Monday, January 3, 2022

Hujan rahmat dan hujan mudharat

Hujan rahmat dan hujan mudharat

Hujan adalah rahmat Allah Subhanahuwata'ala kepada manusia dan Allah berkuasa untuk menarik balik rahmat tersebut dan menjadikannya musibah kepada manusia disebabkan kerakusan manusia melakukan kerosakan di atas muka bumi.


Hujan yang terus mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman yang rosak, haiwan mati, tumbuh-tumbuhan rosak sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.


Ini dapat diperhatikan apabila Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyarankan kepada manusia, apabila hujan turun mencurah, maka berdoalah kepada Allah Subhanahuwata'ala agar dijadikan hujan tersebut sebagai hujan yang bermanfaat kepada kehidupan.


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu'minin A'isyah RA beliau berkata, 


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أُمْطِرَ قَالَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا


Maksudnya:"Dari 'Aisyah bahawa Rasulullah ﷺ bila turun hujan, maka beliau mengucapkan, "Ya, Allah jadikanlah hujan ini bermanfaat". Al-Nasai(1506)


Menurut ramalan Jabatan Meterologi Malaysia perubahan angin monsun timur laut yang akan mula bertiup dalam lingkungan bulan November hingga Mac akan menyebabkan penurunan hujan yang lebih banyak di sekitar kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan di kawasan barat Sarawak.Fenomena perubahan monsun akan memperlihatkan hujan yang lebih lebat berbanding biasa. Hujan yang mencurah ini boleh mengakibatkan banjir kilat dibeberapa tempat yang rendah sama ada di kawasan bandar atau perkampungan.


Walaubagaimanapun, ramalan hanyalah sekadar ramalan. Ketentuan Allah Subhanahuwata'ala melebihi segalanya. Hujan salah satu rahmat Allah Subhanahuwata'ala yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang bersama keberkatan yang akan memberi manfaat yang besar kepada hamba-Nya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


"وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا فَأَنْبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ


Maksudnya:"Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang diketam". Qaf ayat 9.


Menurut Tafsir Ibnu Katsir: Dan firman Allah Ta’ala: وَنَزَّلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً مُّبَٰرَكًا (“Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak berkahnya.”) yakni manfaatnya, فَأَنۢبَتۡنَا بِهِۦ جَنَّٰتٍ وَحَبَّ ٱلۡحَصِيدِ (“Lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon”) yakni kebun, taman, dan lain sebagainya, وَحَبَّ الْحَصِيدِ (“Dan biji-biji tanaman yang diketam.”)


Penurunan hujan juga merupakan antara tanda-tanda kiamat yang  dinyatakan oleh Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. Gambaran ini merujuk kepada curahan hujan yang lebat dengan sedikit tumbuh-tumbuhan yang hidup.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُمْطَرَ النَّاسُ مَطَرًا لَا تُكِنُّ مِنْهُ بُيُوتُ الْمَدَرِ وَلَا تُكِنُّ مِنْهُ إِلَّا بُيُوتُ الشَّعَرِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, ia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Kiamat tidak akan terjadi sehingga manusia di hujani oleh air hujan yang tidak akan terlindung rumah-rumah yang terbuat dari tanah liat dan tidak akan terlindung kecuali rumah-rumah yang terbuat dari serabut(bulu atau kulit haiwan/khemah)". Ahmad(7248)


Hadith ini memberi gambaran kepada manusia bahawa hujan yang lebat mencurah kebumi tidak memberi manfaat kepada manusia sehingga tidak menumbuhkan tanaman dan pepohon kayu. Dalam masa sama, curahan air dari langit ini membawa kerosakan kepada rumah yang kukuh dibina pada hari ini.


Hal ini dapat dilihat di kawasan berdekatan apabila hujan turun dengan lebat yang menatijahkan kesan buruk seperti banjir kilat, limpahan air di kawasan peparitan, air lumpur dari kesan pembangunan dan juga kepala air yang memusnahkan.


Dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ السَّنَةَ لَيْسَ بِأَنْ لَا يَكُونَ فِيهَا مَطَرٌ وَلَكِنَّ السَّنَةَ أَنْ تُمْطِرَ السَّمَاءُ وَلَا تُنْبِتَ الْأَرْضُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda, "Sesungguhnya kebuluran bukanlah kerana tidak adanya hujan, akan tetapi kebuluran adalah langit menurunkan hujan akan tetapi bumi tidak menumbuhkan tetumbuhan". Ahmad(8349)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَتْ السَّنَةُ بِأَنْ لَا تُمْطَرُوا وَلَكِنْ السَّنَةُ أَنْ تُمْطَرُوا وَتُمْطَرُوا وَلَا تُنْبِتُ الْأَرْضُ شَيْئًا


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah Rasulullah ﷺ bersabda, "Kemarau itu bukannya kalian tidak dihujani, tapi kemarau adalah kalian dihujani dan dihujani tapi bumi tidak menumbuhkan apa pun". Muslim(5166)


Hujan apabila turun ke bumi akan memberi asbab kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membiak dengan subur. Walau bagaimanapun, kekuasaan Allah Subhanahuwata'ala mampu untuk menyekat peranan hujan dan bumi daripada menumbuhkan sebarang tumbuh-tumbuhan.


Perkara ini juga peringatan kepada manusia apabila tidak menjaga bumi daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri apabila sewenang-wenangnya menjadikan hamparan bumi tertutup daripada ditembusi oleh air disebabkan pembangunan yang tidak terancang.


Akibatknya, hujan yang turun tidak sampai ke dalam tanah dan tidak pula dapat mengalir ke sungai-sungai disebabkan pembangunan yang tidak terancang menutup aliran air dari mengalir dengan sempurna. Dalam masa sama, hutan belantara yang digondolkan secara berleluasa menyebabkan pusat tadahan hujan semula jadi tidak dapat berfungsi dengan sempurna menyebabkan banjir berlaku.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ


Maksudnya:"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". Al-Rum ayat 41


Peringatan Allah Subhanahuwata'ala turut meliputi kehidupan yang terjejas disebabkan hilangnya keberkatan dengan hujan yang turun. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hilang tempat tinggal sehingga haiwan-haiwan liar mula berhijrah ke kawasan-kawasan penempatan manusia. Mereka mula terkesan dengan situasi kehidupan yang mengancam kehidupan dan habitat mereka.


Pada ketika ini, bukan air yang menjadi penghalang bagi mereka namun ketiadaan tumbuh-tumbuhan yang hidup kesan daripada bumi yang tidak menumbuhkan apa-apa menjadikan mereka mencari sumber yang berhampiran manusia.


Baginda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda menjelaskan bahawa hakikat kemarau turut melibatkan hujan yang mencurah, tetapi bumi tidak mengeluarkan hasil.


Justeru itu, hujan yang terus mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman yang rosak, haiwan mati, tumbuh-tumbuhan rosak sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.


No comments:

Post a Comment

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid  Syaitan sentiasa mengunjungi tempat-tempat ibadah, majlis zikir, dan masjid-masjid. Di sana, ia beru...