Thursday, September 29, 2022

Rahmat kelahiran Rasul dan kemanisan iman.

 


Rahmat kelahiran Rasul dan kemanisan iman.


Kelahiran Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah rahmat yang dianugerahkan kepada manusia dan memperingati kelahiran Baginda adalah satu bentuk mensyukuri nikmat serta dapat mendekatkan kembali umat ini kepada baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ….


"….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan". Al-Maidah ayat 15


Imam at-Tobari ketika menjelaskan ayat ini menyatakan cahaya yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini ialah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam.


Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam adalah cahaya seluruh alam bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kufur kepada cahaya tauhid dan rahmat Islam yang menyinari alam hingga berlakunya saat kiamat.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berkenaan hari beliau dilahirkan,


و حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا مَهْدِيُّ بْنُ مَيْمُونٍ عَنْ غَيْلَانَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَعْبَدٍ الزِّمَّانِيِّ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الِاثْنَيْنِ فَقَالَ فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ


Maksudnya:"Dan telah menceritakan kepadaku Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami Abdurrahman bin Mahdi telah menceritakan kepada kami Mahdi bin Maimun dari Ghailan dari Abdullah bin Ma'bad Az Zimani dari Abu Qatadah Al Anshari radliallahu 'anhu, bahwa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya mengenai puasa pada hari isnin, maka beliau pun menjawab: "Di hari itulah saya dilahirkan, dan pada hari itu pula, wahyu diturunkan atasku". Riwayat Muslim(1978)


Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam adalah cahaya yang menjadi rahmat bagi seluruh alam. Sebagaimana sabda baginda Sallallahu'alaihiwasallam,


عن أبي هريرة عن النبي – صلى الله عليه وسلم – أنه قال : ” إنما أنا رحمةٌ مُهداةٌ


Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam baginda bersabda: Sesungguhnya aku hanyalah rahmat yang dianugerahkan". Riwayat al-Hakim(2345)


Hal ini telah ditegaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui firman-Nya:


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Maksudnya:"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam". Al-Anbiya Ayat 107.


Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.


Sayyid Quthub berkata: “Allah Subhanahuwata'ala telah mengutuskan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai rahmat kepada seluruh manusia agar baginda memimpin manusia ke jalan hidayah. Dan tiada yang menerima hidayah itu melainkan golongan manusia yang mempunyai kesediaan untuk menerimanya walaupun rahmat itu merangkumi orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman.


Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan kita sebagai umat Islam agar bergembira ketika mendapatkan rahmat dari Allah Subhanahuwata'ala,


قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ


Maksudnya:"Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". Surah Yunus:58


Justeru itu, cuba sama-sama kita fikirkan apakah rahmat terbesar dari Allah Subhanahuwata'ala yang diturunkan kepada kita dan juga alam semesta ini seluruhnya?


Tadabburilah firman Allah Subhanahuwata'ala berikut sebagai jawapannya,


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Maksudnya:"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam".al-Anbiya:107


Sudah tentulah rahmat terbesar dan teragung yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada kita adalah kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam Surat Al-Anbiya ayat 107 diatas.


Oleh kerana itu, bergembiralah dan bersyukurlah dengan kelahiran dan perutusan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam atau Maulidnya pada setiap saat, iaitu tanpa terikat dengan batasan waktu dan tempat. Maulid Nabi dapat dilakukan dimanapun dan bila masapun, tidak terikat oleh waktu mahupun tempat yang tertentu, iaitu sebanyak sedutan dan hembusan nafas. Ini kerana Nabi Sallallahu'alaihiwasallam adalah ikutan dan contoh suri tauladan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan. Baik dari sudut aqidah,ibadah,muamalah ekonomi dan kekeluargaan,sosial kemasyarakatan dan juga politik kenegaraan.Sebagaimana anjuran dari Allah Subhanahuwata'ala,


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا


Maksudnya:"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah". Al-Ahzab ayat 21


Perhatikanlah ketika Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ditanya oleh para sahabatnya tentang puasa di hari isnin, beliau Sallallahu'alaihiwasallam tidak menyatakan tentang kemulian puasa pada hari isnin, akan tetapi beliau Sallallahu'alaihiwasallam menjawab, bahawa hari isnin adalah hari dimana beliau Sallallahu'alaihiwasallam dilahirkan.


حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا مَهْدِيُّ بْنُ مَيْمُونٍ عَنْ غَيْلَانَ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَعْبَدٍ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ قَالَ  سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ فَقَالَ فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ


Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami 'Abdur Rahman bin Mahdi telah menceritakan kepada kami Mahdi bin Maimun dari Ghailan bin Jarir dari 'Abdullah bin Ma'bad dari Abu Qatadah berkata; Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari isnin, beliau bersabda; pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan". Riwayat Ahmad(21508)


Justeru itu maka dapatlah kita mengetahui bahwasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ingin menekankan kepada para sahabat bahawa hari isnin adalah mulia kerana dirinya, sehingga beliau Sallallahu'alaihiwasallam pun bergembira atas hari tersebut dan bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala atas segala nikmat yang diberkan kepadanya dengan cara berpuasa. Perhatikan firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut,


إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ .فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ. إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ


Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.Maka dirikanlah shalat karena Tuhanmu; dan berkorbanlah.Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus". Al-Kautsar ayat 1-3


Kejayaan dan kemuliaan seluruh jin dan manusia ialah apabila mereka dapat membawa dalam kehidupan mereka ajaran yang dibawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ini. Tanpa diragukan lagi bahawa diri Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam itu sendiri adalah insan pilihan istimewa yang juga nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala kepada kita semua.


Tanpa iman, seseorang itu akan hina di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Maka antara ikatan keimanan yang dituntut ke atas diri seseorang ialah ikatan yang diikat secara langsung dengan diri Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Firman Allah Subhanahuwata‘ala:


قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ


Maksudnya:"Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik". At-Taubah ayat 24.


Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat di atas:


Apabila semua perkara dan urusan di atas lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah maka tunggulah datangnya bencana dan azab daripada Allah yang akan menimpa kamu. Lihat Mukhtasar Ibnu Kathir oleh Syeikh Nasib Ar-Rifa’i.


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ


Maksudnya:"Dari Anas Bin Malik berkata, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, "Tidak (sempurna) iman seseorang kalian sehingga aku (Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam) lebih dicintai daripada orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya". Ahmad (12349)


Abdullah bin Hisyam ra, berkata:


كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِدٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ، حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عَمَرُ: فَإِنَّهُ اْلآنَ، وَاللهِ، َلأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلآنَ يَا عُمَرُ.


Maksudnya:"Kami mengiringi Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, dan beliau menggandeng tangan ‘Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu anhu. Kemudian ‘Umar berkata kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: ‘Wahai Rasulullah, sungguh engkau sangat aku cintai melebihi apa pun selain diriku.’ Maka Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: ‘Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu.’ Lalu ‘Umar berkata kepada beliau: ‘Sungguh sekaranglah saatnya, demi Allah, engkau sangat aku cintai melebihi diriku.’ Maka Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: ‘Sekarang (engkau benar), wahai ‘Umar". Riwayat Bukhari(6142).


Menyedari peri pentingnya mencintai Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam maka ulama umat ini sejak daripada generasi sahabat sehingga hari ini sentiasa berusaha dengan pelbagai cara bagi mencapai maksud supaya diri baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam itu benar-benar dapat dicintai dengan sesebenar cinta. Contohnya, Saidina Hasan bin Thabit RA adalah tokoh sahabat yang  diberi gelaran sebagai 'Penyair Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam' apabila beliau banyak mengarang syair dan qasidah yang memuji Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam serta mempertahankan agama Islam. Syair dan qasidah ini adalah satu wasilah atau cara untuk mencapai maksud yang sebenar iaitu cinta yang sejati kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Perhatian yang tinggi bagi mencapai maksud ini telah menggerakkan ulama ummah untuk berinovasi dalam usaha menanam dan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ini. Antara inovasi yang dilakukan ialah mereka membukukan kompilasi hadith dan riwayat  mengenai perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sehingga lahir kitab dan bidang ilmu sirah. Begitu juga mereka sudah menghimpunkan hadith yang khusus berkenaan syamail (perihal fizikal dan sifat) diri Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Ini semua inovasi yang dilakukan bagi memastikan generasi seterusnya umat ini terus kenal dan cinta kepada baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Maka antara inovasi yang diadakan ialah sambutan Maulidur Rasul Sallallahu'alaihiwasallam. Terutama pada abad ke-7 Putera Muzafar al-Diin Abi Sa'ad Kawakbri sudah mewartakan sambutan ini sebagai acara sambutan negara. Inisiatif ini hakikatnya adalah salah satu wasilah bagi menyuburkan cinta umat ini kepada baginda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Ramai ulama yang menyokong inisiatif ini seperti Imam Jalaluddin as-Sayuti,Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan dan ulama masa kini Syeikh Atiah Saqr, Syeikh Dr  Yusuf al-Qardhawi.


Pengisian sambutan Maulidur Rasul ini selalunya berkisar kepada pembacaan sirah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, tausiah, qasidah, selawat, ceramah dan lain-lain. Semua ini merujuk kepada membawa umat ini kembali dekat kepada peribadi, kecintaan dan kemuliaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sesuai dengan maksud memuliakan baginda yang disebutkan Allah sebagai sifat orang yang beriman,


فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


Maksudnya'"Maka orang yang beriman kepadanya memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang beruntung". Al-A'raaf auat 157.


Adakah sambutan Maulidur Rasul ini boleh membawa umat ini seolah-olah memuja dan mendewakan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam? Sudah tentu perkara sebegini jauh daripada kemungkinan berlaku apabila sambutan ini dilakukan sesuai dengan apa yang digariskan ulama. Sudah mencecah 700 tahun sambutan ini dijalankan, belum pernah berlaku sehingga Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam didewakan. Sangat perlu dibezakan antara mencintai dan memuliakan dengan mendewakan.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Ali ‘Imran ayat 31


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya:"…Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” Al-Hasyr: 7


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَخُذُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Apa-apa yang aku larang maka jauhilah, dan apa-apa yang aku perintahkan maka laksankanlah semampu kalian". Ahmad(8310)


Buah daripada Mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pula akan mendatangkan rasa manisnya iman.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,


ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَانِ، مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ ِللهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.


Maksudnya:"Ada tiga perkara yang apabila perkara tersebut ada pada seseorang, maka ia akan mendapatkan manisnya iman, yaitu (1) hendaknya Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari selain keduanya. (2) Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah. (3) Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagai-mana ia tidak mau untuk dilemparkan ke dalam api.” Riwayat Bukhari dan Muslim.


Erti manisnya iman, sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama’, adalah merasakan lazatnya segala ketaatan dan bersedia menderita kerana din (agama) serta mengutamakan itu semua daripada seluruh materi dunia (kenikmatan dan harta benda dunia). Lihat Fathul Bari 1/61.


Orang yang mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam akan tinggal bersama baginda di akhirat kelak.


عَنْ أَنَسٍ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى قِيَامُ السَّاعَةِ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الصَّلَاةِ فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ عَنْ قِيَامِ السَّاعَةِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَعْدَدْتُ لَهَا كَبِيرَ صَلَاةٍ وَلَا صَوْمٍ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ وَأَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ فَمَا رَأَيْتُ فَرِحَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحَهُمْ بِهَذَا


Maksudnya:"Dari Anas,ia berkata: Seseorang mendatangi Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam lalu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah kiamat terjadi? Lalu nabi Sallallahu'alahiwasallam berdiri untuk solat, selesai solat Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam bertanya: "Mana si penanya tentang hari kiamat tadi?" orang itu menjawab: Saya wahai Rasulullah. Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam bertanya: "Apa yang telah kau persiapkan untuknya?" orang itu menjawab: Aku tidak menyiapkan sekian banyak solat dan puasa untuknya, hanya saja aku mencintai Allah dan rasul-Nya. Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam bersabda: "Seseorang bersama orang yang ia cintai dan engkau bersama orang yang kau cintai." Aku tidak mengetahui kebahagian kaum muslimin setelah Islam seperti kegembiraan mereka kerana hal ini". Tirmizi (2307)


Anas Radiallahuanhu berkata: Kami tidak bergembira setelah masuk Islam lebih daripada mendengar sabda baginda: Sesungguhnya kamu bersama orang yang kamu cintai.

Anas Radiallahuanhu berkata: Saya mencintai Allah, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar, dengan harapan saya dapat berkumpul bersama mereka walau pun saya tidak beramal seperti mereka.


Oleh itu cintailah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dengan penuh jiwa dan raga serta ambillah dan amalkanlah segala ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda Sallallahu'alaihiwasallam untuk kita,


Semoga sambutan Maulidur Rasul  benar-benar dapat menambahkan cinta kita kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, mendorong kita mengikuti segala ajarannya, menyemarakkan semangat kita menghidupkan sunahnya dan mengukuhkan himmah kita untuk menyebarkan agama yang diturunkan kepada baginda ini.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...