Sunday, October 3, 2021

Sedekah Jariah atau Wakaf

Sedekah Jariah atau Wakaf

Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة‎) yang bermaksud benar.

Makna syara' "sedekah" pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang kita berikan kerana Allah Subhanahuwata'ala kepada golongan fakir yang memerlukan. (Rujuk Lisan al-Arab (10/196)


Sedekah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Subhanahuwata'ala. (Rujuk al-Ta’rifat - 1/132)


Hal ini selaras dengan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ


Maksudnya: "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."

All-Baqarah ayat 271.


Menurut Tafsir Al-Wajiz oleh Wahbah az-Zuhaili. 

Jika kamu menampakkan sedekah sukarela maka hal itu baik supaya kamu boleh ditiru, maka perbuatan kamu itu baik, iaitu menampakkan sedekah itu baik. Dan jika kamu mengeluarkan sedekah secara rahasia atau kamu memberi sedekah orang-orang fakir secara rahsia maka hal itu lebih baik bagi kamu daripada menampakkannya untuk menjauhkan diri dari riya’. Allah akan menghapus dosa-dosa kamu sesuai takaran infaq kamu. Dan Allah itu mengawasi perbuatan kamu berupa menampakkan atau merahsiakan sedekah. Adapun zakat yang wajib itu lebih baik dinampakkan supaya ditiru oleh orang yang berzakat. Al-kalbi berkata: “Ketika firman Allah {وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ نَفَقَةٍ} turun-(pada surah al-Baqarah ayat 270), orang-orang bertanya: “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, sedekah yang rahsia atau yang terang-terangngan?” Lalu Allah menurunkan ayat ini”


Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat. Seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran, 


إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ


Maksudnya:"Sesungguhnya sedekah-sedekah:(zakat-zakat) itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". At-Taubah ayat 60.


Sebagaimana surat yang ditulis oleh Saidina Abu Bakar RA kepada Anas ketika dia mengutusnya ke negeri Bahrain, 


أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَتَبَ لَهُ هَذَا الْكِتَابَ لَمَّا وَجَّهَهُ إِلَى الْبَحْرَيْنِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya:"Bahawa Abu Bakar radhiallahu'anhu telah menulis surat ini kepadanya (tentang aturan zakat) ketika dia mengutusnya ke negeri Bahrain, "Bismillahir rahmaanir rahiim. Inilah kewajiban zakat yang telah diwajibkan oleh Rasulullah ﷺ terhadap kaum muslimin…………". Riwayat Bukhari(1454)


Infak pula menurut al-Jurjani bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. (Rujuk al-Ta’rifat - 1/39)


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ


Maksudnya:"(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka". Al-Baqarah ayat 3


Perkataan ‘يُنْفِقُونَ’ dalam ayat itu menurut pilihan Imam al-Tabari merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. (Rujuk Jami’ al-Bayan - 1/244)


Justeru itu, sedekah dan infak itu adalah sinonim antara keduanya. Ini bermaksud pengertian infak dan sedekah adalah zakat wajib, sedekah sunat dan wakaf manakala wakaf pula lebih khusus kepada amalan wakaf.


Wakaf dari sudut bahasa adalah bermaksud berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع)


Istilah Syara’ pula Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah Subhanahuwata'ala. 


Berkenaan dengan sedekah jariah pula ia memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.


Dari sudut istilah, sedekah jariah membawa maksud menahan harta yang boleh diambil daripadanya manfaat berserta mengekalkan ‘ain harta berkenaan.


Ia menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta itu daripada pewakaf dan harta itu akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan daripadanya (harta wakaf itu) digunakan untuk jalan kebaikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj - 2/376)


Imam Nawawi menjelaskan, sedekah jariah itu bermaksud wakaf. (Rujuk Syarh Muslim - 11/85)


Wakaf  disebut sebagai sedekah jariah sebagaimana difahami dari sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermunfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya".Riwayat  Muslim  1631.


Pahala orang yang berwakaf atau bersedekah jariah akan berkekalan selagi harta wakaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewakaf.


Mekanisme wakaf merupakan satu ibadah yang mempunyai asas agama yang mendalam. Para fuqaha' berpandangan bahawa amalan wakaf mempunyai dua objektif asas iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pewakaf akan menerima ganjaran pahala yang berkekalan dan berterusan hingga ke hari akhirat.

.

JENIS-JENIS WAKAF


Wakaf Khas

Pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah agama dan sebagainya.


Wakaf Am

Pewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan yang khusus.


RUKUN WAKAF


1-Pewakaf (Wakif)

2-Harta yang diwakafkan (Mauquf)

3-Penerima wakaf (Mauquf Alaih)

4-Lafaz Wakaf (Sighah)


SYARAT HARTA YANG DIWAKAFKAN (MAUQUF)


1-Harta yang berbentuk kekal yang mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah atau bangunan.

2-Harta milik sempurna pewakaf

3-Harta yang dapat diserahkan dan bukan hartanya ditahan seperti harta orang muflis dan harta anak yatim.


SYARAT-SYARAT SAH WAKAF


1-Wakaf tidak dihadkan tempoh tertentu.

2-Tujuan dan maksud wakaf hendaklah jelas.

3-Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa syarat.


Perintis amalan wakaf dalam Islam adalah dipraktikkan oleh Baginda Rasullullah Sallallahu'alaihiwasallam apabila Baginda membina masjid Quba' yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Amalan wakaf telah hidup subur dan diteruskan oleh para sahabat dan tabiin yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu. Ringkasnya semangat dan keyakinan masyarakat Arab ketika itu terhadap mekanisme wakaf dalam membantu membangunkan syiar Islam amat menggalakkan dan sesetengah kenyataan menyatakan bahawa telah menjadi tradisi masyarakat Arab akan mewakafkan 1/3 hartanya sebelum meninggal dunia.Fakta sejarah telah menyatakan bahawa 3/4 daripada keluasan tanah Arab merupakan tanah wakaf.


Model institusi wakaf yang paling berjaya adalah wakaf Al-Azhar di Negara Mesir di mana ianya dikendalikan oleh sebuah kementerian khas yang dinamakan Kementerian Wakaf. Wakaf Al-Azhar dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga ia mampu membiayai pelbagai program untuk pembangunan masyarakat Islam di Mesir seperti sekolah, hospital, universiti dan sebagainya. universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid

Syaitan beraksi di setiap pintu masjid  Syaitan sentiasa mengunjungi tempat-tempat ibadah, majlis zikir, dan masjid-masjid. Di sana, ia beru...