Sunday, April 17, 2022

Menghidupkan(ihya') Ramadhan

Menghidupkan (ihya') Ramadhan. 

Menghidupkan Ramadhan bermaksud bersungguh-sungguh dalam menghidupkan Ramadhan dengan ibadah atau amalan-amalan yang disyariatkan. Allah telah menjanjikan pahala yang besar di sisi-Nya kepada setiap Mukmin yang menghidupkan bulan itu dengan ibadah berpuasa dan beramal dengan amalan sunat yang lain, iaitu menghidupkannya dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Subhanahuwata'ala, 


Diantara amalan-amalan yang disunatkan iaitu:


1-Membaca al-Quran. 


Sempena bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata’ala:


شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ


Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al-Baqarah ayat  185)


Memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan dan lebih fokus kepada al-Quran berbanding dengan hal yang lainnya.


Dari Abu Hurairah RA, beliau menyebutkan Bahawa,


أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه


Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi ﷺ, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali. (Riwayat Al-Bukhari,4998)


Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:


كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏


Maksudnya: Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.

(Riwayat Al-Bukhari,3554)


Sebagai kalamullah, Al-Quran juga adalah menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :


مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ


Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakan ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat Al-Tirmizi (2910)


Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ


Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.Riwayat Muslim (804)


2-Qiamullail. 


Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah  dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.


Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian.  solat tarawih merupakan satu juzuk daripada menghidupkan atau mendirikan malam Ramadhan. 


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ


Maksudnya: “Barangsiapa yang mengdirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870)


Hadith di atas bermaksud agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan. Ini kerana, ganjarannya adalah amat besar bagi orang yang membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Subhanahuwata’ala iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata ketika memberi makna “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan” adalah kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadhan) dengan bersolat. Selain itu, beliau menyebut bahawa Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadhan adalah dengan solat Tarawih. [Lihat: Fath al-Bari, 4/251] 


Terdapat Juga sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ianya sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:


مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ


Maksudnya: Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah  telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.

Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327)


Selain itu, kita juga dituntut agar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain seperti solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, beristighfar dan lain-lain lagi. Ini semua termasuk di dalam menghidupkan dan mendirikan malam-malam Ramadhan.


3-Bersedekah. 


Banyaknya Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersedekah pada bulan Ramadhan  menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:


كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏


Maksudnya: Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.

(Riwayat Al-Bukhari,3554)


Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan:


سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: ‏‏ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.‏ قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: ‏ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ ‏


Maksudnya:"Ditanyakan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam: Sedekah di bulan Ramadhan.

Riwayat Al-Tirmizi,663 dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.


4-Menjaga lisan(lidah) dan kurangkan bercakap.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. كتاب الصوم , باب من لم يدع قول الزور والعمل به في الصوم


Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya.”   Riwayat Bukhari (1903, 6057),Abu Daud (2362), at-Tirmizi (707), Ibn Majah (1689).


Pengajaran dari Hadith :


i-Ibadah puasa merupakan ibadah jasmaniah dan rohaniah. Ia menjadi ibadah jasmaniah kerana menuntut kepada setiap yang berpuasa menahan lapar dan dahaga, serta daripada melakukan perkara lain yang membatalkan puasa.


ii-Puasa dikatakan sebagai ibadah rohaniah kerana ia menuntut agar setiap yang berpuasa bukan sahaja menjalani ibadah jasmaniah bahkan rohaniah iaitu dengan berpuasa daripada segala perkara termasuk ucapan, perbuatan dan lintasan hati daripada segala perkara yang akan mengurangkan pahala ibadah puasa dan maksiat.


iii-Antara perkara yang ditegah dalam Islam adalah percakapan dan perbuatan yang membawa kepada pendustaan. Justeru, setiap Muslim hendaklah menjauhi percakapan dan perbuatan dusta agar ibadah puasa yang dilakukan mendapat pahala dan tidak menjadi sia-sia, serta membuahkan natijah kepada rohaniah orang yang berpuasa.


iv-Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.


v-Puasa yang paling istimewa di sisi Allah Subhanahuwata'ala ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa. Lihat: Kitab Riyadhus Salihin


5-Memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar. 


Setiap saat pada bulan ramadhan adalah mulia. Justeru itu, ambillah kesempatan pada bulan ramadhan untuk berdoa, berzikir dan melazimi beristighfar khususnya pada waktu-waktu mustajab, 


a-Daripada Abu Hurairah ra berkata bahawa Nabi Sallalahu'alaihiwasallam ada bersabda:


ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ


Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.HR Ibn Majah ,1752. Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan.


Daripada Abdullah bin ‘Amr ra berkata bahawa Nabi Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ


Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak”. HR Ibn Majah ,1753.Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan


Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:


لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ


Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. Musnad Abi Daud al-Thoyalisi,2376.


b- Sepertiga malam terakhir adalah Waktu mustajab untuk berdoa. 


Waktu tersebut adalah waktu yang mulia dan terdapat dorongan untuk beramal di waktu tersebut. Dan juga diantara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah di waktu sepertiga malam terakhir. Namun waktu mustajab ini sering dilalaikan kerana kita diuji dengan tidur yang lena. Justeru itu bertekadlah untuk mengisi waktu tersebut untuk solat tahajjud dan memperbanyak do’a atas setiap hajat kita. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلاً نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً


“Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit.” Al Muzzamil: 2-3


Sabda Rasulullah Saallallahu 'alaihi wasallam,


حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا مَالِكٌ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ الْأَغَرِّ وَأَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَنَزَّلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ


Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Abdullah telah menceritakan kepada kami Malik dari Ibnu Syihab dari Abu Abdullah Al Aghar dan Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Rabb kita Tabaraka wata'ala setiap malam turun ke langit dunia ketika sepertiga malam terakhir, lantas Dia berfirman; 'Siapa yang berdoa kepada-Ku, niscaya Aku akan mengijabahinya, siapa yang meminta sesuatu kepada-Ku, niscaya Aku akan memberinya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, niscaya Aku akan mengampuninya". Rieayat Bukhari,5846.


Sabda Rasulullah Saallallahu 'alaihi wasallam,


و حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي سُفْيَانَ عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ فِي اللَّيْلِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ


Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah telah menceritakan kepada kami Jarir dari Al A'masy dari Abu Sufyan dari Jabir ia berkata; Saya mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya di waktu malam terdapat suatu saat, tidaklah seorang muslim mendapati saat itu, lalu ia memohon kebaikan kepada Allah 'azza wajalla baik kebaikan dunia mahupun akhirat, kecuali Allah memperkenankannya. Demikian itu terjadi pada setiap malam". Riwayat Muslim,757.


Waktu malam diukur dari tenggelamnya matahari (iaitu waktu Maghrib) hingga terbit fajar Subuh. Jika waktu Maghrib kira-kira dari pukul 7:00 petang dan waktu Subuh pukul 05:00 pagi, bermakna waktu malam adalah sekitar 10 jam. Pertengahan malam bererti pukul 12:00 malam. Sedangkan sepertiga malam terakhir dimulai kira-kira pukul 2:00 pagi.


6-Memberi makan kepada orang yang berbuka. 


Memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam yang mana Baginda telah bersabda:


مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا


Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.

Riwayat Al-Tirmizi,807 dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.


7-Umrah pada bulan Ramadhan. 


Berbagai ibadah dilakukan selama sebulan Ramadhan untuk menuai pahala. Terdapat beberapa hadith yang menerangkan keutamaan umrah pada bulan Ramadhan, 


قَالَ اِبْنُ عَبَّا سٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ رَسُوْ لُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَمَ لاِءِمْرَأَةٍ مِنَ اْلأَنْصَارِ : مَا مَنَعَكَ أَنْ تَحُجِّى مَعَنَا؟، قَالَتْ : كَانَ لَنَا نَاضِحٌ، فَرَكِبَهُ أَبُوْ فُلاَنٍ، وَابْنَهُ، لِزَوْجِهَا، وَابْنِهَا، وَتَرَكَ نَاضِحَا نَنْضَحُ عَلَيْهِ. قَالَ : فَإِذَا كَانَ رَمَضَانُ اعْتَمِرِى فِيْهِ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِى رَمَضَانَ حَجَّةً 


Maksudnya:"Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma berkata, ‘Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berkata kepada seorang wanita dari kalangan Anshar, ‘Apa yang menghalangimu untuk haji bersama kami?’ Wanita itu menjawab, ‘Kami mempunyai unta yang kami pergunakan untuk mengairi. Lalu Abu Fulan menaikinya, begitu pula anak unta itu bagi istrinya dan anaknya, dan dia meninggalkan seekor unta agar dipergunakan untuk mengairi’. Beliau berkata, ‘Apabila datang bulan Ramadhan, maka umrahlah pada bulan itu, kerana umrah pada bulan Ramadhan serupa dengan haji”. Abu Daud 2990


8- Beri'tikaf. 


Ketika bulan Ramadhan umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal ibadat sebaik mungkin bagi mendapatkan fadilat yang tinggi di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Antara amalan utama dan besar pahalanya pada bulan ini adalah beriktikaf, 


ُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ


Dari Abdullah bin Umar radliallahu 'anhuma bahwa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melakukan I'tikaf pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadlan. HR Muslim,2003


Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat beribadah. Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji.


Tiga syarat Iktikaf :

1- Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal atau berdiam di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi melaknakan sunah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam).


2- Menetap atau tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu yang dapat dianggap pada uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau duduk diam di dalam masjid. Uruf: Ialah sesuatu yang telah dikenal oleh masyarakat dan merupakan kebiasaan dalam kalangan mereka samaada berupa perkataan mahupun perbuatan.


3- Seorang yang beriktiaf pula disyaratkan hendaklah seorang Muslim,berakal sihat dan suci dari haid,nifas dan janabah.

Hukum iktikaf adalah sunat pada setiap waktu dan lebih disunatkan lagi pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan kerana di antara malam-malam tersebut terdapatnya lailatulqadar atau malam al-Qadar. Menurut ulama, beriktikaf pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan hukumnya ialah sunat muakkad (yakni sunat yang amat-amat dituntut). Raudhah al-Muttaqin Syarh Riyadh ash-Shalihin.


1 comment:

  1. Alhamdulillah..t.kasih Ustaz.
    Hanya Allah SWT saja yg menbalas nya.

    ReplyDelete

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...