْ ۖ وَاللَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk Makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang Maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar". Al-Ahzab ayat 53.


Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu anhu berkata,


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشَدَّ حَيَاءً مِنَ الْعَذْرَاءِ فِـيْ خِدْرِهَا.


Maksudnya:Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam lebih pemalu daripada gadis yang dikurung di kamarnya". Bukhari(6119)


8-Malu adalah akhlak para Malaikat.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَلاَ أَسْتَحْيِ مِنْ رُجُلٍ تَسْتَحْيِ مِنْهُ الْـمَلاَ ئِكَةُ.


Maksudnya:“Apakah aku tidak patut merasa malu terhadap seseorang, padahal para Malaikat merasa malu kepadanya". Muslim(2401)


Sifat malu termasuk di dalam sifat-sifat yang terpuji dan ia merupakan lambang kesempurnaan seseorang itu. Akan tetapi, di dalam konteks pelajaran atau bertanya berkaitan sesuatu perkara yang melibatkan urusan agama, maka sifat malu itu perlu diketepikan kerana agama menuntut sedemikian melainkan sekiranya terdapat keuzuran sehingga menyebabkan kita terpaksa mewakilkan seseorang untuk bertanya. 


Ummul Mukminin ‘Aisyah  radhiyallâhu ‘anha pernah berkata tentang sifat para wanita Anshar,


نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ اْلأَنْصَارِ ، لَـمْ يَمْنَعْهُنَّ الْـحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِـي الدِّيْنِ.


Maksudnys:"Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshar. Rasa malu tidak menghalangi mereka untuk memperdalam ilmu Agama". Riwayat Bukhari dalam kitab al-‘Ilmu bab al-Haya’ fil ‘Ilmi secara mu’allaq.


Para wanita Anshar  selalu bertanya kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam jika ada permasalahan agama yang masih rumit bagi mereka. Rasa malu tidak menghalangi mereka demi menimba ilmu yang bermanfaat.


Malu yang menyebabkan seseorang itu menyia-nyiakan hak bukanlah malu yang disyari’atkan bahkan ianya adalah malu yang dicela,di sana terdapat kata-kata daripada tokoh Tabi’in yang terkenal iaitu Imam Mujahid iaitu:


لَا يَنَالُ الْعِلْمَ حَيِيٌّ وَلَا مُسْتَكْبِرٌ


Maksudnya: “Ilmu tidak akan diperolehi bagi orang malu dan juga orang yang sombong". Ibnu ‘Abdil Barr dalam al-Jami’ bayanil ‘Ilmi wa Fadhlihi (I/534-535, no. 879).


Di antara sifat malu yang tercela adalah malu untuk menuntut ilmu syar’i, malu mengaji, malu membaca Al-Qur-an, malu melakukan amar ma’ruf nahi munkar yang menjadi kewajipan seorang Muslim, malu untuk solat berjamaah di masjid bersama kaum muslimin, malu memakai pakaian Muslimah yang syar’i, malu mencari nafkah yang  halal untuk keluarganya bagi laki-laki, dan seumpamanya. Sifat malu seperti ini tercela kerana akan menghalanginya memperoleh kebaikan yang sangat besar.


Sesungguhnya, apabila seseorang itu bertambah kuat rasa malunya maka ia akan melindungi kehormatannya, mengubur sedalam-dalam keburukkannya, dan menyebarkan kebaikan-kebaikannya.


Sebaliknya pula sesiapa yang hilang rasa malunya, pasti hilang pula kebahagiaannya; siapa yang hilang kebahagiaannya, pasti akan hina dan dibenci oleh manusia; siapa yang dibenci manusia pasti ia akan disakiti; siapa yang disakiti pasti akan bersedih; siapa yang bersedih pasti memikirkannya; siapa yang fikirannya tertimpa ujian, maka sebahagian besar ucapannya menjadi dosa baginya dan tidak mendatangkan pahala. 


Sesungguhnya, tidak ada ubat bagi orang yang tidak memiliki rasa malu, tidak ada rasa malu bagi orang yang tidak memiliki sifat setia dan tidak ada kesetiaan bagi orang yang tidak memiliki kawan. Siapa yang sedikit rasa malunya, ia akan berbuat sekehendaknya dan mengucapkan apa saja yang disukainya.


عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِي الْبَدْرِي رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.  


Maksudnya:"Dari Abu Masud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Anshari al-Badri radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, ‘Sesungguhnya salah satu perkara  yang telah diketahui oleh manusia dari kalimat kenabian terdahulu adalah, ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu".  Bukhari (3483, 3484, 6120).


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُهْلِكَ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ فَإِذَا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ رِبْقَةُ الْإِسْلَامِ


Maksudnya:"Daripada Ibnu Umar, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya apabila Allah hendak membinasakan seorang hamba maka Allah akan mencabut rasa malu darinya, apabila rasa malu sudah dicabut darinya maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang memuakkan dan suka menebar kebencian.


Apabila ia sudah sering bertemu dengan orang seperti itu, maka sifat amanah pada dirinya akan hilang. Apabila sifat amanah telah dicabut darinya, maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang suka berkhianat (menipu) dan dikhianati (ditipu).


Jika dia sudah sering bertemu dengan orang seperti itu maka akan dicabut darinya sifat kasih sayang, dan apabila dicabut darinya sifat kasih sayang maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang terlaknat. Dan apabila dia sudah sering bertemu dengan orang yang terlaknat, maka ikatan Islam akan terlepas daripadanya". Ibnu Majah  (4044)


Bermula dari rasa malu yang dicabut, ia boleh sahaja melarat kepada perkara yang lebih besar dari itu.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyebut:


إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ


Maksudnya:"Sesungguhnya di antara perkara yang didapatkan manusia dari perkataan para Nabi ialah; ‘Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu”.Bukhari (3224).


Lawan dari malu adalah tidak tahu malu (muka tembok), ia adalah perangai yang membawa tuannya melakukan keburukan dan tenggelam di dalamnya serta tidak malu melakukan maksiat secara terang-terangan. Padahal Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

كُلُّ أُمَّـتِيْ مُعَافًى إِلاَّ الْـمُجَاهِرِيْنَ.


Maksudnya:"Setiap umatku pasti dimaafkan, kecuali orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan.” Bukhari (6096)

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...