Saturday, April 16, 2022

Golongan Marhaen' sebagai pekerja menurut perspektif Islam.

Golongan Marhaen' sebagai pekerja menurut perspektif Islam. 


Apakah yang dimaksudkan Marhaen'


Istilah Marhaen' dizahirkan untuk menyatakan bahawa ada pihak yang perlukan pembelaan, bukan itu saja tapi untuk menyatakan bahawa pihak yang perlukan pembelaan itu perlu bersatu dalam satu kelompok yang dipanggil 'Marhaen'.


Marhaen' itu pada asalanya merujuk kepada nama seorang petani kelas sederhana yang satu ketika dahulu sekitar tahun 1927 sewaktu Soekarno atau 'Bung Karno' berjalan jalan di daerah pertanian 'Bandung Selatan' dan bertemu dengan petani petani disana yang terdiri dari pekerja pekerja dan pemilik pemilik ladang kecil dikawasan itu, lalu ditanya kepada petani itu 'siapa pemilik ladang ini' lalu petani itu menjawab 'Marhaen'. Semenjak dari itu 'Bung Karno' mengunakan perkataan 'Marhaen' itu untuk mengantikan istilah 'Proletar' yang digunakan oleh pengasas fahaman komunis 'Karl Mark' dimana istilah 'Proletar' itu memberi maksud 'Menjual tenaga kerjanya dengan tidak memiliki alat produksi sendiri', yang bertujuan untuk memperjuangkan nasib kaum pekerja. Sedangkan yang perlukan pembelaan bukan saja kaum pekerja sahaja tetapi meliputi semua kaum, dangan itu terciptalah istilah 'Marhaen' itu yang mewakili semua kaum, kaum yang melarat, kaum yang kecil, buruh kecil, petani kecil, pengusaha kecil, nelayan kecil, semuanya kecil dan istilah dan golonggan 'Proletar' itu pun termasuk didalam istilah 'Marhaen' itu. Kata 'Bung karno', sesiapa yang memihak kepada 'Marhaen' adalah seorang 'Marhaenisme', dan katanya lagi siapa yang memahami 'Marhaenisme' adalah seorang yang memahami 'Nasionalisme'.


'Nasionalisme' itu ertinya 'satu ideologi mencipta dan mempertahankan kedaulatan sebuah negara dan mewujudkan satu identiti bersama untuk sekumpulan manusia', bermakna sesiapa yang memperjuangkan ideolagi itu adalah seorang yang dipanggil 'Nasionalis'.


Isu bekerja adalah antara ikhtiar manusia meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna berbanding dengan makhluk-makhluk-Nya. 

Kelebihan dan galakan bekerja sama ada bercucuk tanam, berniaga, sebagai nelayan, guru, tentera, polis dan bekerja di jabatan dan lain-lain lagi. Yang penting dan utamanya ialah, apabila kita bekerja, pastikan kerja tersebut adalah halal dan menepati syariat Islam.

Konsep serta nilai murni pekerjaan juga amat dititiberatkan oleh oleh Islam sehingga terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”


Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam

Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza. 


Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Namun demikian penekanan terhadap punca rezeki atau mata pencarian yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak.


Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ


Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.” Riwayat al-Tirmizi (2416)


Galakan untuk berusaha untuk mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah adalah bersabda:


مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ


Maksudnya: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”


Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah

dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).


Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah:


Hadis ini menunjukkan bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup.

Dengan modal insan, pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kreatif, inovatif dan bermutu. Ini kerana dengan tahap disiplin yang tinggi sudah tentu dapat menghasilkan natijah dan perkhidmatan yang cemerlang. Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja dan juga sikap acuh tak acuh atau sambil lewa dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana, dengan sikap seperti itu kegagalan dan juga kemunduran sudah pasti bertapak dalam kehidupan mereka, bahkan memberi kesan kepada negara untuk mencapai wawasan yang gemilang.

Justeru, beberapa langkah seperti memotivasikan pekerja, melihat contoh dan teladan pekerja yang berjaya di samping semangat dan ruh ‘pekerjaan sebagai satu ibadat’ hendaklah dijadikan motto atau misi oleh pekerja.


Berkenaan dengan hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan pula, antara lain ialah:


Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadith adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ


Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”


Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)

dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)


Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)


Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Sesungguhnya Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya. Dalam satu hadith qudsi, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam meriwayatkan bahawa Allah Subhanahuwata'la berfirman:


ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ


Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.

Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)


Tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Jika terpaksa dilakukan, maka bantulah mereka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ


Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka". Riwayat al-Bukhari (30)


Hak untuk berehat atau cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara mereka. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ


Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”


Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra

(11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).


Melayani pekerja dengan baik serta tidak bersikap kasar dan zalim sehingga melakukan kekasaran fizikal kepada pekerja. 

Kemudahan kesihatan juga perlu diambil kira melalui Takaful dan sebagainya.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam tidak pernah melakukan kekasaran kepada bawahannya. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan:


مَا ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ شَيْئًا قَطُّ بِيَدِهِ وَلاَ امْرَأَةً وَلاَ خَادِمًا


Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah memukul dengan tangannya sedikit pun, tidak kepada wanita dan tidak kepada hamba (pekerja).”

Riwayat Muslim (2328) dan Abu Daud (4786)


Setiap orang juga perlu diberi kefahaman dan terma kerja yang semestinya dilakukan. Kesan darinya amat memberangsangkan. Merasa kebertanggungjawaban merupakan hal yang terpenting apabila seseorang pekerja menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. Dengan cara ini, daripada serendah-rendah pekerja, hingga kepada bos nombor satu akan merasa masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab. Benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala:


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا


Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).

Surah al-Nisa’ ayat 58.


Daripada Samurah, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ


Maksudnya: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.”

Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534)


Dalam konteks diberi amanah kepada yang lain jika sekiranya dia sebagai penyelia dan juga pengawal disamping bertanggungjawab atas pelaksanaan amanh tersebut.Maka ia dibolehkan. Namun, sebaliknya jika amanah tersebut diterima dan terus diberikan kepada yang lain tanpa sebarang tanggungjawab dan seliaan daripadanya, maka ia telah mengabaikan amanah. Inilah yang kita bimbangi sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:


إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ " , قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : " إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ


Maksudnya: “Apabila diabaikan amanah maka tunggulah saat kebinasaan. Lantas sabahat bertanya: “Bagaimana bentuk pengabaiannya wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaan.”

Riwayat al-Bukhari (6496) dan Ibn Hibban (104)


Ibn Battal berkata: Ucapan Nabi ini umum. Makanya Arab Badwi sebagai yang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mahukan syarahannya serta perincian lantas sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: Apabila urusan diserah kepada yang bukan ahli dan berkelayakan. Jawapan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam umum termasuk padanya pengabaian amanah dan yang semakna dengannya serta tidak mengikut cara yang sebenarnya seperti menjadikan seseorang itu ulama' sedangkan dia jahil ketika kematian ahli ilmu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 10/207)


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...