Friday, November 5, 2021

Akhir zaman Islam akan kembali dalam keadaan terasing.

Akhir zaman Islam akan kembali dalam keadaan terasing.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telah mengkhabarkan kepada umatnya bahawa pada akhir zaman, Islam akan kembali dalam keadaan terasing atau juga amalan-amalan Islami dianggap tidak sesuai mengikut peredaran zaman. Dan juga mengkhabarkan orang-orang yang masuk ke dalam keterasingan itu akan lebih beruntung.


عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Islam muncul/bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing." Riwayat Muslim(208)


Islam dimulai dalam keadan asing (segelintir sahabat) sebagaimana keadaan di Mekkah dan di Madinah ketika awal-awal hijrah. Islam tidak diketahui dan tidak ada yang mengamalkan kecuali sedikit saja. 


Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairanan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah.


Islam datang menongkah kebiasaan manusia. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia. Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan.


Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan.


Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.


Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan.


Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding dengan mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut. Itulah nasib Islam di awal zamannya.


Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya.


Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda Sallallahu'alaihiwasallam dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman.


Mereka ganjil bukan sebab mereka salah.Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai. Itu sahaja. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ


Maksudnya:“Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerusakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa”. Hud ayat 116.


Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika mana manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.


Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti sedangkan majoriti mahukan maksiat dan kerosakan.Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.


Kemudian Islam mula tersebar dan ramai masuk Islam, yang mana harta bukan menjadi ukuran utama dalam dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam,tetapi kesabaran yang tinggi dan pengorbanan merupakan kunci kejayaan Islam.


Walaupun wujud penentangan terhadap dakwah Islamiah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam di Makkah,namun telah menimbulkan reaksi positif di kalangan masyarakat Arab Quraisy.Ahli keluarga dan sahabat rapat baginda merupakan orang yang paling awal menerima dakwah Islamiah.


Kebanyakan penganut Islam pada peringkat awal ini terdiri daripada golongan bawahan seperti hamba.Mereka memeluk Islam kerana tertarik kepada ajaran Islam yang memberikan layanan yang sama kepada semua manusia. Sehingga ada diantara mereka yang telah diseksa dengan kejam termasuklah Bilal bin Rabah, keluarga Yaasir, Amir bin Fuhairah dan Zunainah.


Berkat dakwah berterusan oleh Rasulullah 

Sallallahu'alaihiwasallam,Islam telah dapat diterima oleh orang ramai pada ketika itu kerana kemurnian ajarannya dan kebijaksanaan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam berdakwah. Baginda berdakwah secara lemah lembut  dan tidak memaksa orang ramai memeluk Islam tetapi memujuk mereka dengan menggunakan akal yang dianugerahi Allah.


Antara pendekatan yang digunakan oleh baginda termasuklah membandingkan antara nilai akhlak masyarakat Arab Jahiliah dengan nilai akhlak yang disaran oleh Islam. Nabi juga membacakan ayat al-Quran untuk menjawab pertanyaan para sahabat, di samping memberikan penerangan dan menunjukkan teladan yang baik.Dalam menyebarkan Islam Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. telah menanamkan keimanan yang kuat kepada pengikutnya.


Inspirasi dari cara dakwah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam adalah bahawa harta bukan menjadi ukuran utama dalam berdakwah,tetapi kesabaran yang tinggi dan pengorbanan merupakan kunci kejayaan Islam.


Islam akan kembali asing di akhir zaman, sebagaimana awal kemunculannya. Syariat Islam hanya diamalkan oleh segelintir orang yang taat seperti di zaman awal sahabat, padahal umatnya ramai.


Saat Islam kembali terasing adalah bilamana ketika itu riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, mereka yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah kita berasa seperti itu?


Ketikamana kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, mereka yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah kita mengalami pengalaman seperti itu?


Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun seusia sudah mencecah belia, namun ada mereka yang  memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah kita berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?


Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, ada mereka yang memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu kita dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah kita berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?


Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba ada mereka yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah kita dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?


Jika kita pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga memuji sikap mukmin yang istiqamah mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah ketika masyarakat menjauhi dan memandang hina terhadapnya.Maka beruntunglah orang yang asing (sedikit) kerana tetap berpegang kukuh dengan syariat Islam ditengah-tengah masyarakat yang lalai dan meninggalkan cara hidup Islam.طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ (Keberuntungan bagi orang-orang yang terasing)


Dari Abdullah bin Amru r.a, dia berkata,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَلَعَتْ الشَّمْسُ فَقَالَ يَأْتِي اللَّهَ قَوْمٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ نُورُهُمْ كَنُورِ الشَّمْسِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَحْنُ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لَا وَلَكُمْ خَيْرٌ كَثِيرٌ وَلَكِنَّهُمْ الْفُقَرَاءُ وَالْمُهَاجِرُونَ الَّذِينَ يُحْشَرُونَ مِنْ أَقْطَارِ الْأَرْضِ وَقَالَ طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ فَقِيلَ مَنْ الْغُرَبَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ نَاسٌ صَالِحُونَ فِي نَاسِ سَوْءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُم


Maksudnya:"Dari Abdullah bin 'Amru, dia berkata; aku berada di dekat Rasulullah ﷺ dan matahari sedang terbit, maka beliau bersabda, "Pada hari kiamat nanti akan datang suatu kaum kepada Allah, cahaya mereka seperti cahaya matahari." Maka Abu Bakar berkata, "Apakah mereka itu kami wahai Rasulullah?" Beliau bersabda, "Bukan, bagi kalian ada banyak kebaikkan, mereka adalah orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah, mereka dikumpulkan dari penjuru dunia." kemudian beliau berkata, "Keberuntungan bagi orang-orang yang terasing, keberuntungan bagi orang-orang yang terasing, keberuntungan bagi orang-orang yang terasing." Ditanya, "Siapakah orang-orang yang terasing itu wahai Rasulullah?" Beliau bersabda, "Mereka adalah orang-orang soleh hidup di tengah-tengah orang-orang buruk yang banyak, orang-orang yang menentangnya lebih banyak daripada orang-orang yang mentaatinya." Riwayat Ahmad(6775), hasan.


Orang Islam hendaklah sentiasa istiqamah di atas ajaran Islam serta memelihara diri daripada terlibat dengan gejala sosial dan penyelewengan  yang menyebabkan pandangan negatif masyarakat terhadap Islam. 


Al-Hasan r.a berkata, "Orang beriman di dunia seperti orang asing tidak takut akan penghinaan, dan tidak bersaing dalam kemuliaannya.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...