Wednesday, October 26, 2022

Fitnah Syubhat

Fitnah Syubhat

Menurut bahasa (etimologi), kata fitnah adalah bentuk tunggal(mufrad) dari kata fitan; bererti  musibah, cobaan dan ujian. Makna kata ini berasal dari perkataan: فَتَنْتُ الْفِضَّةَ وَالذَّهَبَ, ertinya aku uji perak dan emas dengan api agar dapat dibezakan antara yang buruk dan yang baik. Lihat Lisanul Arab (XIII/317).


Menurut istilah (terminologi), kata fitnah disebutkan berulang dalam al-Qur’an pada 72 ayat, dan seluruh maknanya berkisar pada ketiga makna di atas.


Fitnah syubhat adalah fitnah pada pemahaman, keyakinan, aliran, juga pemikiran yang menyimpang.


Fitnah syubhat adalah kerana lemahnya pengetahuan dan sedikitnya ilmu, apalagi jika diiringi dengan buruknya niat serta dituruti hawa nafsu, maka itulah fitnah dan musibah yang besar.


Allah Subhanahuwata'ala  berfirman,


إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى الْأَنْفُسُ


“… Mereka hanya mengikuti sangkaan, dan apa yang diingini oleh keinginannya …". An-Najm ayat 23


Allah Subhanahuwata'ala telah mengkhabarkan bahawa mengikuti hawa nafsu akan menyesatkan seseorang dari jalan Allah Subhanahuwata'ala. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,


يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ


Maksudnya:"(Allah berfirman), ‘Wahai Daud! Sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari  perhitungan". Shad ayat 26


Di hujung dari fitnah ini adalah kekufuran dan kemunafikan. Fitnah syubhat yang menyebabkan al-haq menjadi tersamar bagi mereka dengan kebatilan, petunjuk tersamarkan dengan kesesatan. Asal atau akar dari semua fitnah itu adalah perbuatan mendahulukan akal daripada syari’at.


Fitnah atau penyakit syubhat adalah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allâh Subhanahuwata’ala :


فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا


Maksudnya:“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah penyakitnya oleh Allâh...” Al-Baqarah ayat 10.


Qatadah, Mujahid, dan lain-lain rahimahumullaah menafsirkan, “Di hatinya ada penyakit, iaitu penyakit syak (keragu-raguan)". Lihat Tafsir Ibni Katsir(1/180)


Hati yang sakit akan terganggu oleh syubhat walau sekecil apapun dan tidak akan mampu membentangi syubhat yang mendatanginya. Sementara hati yang sihat dan kuat, meskipun sering didatangi fitnah syubhat, namun ia mampu menghalaunya dengan pertolongan Allah 'Azza wa Jalla dan dengan kekuatan iman dan kesihatannya.


Fitnah syubhat adalah fitnah kesesatan, maksiat, bid’ah dholalah, kezaliman, kejahilan, keyakinan yang bathil, pemikiran dan pemahaman yang sesat, aliran-aliran yang sesat dan sebagainya.


Ketika manusia dihadapkan pada fitnah   syubhat, maka hati manusia akan terbahagi menjadi dua jenis:


Pertama, 

Hati yang ketika datang fitnah terus menyerapnya seperti kapas yang menyerap air, sehingga muncul titik hitam pada hatinya. Ia terus menyerap setiap fitnah yang datang kepadanya sehingga menjadi hitam. Bila sudah hitam ia akan berhadapan dengan dua malapetaka yang sangat bahaya:


1-Tidak dapat membezakan mana yang ma’ruf (baik) dan mana yang munkar (buruk).

Terkadang penyakit ini semakin parah sehingga ia menganggap yang ma’ruf adalah munkar dan yang munkar adalah ma’ruf. Yang sunnah dianggap bid’ah dan yang bid’ah dianggap sunnah. Yang benar dianggap salah dan yang salah dianggap benar.


Ibnu Mas’ud Radhiyallahu anhu berkata :


هَـلَـكَ مَنْ لَـمْ يَعْرِفْ قَلْبُـهُ الْـمَعْرُوْفَ وَيُنْـكِرْ قَلْبُـهُ الْـمُنْـكَـرَ.


Maksudnya:"Binasalah orang yang hatinya tidak mengetahui yang ma’ruf dan tidak mengingkari kemungkaran". Atsar sahih: Riwayat ath-Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabîr (IX/no. 8564).


2-Menjadikan hawa nafsu sebagai sumber hukum yang lebih tinggi daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam , selalu tunduk kepada hawa nafsu dan mengikuti kemahuannya.


Kedua,

Hati putih yang telah disinari oleh cahaya iman yang terang benderang. Jika hati semacam ini ditawari fitnah, ia akan mengingkari dan menolaknya sehingga sinarnya menjadi lebih kuat dan lebih terang.


Hati sangatlah mudah untuk berubah. Boleh jadi, di pagi hari seseorang masih dalam keadaan beriman, namun petang harinya berubah kafir, atau petang hari ia beriman tapi di pagi harinya ia berubah kafir. Di pagi hari ia masih mengikuti Sunnah, namun di petang harinya ia meninggalkan Sunnah. Di pagi hari ia memulai dengan amal-amal ketaatan namun di petang hari ia bermaksiat. Pagi hari ia memanfaatkan waktu dengan amal-amal yang bermanfaat, namun di petang harinya ia mengerjakan hal-hal yang sia-sia.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بَادِرُوْا بِالْأَعْمَـالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْـمُظْلِمِ ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا ، أَوْ يُمْسِي مُـؤْمِنًـا وَيُصْبِحُ كَافِرًا ،  يَبِيْعُ دِيْنَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا.


Maksudnya:"Bersegeralah mengerjakan amal-amal soleh sebelum kedatangan  fitnah-fitnah itu yang seperti potongan malam yang gelap; di pagi hari seseorang dalam keadaan beriman dan di petang hari menjadi kafir, atau di petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari menjadi kafir kerana ia menjual agamanya dengan keuntungan duniawi yang sedikit". Riwayat Muslim (118,186).


Inilah hati yang selalu berbolak-balik,Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam mewasiatkan kepada ummatnya untuk memperbanyak permohonan kepada Allah agar diberikan ketetapan hati.


Dari Anas bin Malik Radhiyallahu anhu, ia berkata, “Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam sering mengucapkan :


يَـا مُـقَـلِـّبَ الْـقُـلُـوْبِ ، ثَـبّـِتْ قَـلْبِـيْ عَلَـىٰ دِيْـنِـكَ


Ya Allah, Yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu.


Anas melanjutkan, “Wahai Rasulullah ! Kami telah beriman kepadamu dan kepada apa (ajaran) yang engkau bawa. Masihkah ada yang membuatmu khawatir atas kami?” Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab :


نَـعَمْ ، إِنَّ الْـقُـلُوْبَ بَـيْـنَ أُصْبُـعَـيْـنِ مِنْ أَصَابِعِ اللّٰـهِ يُـقَلِـّبُـهَـا كَـيْـفَ يَـشَاءُ.


Maksudnya:"Benar (ada yang aku khawatirkan kepada kalian), sesungguhnya hati-hati itu berada di antara dua jari dari jari-jemari Allah, dimana Dia membolak-balikkan hati itu sekehendak-Nya". Riwayat Tirmizi(2140)


Al-Qur-an as-Sunnah adalah penawar dari penyakit  syubhat. Sebab, al-Qur’an Dan as-Sunnah mengandungi bukti-bukti dan dalil-dalil mutlak yang boleh membezakan antara haq (benar) dan batil sehingga penyakit-penyakit syubhat yang merosak ilmu, keyakinan, dan pemahaman boleh hilang. Kerana itu, seseorang boleh melihat segala sesuatu sesuai dengan dalil dari al-Qur’an dan as-Sunnah dengan pemahaman yang benar.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman :


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا


Malsudnya:"Dan Kami turunkan dari al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Sedangkan bagi orang  yang zalim (al-Qur’an) itu hanya akan menambah kerugian”. Al-Isra ayat 82.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...