Sunday, July 31, 2022

Empat golongan diharamkan neraka atasnya.

 Empat golongan diharamkan neraka atasnya.


Sesungguhnya neraka itu wujud dan diciptakan Allah Subhanahuwata'ala sebagai tempat hukuman dan tempat pembalasan atas perbuatan derhaka, dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia ketika hayatnya di dunia. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan". Al-Tahrim ayat 6.


Neraka adalah tempat balasan bagi orang-orang yang durhaka dan pendosa saat hidup di alam dunia. Mengingatkan pedihnya siksaan api neraka membuatkan setiap orang pasti akan menginginkan keselamatan dari siksaan yang ada di dalamnya. Justeru itu, ramai orang yang berlumba-lumba untuk menempuhi berbagai cara untuk beribadah dan melakukan amal yang dapat menghindarkannya dari tempat yang menyeramkan tersebut.


Sebenarnya tidaklah sukar bagi orang-orang yang ingin masuk syurga atau ingin terhindar dari neraka. Ini kerana banyak maklumat atau pengetahuan yang telah disampaikan mengenai kriteria-kriteria orang yang tidak akan disentuh oleh api neraka. Baik yang disebut dalam al-Qur’an atau hadith-hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Diantara kriteria atau sifat orang-orang yang tidak disentuh oleh neraka adalah hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab musnadnya Juz 7 halaman 53 di bawah,


عَنْ مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ عَنْ الْأَوْدِيِّ عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُرِّمَ عَلَى النَّارِ كُلُّ هَيِّنٍ لَيِّنٍ سَهْلٍ قَرِيبٍ مِنْ النَّاسِ   


Maksudnya:"Dari Ibnu Mas'ud,bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: “Diharamkan atas api neraka, setiap orang yang rendah hati, lemah lembut, mudah, serta dekat dengan manusia”. Riwayat Ahmad


Golongan pertama هَيِّنٍ, iaitu orang yang tidak masuk neraka adalah orang yang rendah hati atau tawadhu', tidak sombong dan tidak merendahkan orang lain. Allah akan mengangkat darjat atau kedudukan orang yang rendah hati. Hal ini sesuai dengan sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


  وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ  


Maksudnya:“Tiada orang yang rendah hati karena Allah kecuali Allah akan mengangkat derajatnya”. Riwayat Ahmad.


Berbeza dengan orang sombong, orang yang menganggap dirinya melebihi dari orang lain, merasa dirinya paling benar, ia tidak akan dapat merasakan syurga Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim juz 1: 


  لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ 


Maksudnya:“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di hatinya terdapat seberat biji(ذَرَّةٍ) kesombongan".


Sombong menjauhkan seseorang dari akhlak seorang mukmin. Orang sombong tidak akan mengasihi orang mukmin lain sepertimana ia mencintai diri sendiri. Ia tidak akan memiliki sifap rendah hati,bahkan hampir pula dengan sifat kebencian, sifap dendam, marah, dengki, bahkan melampau dalam tidakan. Ia juga sukar menerima nasihat kebaikan, tidak dapat menahan diri dari marah, mudah mengumpat, dan merendahkan orang lain. Orang sombong dekat dengan sikap tercela. Sebagaimana sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: 


  الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ   


Maksudnya:“Sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”. Riwayat Muslim


Golongan kedua لَيِّنٍ, iaitu orang yang lemah lembut dan santun, baik dalam ucapan mahupun perbuatan.Tutur kata mahupun perbuatannya selalunya baik dan selain suka melakukan kebaikan kepada sesama manusia.


Menurut Imam At-Thabari dalam kitabnya Tafsir At-Thabari juz 6, beliau menyatakan bahawa sifat lemah lembut dan kasih sayang merupakan rahmat dari Allah Subhanahuwata'ala untuk umat manusia. Sebagaimana firman Allah dalam surah  Ali-Imran ayat 159:  


فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ


Maksudnya:"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya".


Sikap lemah lembut dan kasih sayang merupakan prinsip dan pokok dari sebuah kebaikan. terbukti orang yang tidak memiliki sikap lemah lembut dan kasih sayang, ia terhalang untuk melakukan kebaikan. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Sahih Muslim juz 4 hlm 2003: 


  مَنْ يُحْرَمِ الرِّفْقَ، يُحْرَمِ الْخَيْرَ   


Maksud:“Barangsiapa tiada memiliki kelembutan, baginya tiada kebaikan”. Riwayat Muslim.


Maksudnya adapun orang yang tidak memiliki sikap lemah lembut dan kasih sayang, ia akan terhalang dari segala kebaikan. kerana kebaikan tiada boleh dilakukan kecuali dengan kelembutan dan kasih sayang.


Golongan Ketiga سَهْلٍ , iaitu orang yang mudah, tidak sulit, ringan baginya memberikan bantuan terhadap orang lain, samada dengan tenaga, fikiran, mahupun harta. Ia ringan memberikan sebahagian hartanya untuk membantu saudaranya yang memerlukan, lebih-lebih lagi di masa banyak terjadi musibah.


Orang yang memudahkan dan membantu kesulitan orang lain, akan diberikan kemudahan oleh Allah Subhanahuwata'ala, baik di dunia mahupun di akhirat kelak, termasuk kemudahan masuk syurga dan terhindar dari neraka. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim Juz 4 halaman 2074, Nabi bersabda,


قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ   


Maksudnya:“Barangsiapa menghilangkan kesusahan dari orang mukmin, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa membantu orang yang kesulitan, Allah akan memudahkannya urusannya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi aib orang muslim, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu melindungi hambanya selama hambanya menolong saudaranya”.  Riwayat Muslim.


Golongan Keempat قَرِيبٍ iaitu akrab, dekat, kekeluargaan, pandai berkomunikasi, menyenangkan, dan murah senyum. Selalu menebar salam jika bertemu dengan orang lain. Banyak ajaran Islam yang mengajarkan agar manusia saling akrab, dekat, dan ada sifat kekeluargaan. Sebagaimana Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab Sahih al-Bukhari, Juz 1 hlm 12:


   لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ   


Maksudnya:“Tidak sempurna iman dari kalian hingga kalian mencintai apa-apa bagi saudaranya sebagaimana ia mencintai apa-apa bagi diri sendiri". Riwayat al-Bukhari.   


Nabi mengajar menyayangi keturunan.Pernah suatu kali, seorang sahabat Arab badui yang bernama Aqra’ bin Habis Attamimy, melihat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mencium cucu beliau Hasan bin Ali lalu beliau pun berkata:


“Aku memiliki sepuluh anak dan aku tidak pernah menciumi mereka.” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pun menoleh kepadanya dan bersabda:


مَنْ لا يرحم لا يُرحَم


Artinya: “Siapa yang tidak berkasih sayang, dia pun tidak akan mendapatkan kasih sayang". Riwayat Abu Daud.


Nabi mengajar agar menyebarkan salam. Menyebarkan salam itu akan menumbuhkan rasa cinta diantara manusia.Dari ‘Abdullah bin Salam, ia berkata: Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda,


يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، أَفْشُوْا السَّلَامَ ، وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ ، وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ ، وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ .


Maksudnya‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, nescaya kalian akan masuk Syurga dengan sejahtera.”


Nabi juga menganjurkan umatnya untuk saling memberi hadiah. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith dalam kitab Adabul Mufrad, juz 1. Nabi bersabda,


 تَهَادُوا تَحَابُّوا   


Maksudnya:“Salinglah memberi hadiah, kalian akan saling mengasihi”. Riwayat al-Bukhari.


Dapat disimpulkan bahawa anjuran Rasulullah agar kita tidak masuk neraka adalah dengan menjadi manusia yang rendah hati, lemah lembut, memberikan kemudahan, dan akrab dengan orang lain.


No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...