Tuesday, July 19, 2022

Pelaku dosa hidup tidak tenteram

Pelaku dosa hidup tidak tenteram


Ada dari kalangan manusia yang mengisi waktu siang dan malamnya dengan amalan maksiat, sama ada maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu dengan meninggalkan perintah Allah seperti solat lima waktu, ataupun melakukan larangan Allah seperti berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya.


Maksiat juga berpunca daripada anggota tubuh seperti suka ghibah, memfitnah, menipu, menatap lawan jenis (tidak halal) dengan bernafsu, sumbang mahram, mengadu domba, membuat tuduhan liar dan pelbagai perbuatan tercela lainnya.


Kedudukan dan pengiktirafan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai utusan Allah, Firman Allah Subhanahuwata'ala .


….وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya:".......Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya". Al-Hasyr ayat 7.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَخُذُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Apa-apa yang aku larang maka jauhilah, dan apa-apa yang aku perintahkan maka laksankanlah semampu kalian". Ahmad(8310)


Pelaku dosa; sebenarnya apa yang kita lihat bahawa mereka gembira, suka dan kadang-kadang berpesta dalam maksiat sebenarnya itu lahiriah yang dibuat-buat, tetapi hati mereka sentiasa dalam kesempitan. Inilah hakikat yang sebenar, kenyataan ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ


Maksudnya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Surah Taha ayat 124.


Ibn Kathir berkata: Siapa yang berpaling dari perintah Allah dan melupai-Nya, maka kehidupannya penuh kesempitan di dunia, tiada ketenangan dan tiada kelapangan pada dadanya. Bahkan dadanya sentiasa merasa sempit dek kerana kesesatannya sekalipun nampak diberi nikmat pada zahir dengan pakaian, makanan, tempat tinggal, tetapi hatinya tetap gundah gelana. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 2/497)


Kenyataan ini juga merujuk kepada  hadith yang diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an R.A, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ


Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia". Riwayat Muslim (2553)


Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Maksud “حَاكَ فِي صَدْرك” ialah menggelisahkan hati, berasa ragu-ragu, tidak membukakan hati, terhasil perasaan syak di dalam hati, serta takut dan khuatir bahawa keadaan dirinya berdosa. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/343)


Dalam hadith yang lain, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ


Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu". Riwayat Ahmad (18006)


Hati mereka kelam dan bertambah gelapnya dengan sebab dosa yang berterusan sehingga jadilah sukar untuk mendapat cahaya dan petunjuk Ilahi. Akhirnya menjadi sebati dengan maksiat.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan". Surah al-Mutaffifin ayat 14.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menerangkan menerusi sabdanya  bahawa amalan maksiat amat berpengaruh terhadap hati Mukmin di mana ia menjadi punca hati Mukmin itu menjadi hitam dan gelap, dapat merosakkan sendi keimanan dan menghapuskan pahala yang dikumpul Mukmin.


Kenyataan ini merujuk hadith yang diriwayatkan oleh  Abi Hurairah R.A, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.


Maksudnya: Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya.


Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan". Riwayat al-Nasa’ie (11594)


Seseorang Mukmin yang benar-benar beriman pasti bersungguh-sungguh menjauhi sebarang bentuk maksiat. Pertama kerana beliau tahu Allah Subhanahuwata'ala murka terhadap sebarang bentuk perbuatan maksiat dan kejahatan.


Kedua, perasaan malunya kepada Allah Subhanahuwata'ala kerana melakukan amalan yang dibenci-Nya sedang dia tahu bahawa Allah Subhanahuwata'ala Maha Melihat dan sentiasa mengawasinya setiap saat.


No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...