Thursday, September 8, 2022

Islam Agama Yang Mudah (الإسلام دين اليسر)

Islam Agama Yang Mudah (الإسلام دين اليسر)

Agama Islam memiliki banyak kemudahan.

Islam juga adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia.  Ertinya, seluruh ajarannya sesuai dengan kemampuan umat manusia untuk menjalankannya.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,


مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ


Maksudnya:"Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;" Ta Ha Ayat 2


Seluruh ajaran Islam telah terbukti dapat dilaksanakan oleh manusia, sebagaimana telah diamalkan dengan baik oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, para sahahat, tabi’in, salafus soleh, dan orang-orang soleh hingga kini.


Hanya hawa nafsu dan kuatnya godaan syaitan yang membuat manusia   mengabaikan ajaran Islam. Ketidak fahaman tentang ajaran Islam juga boleh menjadi sumber atau faktor tidak diamalkannya ajaran Islam.


Jika manusia merasa susah dalam hidupnya, maka boleh dipastikan kerana ia tidak mematuhi petunjuk Islam. Yang menjadikan Islam terasa berat dan susah adalah diri manusia itu sendiri, lebih tegasnya adalah kerana runtunan hawa nafsunya.


Namun disebalik mudahnya ajaran Islam, jika seseorang Muslim itu mempersulitkan diri dalam melaksanakan tugas-tugas keagamaan dan menjauhi kemudahannya, maka ia akan tewas. Ertinya dia tidak akan mampu melakukannya dan akan terputus darinya.


Di dalam Sahih Bukhari terdapat sebuah hadith yang melarang perbuatan menyukarkan dalam perkara agama kerana sikap atau sifat itu akan membuatkan seseorang itu tewas dengan dirinya sendiri.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ


Maksudnya:" Dari Abu Hurairah bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallamlam bersabda: "Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang mempersulit agama kecuali dia akan dikalahkan (semakin berat dan sulit). Maka berlakulah lurus kalian, mendekatlah (kepada yang benar) dan berilah khabar gembira dan minta tolonglah dengan Al Ghadwah (saat pagi hari- berangkat di awal pagi) dan ar-ruhah (saat petang hari- berangkat setelah zohor) dan sesuatu dari ad-duljah (sedikit dari waktu malam-berangkat di waktu malam) ". Al-Bukhari(38)


Maksud kosa kata:


أَبْشِرُوْا :Bergembiralah. Yakni bergembiralah dengan pahala amalan yang dilakukan secara berkesinambungan, meskipun sedikit


اَلْغَدْوَةُ : Menurut bahasa ertinya berjalan di pagi hari. Al-Jauhari berkata, “Kata al-ghadwatu ertinya waktu antara solat Subuh hingga terbit matahari.


اَلرَّوْحَةُ : Melakukan perjalanan setelah matahari tergelincir.


اَلدُّلْجَةُ : Melakukan perjalanan di akhir malam.


اَلْقَصْدَ : Jagalah kesederhanaan. Dibaca manshub pada kedua huruf Ungkapan ini merupakan anjuran, iaitu anjuran agar kita mengambil perkara yang pertengahan". 

Lihat:Fat-hul-Bâri (I/94-95), Ibnu Hajar al-‘Asqalani


Imam Ibn Hajar berkata hadith ini menunjukkan tanda antara tanda-tanda kenabian. Ini kerana, apabila melihat kepada manusia sebelum daripada kita bahawa setiap yang melampau dalam agama pasti akan terhenti. Selain itu, ini tidak menunjukkan halangan dalam mencari kesempurnaan di dalam beribadah kerana itu merupakan perkara yang terpuji. Bahkan, hadith ini melarang bersikap melampau yang boleh membawa kepada lesu (malas) atau berlebih-lebih dalam perkara yang sunat sehingga membawa kepada meninggalkan yang afdhal atau mengeluarkan perkara yang fardhu itu daripada waktunya (terlepas waktu). [Lihat: Fath al-Bari, 94/1]


Terdapat beberapa hadith yang menunjukkan larangan untuk seseorang itu bersifat melampau dalam beragama. Antaranya adalah:


Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallamlam bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ


Maksudnya: “’Musnahlah golongan yang melampau”. Riwayat Muslim (2670)

 

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan maksud “الْمُتَنَطِّعُونَ” ialah mereka yang terlalu teliti, melampau dan melepasi had atau batasan dalam perkataan dan perbuatan mereka. Lihat: al-Minhaj, 220/16.


Allah Subhanahuwata'ala  berfirman :


يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ


Maksudnya:"…Allâh menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu…". al-Baqarah ayat 185.


Allah Subhanahuwata'ala  berfirman,


مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ


Maksudnya:"…Allâh Azza wa Jalla tidak ingin menyulitkan kamu…”. al-Maidah ayat 6.


Allah Subhanahuwata'ala  berfirman,


وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ 


Maksudnya"…dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama…". al-Hajj ayat 78.


Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


إِنَّ خَيْرَ دِينِكُمْ أَيْسَرُهُ، إِنَّ خَيْرَ دِينِكُمْ أَيْسَرُهُ


Maksudnya:"Sesungguhnya sebaik-baik agama kalian adalah yang paling mudah, sesungguhnya sebaik-baik agama kalian adalah yang paling mudah'. Riwayat Ahmad Ahmad (III/479)


Semua syari’at Islam itu mudah, baik dalam perkara aqidah, ibadah, akhlak, muamalah, dan lainnya. Ini kerana dasar aqidah yang kembali kepada iman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhir, dan taqdir yang baik mahupun buruk. Semua ini adalah aqidah yang benar yang dapat menenteramkan hati, menghantar orang yang meyakininya menuju tujuan yang paling mulia dan tuntutan yang paling utama.


Akhlak-akhlaknya dan amalan-amalannya merupakan akhlak yang paling sempurna dan amalan yang paling baik. Dengannya kebaikan agama, dunia dan akhirat boleh diraih. Dan jika ianya luput, maka luputlah kebaikan itu semuanya. Semuanya mudah dan sederhana. Setiap mukallaf (orang yang dibebani perintah syari’at) akan merasa bahawa dia mampu melakukan hal itu tanpa ada kesulitan yang melampaui kemampuannya.


Di antara prinsip Islam adalah عدم الحرج (meniadakan kesulitan). Oleh kerana itu, Islam meringankan hukum-hukumnya untuk memudahkan manusia dengan beberapa cara, di antaranya:


1-Pengguguran kewajipan dalam keadaan tertentu, misalnya tidak wajibnya melakukan ibadah haji bagi yang tidak mampu atau tidak aman.


2-Pengurangan kadar dari yang telah ditentukan, seperti mengqasar solat bagi orang yang sedang melakukan perjalanan.


3-Penukaran kewajipan yang satu dengan yang lainnya. Misalnya, kewajipan wudhu dan mandi diganti dengan tayammum ketika tidak boleh menggunakan air.


4-Mendahulukan, iaitu mengerjakan sesuatu sebelum waktu yang telah ditentukan secara umum (asal), seperti jamak taqdim, melaksanakan solat Asar di waktu Zuhur kerana bermusafir.


5-Menangguhkan, iaitu mengerjakan sesuatu setelah tamat waktu asalnya, seperti jama’ takhir, misalnya melaksanakan shalat Zuhur di waktu Asar kerana bermusafir.


6-Perubahan, iaitu bentuk perbuatan berubah-ubah sesuai dengan situasi yang dihadapi, seperti dalam solat khauf (ketika perang). Allah Subhanahuwata’ala berfirman,


فَإنْ خِفْتُمْ فَرِجَالاً أَوْ رُكْبَاناً فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُواْ اللّهَ كَمَا عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya:"Jika kamu dalam Keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkendaraan. kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solatlah)”. Al Baqarah ayat 239.


Demikian juga ketika sakit yang membuat seseorang tidak sanggup berdiri, Dri Imran bin Husain bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ


Maksudnya:"Solatlah sambil berdiri. Jika tidak sanggup, maka sambil duduk. Jika tidak sanggup, maka sambil berbaring".  Riwayat Bukhari.


Sifat الإنصف (bersederhana atau adil) dalam setiap perkara adalah amat dituntut. Ini kerana, sikap melampau atau terlalu memudahkan akan memberi kesan yang buruk kepada agama serta sesiapa sahaja yang bersifat dengannya. Marilah sama-sama kita merenungi sebuah hadith:


Daripada Aisyah RA berkata:

 

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ


Maksudnya: “Apabila Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallamlam disuruh memilih di antara dua perkara, nescaya Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana  ia tidak berdosa. Adapun jika ia adalah berdosa, maka Baginda Sallallahu'alaihiwasallamlam adalah orang yang paling utama meninggalkannya”. Riwayat Muslim (2327)

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...