Tuesday, November 9, 2021

Dunia pada waktu Fitnah Akhir Zaman. Kedustaan yang menimpa manusia.

Dunia pada waktu Fitnah Akhir Zaman. Kedustaan yang menimpa manusia.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


وَالْعَصْرِ (١) إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢) إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣


Maksudnya:"Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar". Surah al-Asr ayat 1-3


Kalimah ‘الْعَصْرِ’ dalam ayat ini menandakan kesuntukan dunia. Menandakan seolah-olah dunia ini sedang berada di hujung waktu. Lalu, Allah mengatakan manusia yang istiqamah menegakkan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran, maka inilah golongan yang tidak akan rugi pada fasa akhir zaman ini. Mengapakah Allah Sunhanahuwata'ala mengaitkan tentang masa yang telah berada di penghujungnya, dengan kebenaran dan kesabaran?. Ini sebagai isyarat kepada kita bahawa dunia akhir zaman ini dipenuhi dengan ujian. 

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah ia berkata, "Nabi ﷺ bersabda, "Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah hilangnya ilmu, banyak terjadi gempa, waktu seakan berjalan dengan cepat, timbul berbagai macam fitnah, Al haraj -iaitu pembunuhan- dan harta melimpah ruah kepada kalian". Bukhari (978).


Maksud Fitnah adalah sesuatu ujian, huru hara, bencana, atau sesuatu yang membawa makna kufur. Maka segala bentuk kecelaruan, penipuan dan bencana seperti Covid-19 ini terzahir satu peristiwa diantara peristiwa-peristiwa menjelang Kiamat.


Hari ini fitnah akhir zaman melanda kehidupan kita dari segenap penjuru dan ruang. Fitnah tidak mengenal orang besar atau peniaga jalanan. Fitnah tidak membezakan orang jahil atau ilmuan. Fitnah tidak pernah mengira lelaki atau perempuan, tua atau muda, kufur atau bertaqwa. Ia datang dan cuba menggugat iman agar tergelincir, menghasut umat agar kucar kacir.


Perhatikanlah! Betapa banyak kehidupan yang musnah angkara fitnah dan penipuan akhir zaman. Dari sebesar-besar benda, hingga sekecil kecil perkara, dunia hari ini telah diselubungi oleh penipuan. 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercaya, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidlah turut bicara." Lalu beliau ditanya, "Apakah Ruwaibidlah itu?" beliau menjawab, "Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum". Riwayat Ibnu Majah(4026)


Pada hari ini, sukar untuk kita mendapatkan berita yang benar, kewujudan aplikasi media sosial yang tidak terbendung, menyebabkan bercampur aduk maklumat yang sahih dan palsu, hingga umat jadi keliru, siapa teman 

siapa seteru.

Umat Islam berbalah hanya kerana satu dua video di media sosial yang pendek di media sosial. Kita mula bercakap dan menjatuhkan hukum, seterusnya menyebarkan aib, hingga tercetus perbalahan dan fitnah, hingga berlaku saman menyaman. Akhirnya ia tidak mendatangkan apa apa keuntungan, melainkan kerugian sahaja. Allah Subhanahuwata'ala berfiman di dalam Al Quran, surah Al Hujarat ayat 6,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


Maksudnya:"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu". surah Al Hujarat ayat 6,


Hari ini angkara penipuan dan fitnah, telah berapa banyak rumahtangga yang musnah, hubungan kekeluargaan yang punah, silaturrahim yang terpisah, dan airmata yang yang tertumpah. Malangnya, fitnah akhir zaman yang sepatutnya dihindari,namun ramai yang berpusu- pusu 

terjun ke dalamnya. Maka jadilah kehidupan dunia hari ini, tenat dan melarat. Penipuan bukan sahaja di pentas politik besar, ia turut berlaku di dalam pasar, atau dihujung jari, atau didalam kamar sendiri. Apa yang lebih dikesalkan, kadangkala produk kesihatan pun ditipu maklumatnya oleh iklan dan peranan media maya. Minuman yang dipenuhi gula dikatakan berkhasiat, snek yang dipenuhi kimia dikatakan makanan berzat. Begitu juga ramai yang telah terpedaya dengan aktiviti scammer. Macau scammer misalnya telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit disebabkan penipuan atas talian.Sukar bagi kita untuk mendapatkan kebenaran hinggakan apa yang batil itu akan terlihat benar dan yang benar itu sukar dipastikan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,


عَنْ إِسْمَعِيلَ بْنِ جَعْفَرٍ قَالَ ابْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ قَالَ أَخْبَرَنِي الْعَلَاءُ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Segeralah beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gulita. Di pagi hari seorang laki-laki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di sore harinya. Di petang hari seorang laki-laki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan kenikmatan dunia". Riwayat Muslim(169)


Segala fitnah dan penipuan yang menyebabkan segala huru hara hari ini, paling tidak mampu dikurangi dengan masing masing bermuhasabah, berlaku jujur dan mendaulatkan kebenaran. Jujurlah dalam kepimpinan, peniagaan dan kehidupan. Kerana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


عَنْ أَبِي الْحَوْرَاءِ السَّعْدِيِّ قَالَ قُلْتُ لِلْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ مَا حَفِظْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ


Maksudnya:"Dari Abu Al Haura` As Sa'di berkata, Aku bertanya kepada Al Hasan bin Ali: Apa yang kau hafal dari Rasulullah ﷺ? Ia menjawab: Aku menghafal dari Rasulullah ﷺ, "Tinggalkan yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu karena kejujuran itu ketenangan dan dusta itu keraguan". Riwayat Tirmizi(2442)


Barangkali hari ini kita gembira mencipta dan menyebar penipuan dan fitnah, dilain kali mungkin kita pula yang menjadi mangsa. Justeru jadilah kita muslim yang hebat, demi membentuk umat yang kuat, agar bila datang fitnah yang lebih besar yakni dajjal, kita tidak mudah tergugat.


Fireman Allah Subhanahuwata'ala,


وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya:"Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya". Al-Anfal ayat 25.


Menurut Tafsir as-Sa'di / Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa'di,  

“Dan perihalah dirimu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang orang yang zalim saja diantara kamu” akan tetapi ia menimpa pelaku kezaliman dan juga selainnya. hal itu jika kezaliman muncul dan tidak dirubah maka azabnya akan menimpa pelaku dan selainnya. Menghindari fitnah ini adalah dengan melarang kemungkaran dan melawan para pengusung kejahatan dan kerosakan serta tidak memberi mereka peluang untuk berbuat dosa dan kemaksiatan seboleh mungkin. ”dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya” bagi orang yang melakukan penyebab kemungkaranNya dan menjauhi redha-Nya.


Akhir kalam marilah  kita memberi perhatian kepada beberapa perkara berikut:


Pertama: Senantiasa menyelidiki setiap maklumat dan berita yang sampai kepada kita, terutamanya di media sosial.


Kedua: Tidak menjadi terlalu taksub terhadap sesuatu kelompok kumpulan atau pertubuhan hingga menyebabkan terputusnya silaturrahim.


Ketiga: Menjauhkan diri dari fitnah, atau terlibat menjadi salah seorang yang mencetuskan fitnah.


Dan akhir sekali: Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan solat, berdoa agar diri serta keluarga dilindungi dari bahaya fitnah akhir zaman




No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...