Wednesday, August 31, 2022

Mengekalkan nikmat kemerdekaan

Mengekalkan nikmat kemerdekaan

Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati anugerah nikmat merdeka itu dengan  sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ali Imran ayat 26


Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kerana itu kita melafazkan lafaz yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sempena menyambut kemerdekaan ini dengan: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ” sebagai tanda syukur terhadap nilmat kemerdekaan ini. 


Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)


Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.


Penjajahan adalah sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal. Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan. Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama, wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari belenggu penjajahan asing.


Umar bin Mukhtar bin Umar (1862 M- 1931 M) yang lebih terkenal dengan nama julukan Umar Mukhtar atau Singa Padang Pasir (filem The Lion of the Desert (1981). Beliau merupakan ‘simbol’ perjuangan rakyat Libya dalam mempertahankan negara dari penjajahan Itali. Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar.


Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya.Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:


سَوْفَ تَأْتِي أَجْيَالٌ مِنْ بَعْدِي تُقَاتِلُكُمْ، أَمَّا أَنَا فَحَيَاتِي سَوْفَ تَكُوْنُ أَطْوَلَ مِنْ حَيَاةِ شَانِقِي


“Kamu pasti bertembung dengan generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban dan keangkuhanmu. Adapun kehidupanku yang akan kulalui jauh lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”


Beliau dihukum gantung pada tahun 1931 setelah dia menyatakan menolak untuk menerima syarat-syarat pembebasan dirinya daripada dihukum mati.


Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah Subhanahuwata'ala yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat hasil daripada kemerdekaan.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim Ayat 7


Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan:


1-Sentiasa mematuhi titah perintah-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ


Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". Al-Haj ayat 41.


Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi perlu melaksanakan perintah utama iaitu:


-Mendirikan solat.

-Menunaikan zakat.

-Melaksanakan amar makruf.

-Mencegah kemungkaran.


2-Beriman dan beramal soleh.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ   


Maksudnya:"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…….". Al-Nur ayat 55.


Maksud Iman;


Iman ertinya meyakini atau yakin bahawa sesuatu (yang dipercaya) itu memang benar atau nyata adanya. Secara etimologi (bahasa), iman berasal dari Bahasa Arab:


مصدر آمن يؤمن إيماناً فهو مؤمن


Mashdar dari kata Aamana – Yu'minu – iimaanan- fahuwa mu'min. (Syeikh Al Azhari, Tahdzibul Lughah, 15/513)


-Bererti "percaya" atau "membenarkan"


Ia juga membawa pengertian yang sama seperti I'tiqad (اعتقاد), tapi pada pengertian berbeza.


وهو من الأمن ضد الخوف


Diambil dari kata Al-Amnu (aman), lawan dari takut. (Syeikh Fairuzzabadi, Al Qamus Al Muhith, Hal 1518)


Takrif Iman menurut istilah syariat Islam ialah seperti diucapkan oleh Ali bin Abi Talib r.a. yang bermaksud: "Iman itu ucapan dengan lidah dan kepercayaan yang benar dengan hati dan perbuatan dengan anggota".


Imam al-Ghazali menghuraikan makna Iman adalah: "Pengakuan dengan lidah (lisan) membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."


Iman pada maknawi sebenar ialah membenarkan dengan hati, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Ringkasnya orang yang beriman ialah orang yang percaya, mengaku dan beramal. Tanpa tiga syarat ini, seseorang itu belumlah dikatakan beriman yang sempurna. Ketiadaan Salah satu dari yang tiga itu, maka akan lainlah nama yang Islam berikan pada seseorang itu, iaitu samaada fasik, munafik atau kafir.


Maksud Amal soleh; 


Ialah segala amalan yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala, yang memenuhi dua syarat:


1. Amalan itu hendaknya sesuai dengan ajaran Islam.


2. Amalan itu bertujuan untuk mencapai keredaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata‘ala.


Apabila sesuatu amalan tidak memenuhi kedua syarat di atas, atau hanya dapat memenuhi salah satu daripada dua syarat tersebut, maka ia tidaklah termasuk amalan yang diredai Allah Subhanahuwata‘ala dan tidak akan mendapat pahala atau ganjaran daripada Allah Subhanahuwata‘ala.


Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:


فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا


Maksudnya:"Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabnya". Al-Kahfi ayat 110.


Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa amal soleh itu ialah amalan benar yang sesuai dengan ajaran Islam dan niat dalam melakukannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.


Kedudukan amal soleh dalam Islam sangat penting. Amal soleh adalah buah keimanan kepada Allah Subhanahuwata‘ala, hari kiamat dan Rasul-Nya. Amal soleh adalah menifestasi dari kandungan syahadah dalam bentuk amal perbuatan.


3-Beriman dan bertakwa membawa kepada keberkatan dan ketenangan serta keharmonian pada sesebuah negeri.


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan". Al-A’raf ayat 96.


Maksud takwa;


Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan".


Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari".


Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.”


Berdasarkan takrif taqwa yang di berikan oleh para ulama, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.


Keberkatan-keberkatan yang dijanjikan Allah dengan penuh ketegasan dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa itu adalah beraneka jenis dan tidak dihurai dan ditentukan oleh ayat itu, tetapi saranannya menggambarkan keberkatan yang turun dan mengalir melimpah ruah di setiap tempat tanpa ditentu, dihurai dan dijelaskan, iaitu keberkatan dari segala jenis dan rupa bentuk yang diketahui dan dikhayalkan oleh manusia dan keberkatan-keberkatan yang tidak pernah diketahui mereka sama ada di alam kenyataan atau alam imaginasi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/245-246)


Sesungguhnya nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran ini tidak datang dengan sendirinya bahkan ia adalah berkat daripada kurnian Allah Subhanahuwata'ala kepada kita.


Oleh itu berusahalah untuk menegakkan agama Allah di bumi ini dengan meletakkan agama Islam di tempat yang teratas, manakala segala amalan yang bertentangan dengan akidah Islam dibenteras, begitu juga setiap perbuatan yang berlawanan dengan syariat Islam dibetulkan dengan segala kelakuan yang menyalahi akhlak Islam dihindarkan. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Muhammad ayat 7,


يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ اللَّـهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ


Maksudnya:“Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (membela agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu mencapai kemenangan dan meneguhkan pendirian kamu".


Semua ini dapat dicapai kerana berkat kita berpegang teguh kepada ajaran agama Islam iaitu dengan mengerjakan apa yang disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarangnya serta sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahuwata'ala atas nikmat yang telah dikurniakan. Itulah cara dan amalan hidup kita yang sentiasa mendahulukan Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala urusan  Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Maryam ayat 76:


وَيَزِيدُ اللَّـهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا۟ هُدًى ۗ وَالْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَّرَدًّا


Maksudnya:“Dan Allah akan menambah hidayah kepada orang-orang yang mendapat petunjuk, dan amalan-amalan soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya”.


Mudah-mudahan dengan usaha yang demikian negara kita tetap kekal menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, negara zikir dan menjadi menjadi negara,

 بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ


Maksudnya:" (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun". Saba’ ayat 15.


Firman Allah Subhanahuwata'ala،


مَنُوا۟ اذْكُرُوا۟ اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا (42) هُوَ الَّذِى يُصَلِّى عَلَيْكُمْ وَمَلٰٓئِكَتُهُۥ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النُّورِ ۚ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا (43


Maksudnya:"“Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingati Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang mengurniakan rahmat kepada kamu dan malaikat-malaikatnya pula berdoa memohonkan ampun bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan-kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan Dia adalah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman”. Al-Ahzab ayat 41-43.


Semoga negara kita  sentiasa selamat dan terpelihara dari sebarang bala bencana serta dikurniakan rahmat dan nikmat kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan. آمين



No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...