Thursday, September 15, 2022

Jauhilah perbuatan zalim

Jauhilah perbuatan zalim

Kata zalim berasal dari bahasa Arab, dengan huruf ظ ل م  yang bermaksud gelap.

Al-Qur’an menggunakan kata ظُلْمٌ selain itu juga digunakan kata بَغْيٌ, yang ertinya sama dengan zalim iaitu melanggar hak orang lain.

Namun pengertian zalim lebih luas maknanya berbanding بَغْيٌ, ianya bergantung pada kalimat yang disandarkannya.


Dalam hadith Qudsi Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyebutkan bahawa Allah berfirman,


إِنِّي حَرَّمْتُ عَلَى نَفْسِي الظُّلْمَ وَعَلَى عِبَادِي فَلَا تَظَالَمُوا


Maksudnya:"Wahai hamba Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, lalu Aku mengharamkannya atas kalian semua, maka janganlah kalian saling menzalimi". Muslim (2557)


Setiap Muslim diajarkan agar tidak melakukan perbuatan zalim atau aniaya kepada orang lain dan terhadap dirinya sendiri. Bahkan Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan  azab bagi orang yang zalim.


Hal ini sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya pada surat Al-Furqan ayat ke-19,


  وَمَنْ يَظْلِمْ مِنْكُمْ نُذِقْهُ عَذَابًا كَبِيرًا  


Maksudnya:"Barangsiapa di antara kamu yang berbuat zalim, nescaya kami rasakan kepadanya azab yang besar". 


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pula bersabda :


اِتَّقُوا اَلظُّلْمَ فَإِنَّ اَلظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ


Maksudnya:“Jauhilah perbuatan zalim, kerana sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat”. Muslim (2587)


Orang yang zalim  di waktu merasakan azab Allah,


لَا تَرْكُضُوا وَارْجِعُوا إِلَىٰ مَا أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَاكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْأَلُونَ


Maksudnya:"Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya". Al-Anbiya ayat 13.


Kemudian berkatalah para Malaikat pembawa azab kepada mereka dengan nada mengejek, ("Janganlah kalian lari tergesa-gesa, kembalilah kalian kepada kemewahan yang telah kalian rasakan) kepada nikmat yang telah diberikan kepada kalian (dan kepada tempat-tempat kediaman kalian, supaya kalian ditanya") tentang sesuatu dari keduniaan milik kalian, sebagaimana biasanya. Lihat Tafsir Jalalyn


وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya:"Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya". Al-Anfal ayat 25


Kezaliman itu berbagai bentuk di antaranya adalah syirik. Kalimat zalim juga digunakan untuk melambangkan sifat kejam, bengis, tidak berperikemanusiaan, suka melihat orang lain dalam penderitaan dan kesengsaraan, melakukan kemungkaran, penganiayaan, kemusnahan harta benda, ketidakadilan dan banyak lagi pengertian yang dapat diambil dari sifat zalim tersebut. Yang mana pada dasarnya sifat ini merupakan sifat yang keji dan hina, dan sangat bertentangan dengan akhlak dan fitrah manusia, yang seharusnya menggunakan akal untuk melakukan kebaikan.


Kezaliman kerana menyembah selain dari Allah,


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ


Maksudnya:"Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal)". Al-Baqarah Ayat 165


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ{ وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ }قَالَ أَصْحَابُهُ وَأَيُّنَا لَمْ يَظْلِمْ فَنَزَلَتْ{ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ }


Maksudnya:"Dari Abdullah radliallahu 'anhu dia berkata; Tatkala turun ayat; "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman… (Al An'am: 82). Para sahabat berkata; 'Mana ada di antara kita yang tidak pernah berbuat zalim? lalu turunlah ayat: "sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar". Riwayat Bukhari(4263)


Kezaliman kerana sifat keangkuhan dan perbuatan kekufuran.


وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا


Maksudnya:"Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata: "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya". Al Kahfi 35


Kezaliman kerana menceroboh hak orang lain,


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam  bersabda,



مَنْ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنْ الْأَرْضِ ظُلْمًا طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيَّاهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ


Maksudnya:"Barangsiapa menzalimi (menceroboh) tanah orang lain seluas satu jengkal maka tanah itu akan dikalungkan dilehernya sebanyak tujuh lapis bumi” Riwayat Bukhari (2453) dan Muslim (1612)


Islam sangat menentang sebarang jenis kezaliman samada ia daripada diri sendiri atau terhadap orang lain.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasaalam bersabda:


اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا


Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”. Riwayat al-Bukhari (2263, 2264 dan 2438)


Sebab Wurud Hadith


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, beliau berkata: Telah bergaduh atau berkelahi dua orang budak. Seorang daripada al-Muhajirin dan seorang lagi daripada al-Ansar. Telah berkata budak daripada al-Muhajirin: “Pembelaan untuk Muhajirin”, manakala telah berkata budak daripada al-Ansar: Pembelaan untuk al-Ansar”. Lalu Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam keluar dan bersabda: “Tidak, melainkan jika dua hamba ini memukul pada yang lain”. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda lagi: “Tidak mengapa, bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Adapun yang zalim itu, bantulah dia dengan cara menegahnya dan yang dizalimi pula bantulah dia (daripada kezaliman)”. [Lihat: al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith, 121]


Ada tiga jenis kezaliman, sebagaimana  dijelaskan dalam hadith dari Anas bin Malik radhiallahu’anhu, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الظلمُ ثلاثةٌ ، فظُلمٌ لا يغفرُهُ اللهُ ، وظلمٌ يغفرُهُ ، وظلمٌ لا يتركُهُ ، فأمّا الظلمُ الذي لا يغفرُهُ اللهُ فالشِّركُ ، قال اللهُ : إِنَّ الْشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ، وأمّا الظلمُ الذي يغفرُهُ اللَّهُ فَظُلْمُ العبادِ أنفسُهمْ فيما بينهُمْ وبينَ ربِّهمْ ، وأمّا الظلمُ الّذي لا يتركُهُ اللهُ فظُلمُ العبادِ بعضُهمْ بعضًا حتى يَدِينَ لبعضِهِمْ من بعضٍ


Maksudnya:"Kezaliman ada tiga: kezaliman yang tidak Allah ampuni, kezaliman yang Allah ampuni dan kezaliman yang tidak mungkin dibiarkan oleh Allah.


Adapun kezaliman yang tidak Allah ampuni, itu adalah kesyirikan. Allah berfirman: kesyirikan adalah kezaliman yang paling besar(Luqman ayat 13).


Adapun kezaliman yang Allah ampuni adalah kezaliman seorang hamba pada dirinya sendiri, iaitu antara ia dengan Allah.


Adapun kezaliman yang tidak mungkin dibiarkan oleh Allah adalah kezaliman hamba pada orang lain sehingga kezaliman tersebut terbayar". Riwayat Abu Daud Ath Thayalisi [2223], Abu Nu’aim dalam Al Hilyah [6/ 309],

   

Dalam hadith di atas ada tiga kategori kezaliman yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala: 


1- Kezaliman hamba kepada Rabb-nya


Kezaliman manusia kepada Penciptanya adalah dengan berbuat kufur kepada Allah atau berbuat syirik.


Seperti firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surat al-Baqarah ayat 254:


  وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ 


Maksudnya:"Dan orang-orang kafir itulah orang-orang zalim."


Ayat lain dalam Al-quran juga menyebut kezaliman seorang mahluk juga dinamai dengan berbuat syirik atau menyegutukan Allah dengan zat lain. Allah berfirman dalam surah Luqman ayat 13,


 إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ 


Maksudnya:"Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar." 


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا


Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar". Al-Nisa ayat 48.


2. Kezaliman kepada sesama manusia


Menzalimi atau berbuat aniaya kepada sesama manusia adalah merupakan perbuatan yang dibenci Allah Subhanahuwata'ala. Menzalimi orang lain, iaitu menyia-nyiakan atau tidak menunaikan hak orang lain yang wajib ditunaikan. Perbuatan seperti menceroboh kehormatan orang lain, menyakiti tubuh atau hati orang lain sehingga mengambil harta orang tanpa alasan yang benar adalah perilaku yang dimurkai Allah. 


Kezaliman yang tidak akan dibiarkan oleh Allah, iaitu perbuatan hamba-hamba-Nya di antara sesama mereka, kerana ianya pasti akan ditun­tut di akhirat kelak oleh mereka yang dizalimi.

Allah menyebut akan mengambil amalan orang yang berbuat zalim dan diberikan kepada orang yang dizalimi. Bahkan akan menimpakan dosa orang yang dizalimi kepada orang yang menzalimi. 

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam  bersabda,


مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ لَا يَكُونَ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ


Maksudnya:"Barangsiapa menzalimi saudaranya berkaitan dengan kehormatan dirinya atau lainnya maka hendaklah ia segera meminta dihalalkan(atau minta maaf), sebelum tiba saatnya tidak berguna dinar ataupun dirham, sehingga -saat itu- amal soleh orang yang berbuat zalim tersebut akan dikurangi setimpal dengan kezalimannya. Jika ia tidak memiliki amal soleh maka kesalahan –dosa- orang yang ia zalimi akan dibebankan kepadanya". Riwayat Bukhari (2449)


Sebagaimana dalam hadith di atas setiap kezaliman yang dilakukan oleh setiap orang akan diberikan balasan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Dalam hal ini bererti Allah akan menegakkan keadilan bagi siapa saja tanpa kecuali.


Oleh itu, ketika merasa telah berbuat zalim hendaklah segera memohon untuk dimaafkan atau dihalalkan kepada yang terzalimi. 


Namun sebaliknya akan menjadi sulit  ketika perbuatan zalim tersebut tidak disedarinya, maka hal ini pasti tidak akan ada permohonan maaf. Akibatnya adalah ianya akan ditegakkan keadilan di akhirat kelak .


Oleh sebab itu kewaspadaan dalam hal ini sangat penting kerana akibatnya sangat dahysat, iaitu ketika berhadapan dengan keadilan Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak.


Metode penegakan keadilan sebagaimana penjelasan hadith di atas adalah pahala yang dimiliki akan diberikan kepada yang dizaliminya. Dan jika telah habis pahala itu dan perkara yang dizalimi itu masih ada, maka dosa orang yang dizalimi itu akan diberikan padanya, sehingga pahala amal baiknya habis dan malah dosanya semakin banyak.


Dengan demikian yang terzalimi sewaktu di dunia akan merasai keberuntungan yang sangat besar, kerana pahalanya akan bertambah atau dosanya akan berkurang. Sehingga dengan keadaan demikian dengan rahmat Allah dapat menghantarkannya untuk masuk ke dalam syurga.


3. Zalim terhadap diri sendiri


Kezaliman terhadap  diri sendiri adalah ketika seorang hamba tidak taat kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Yakni tidak taat dalam rangka menunaikan ibadah kepada Allah. Di samping itu ketidaksesuaian sikap hidup terhadap ketentuan Allah dan Rasul-Nya merupakan bentuk kezaliman pada diri sendiri.


Menzalimi diri sendiri, iaitu dengan berbuat dosa dan maksiat. Kezaliman seorang hamba adalah dengan mengotori dirinya dengan berbagai bentuk dosa, pelanggaran dan keburukan berupa kemaksiatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman dalam Al-quran surah al-Baqarah ayat 57,

 وَمَا ظَلَمُونَا وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ  


Maksudnya:"Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." 


إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ


Maksud:"Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri". Yunus ayat 44.


Tiga perbuatan zalim ini hendaknya dijauhi oleh setiap Muslim agar terhindar dari kemurkaan Allah Subhanahuwata'ala.  





No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...