Suntikan Vaksin Covic 19
Keyakinan terhadap janji Allah Subhanahuwata'ala yang akan menurunkan penawar bagi setiap penyakit yang diturunkan. Sebagaimana yang disebut oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar".[Riwayat al-Bukhari (5678).
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ اللهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu”. Riwayat Ahmad (12596)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh meniali hadith ini sebagai sahih li ghairihi]
Hukum asal mengubati penyakit ialah tidak wajib dan ia merupakan pilihan individu tersebut sama ada dia ingin berubat atau tidak. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih Bukhari :
قَالَ عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا
Maksudnya : Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”. (Riwayat al-Bukhari(5220)
Kesimpulannya melalui hadith ini, para fuqaha’ telah mengeluarkan pendapat bahawa hukum asal bagi mereka yang sakit ialah tidak wajib berubat.
Namun apabila sesuatu penyakit itu merupakan penyakit berjangkit yang boleh tersebar kepada orang lain, dan apabila mereka yang terkena penyakit tidak mahu berubat. Maka ia berpotensi menyebabkan penyakit itu terus tersebar kepada orang lain sekaligus membahayakan nyawa. Maka hukumnya wajib seseorang itu berubat dan mengambil langkah pencegahan untuk tidak menyebarkan penyakit tersebut seperti suntikan vaksin. Hal ini kerana ia telah melibatkan nyawa orang lain. Tambahan pula, perkara ini selaras dengan apa yang telah disebut dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam di dalam sebuah hadith berkaitan cara mendepani sesuatu wabak iaitu :
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan".Riwayat Malik (31)
Hadith di atas ini merupakan sebuah hadith yang masyhur serta menunjukkan bahawa Islam menafikan sebarang bentuk kemudaratan dan membalas kemudaratan kepada orang lain. Dari sudut usul feqh, ada sebuah kaedah yang menyebut:
النَّكِرَةُ فِي سِياقِ النَّفْيِ تُفِيدُ الْعُمُوم
Maksudnya: Nakirah yang datang dalam konteks penafian menunjukkan kepada keumuman.
Perkataan dharar di dalam hadith tersebut datang dalam bentuk nakirah. Justeru, ini memberi makna bahawa Islam menafikan kesemua bentuk kemudaratan dalam setiap aspek dan sudut.
Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan bahawa:
الضرر يُزَال
Maksudnya: Kemudaratan itu disingkirkan.
(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhoir, al-Subki, 1/41)
Berdasarkan kaedah fiqh ini, Syeikh Mustafa Al-Zarqa ada menyatakan bahawa sesuatu kemudaratan itu WAJIB dihilangkan atau disingkirkan. Kaedah ini berkaitan dengan kemudaratan dari sudut larangan melakukannya dan kewajipan mencegah dan menyingkirkannya setelah ianya berlaku.
(Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, 179)
Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan nyawa individu seperti wabak virus maka perlulah disingkirkan dan dihilangkan. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berhati-hati terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa seperti pengambilan vaksin yang turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan daripada menimpa seseorang individu.
Ini bermaksud dalam keadaan pandemik Covic 19 yang menimpa manusia di seluruh dunia pada hari ini, maka pilihan suntikan vaksin adalah pilihan yang paling tepat untuk membina ketahan diri dan dalam usaha mencegah penularan Covic 19.
Lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia dilanda dengan wabak yang berbahaya sehingga membawa kepada kematian. Oleh itu, kita perlu mencegah diri kita daripada terkena dengan wabak tersebut dengan cara yang ditetapkan oleh pemerintah seperti pematuhan SOP dan pengambilan vaksin yang dapat mengurangkan kebarangkalian dijangkiti wabak COVID-19 yang sedang melanda
Menjadi peribadi yang bermanfaat pula adalah salah satu karakter yang harus dimiliki oleh setiap Muslim. Seorang Muslim lebih diperintahkan untuk memberikan manfaat bagi orang lain atau memunafaatkan orang lain dan bukan hanya mencari manfaat dari orang lain. Ini adalah bahagian dari implementasi konsep Islam yang penuh cinta, iaitu memberi. Sebagaimana perintah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam kepada umatnya. Sabda beliau:
خَيْرُ الناسِ أَنفَعُهُم لِلنَّاسِ
Maksudnya:“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain”. Riwayat ath-Thabrani, Al-Mu’jam al-Ausath, juz VII, hal. 58, dari Jabir bin Abdullah r.a..
Kesihatan dan keselamatan pula merupakan hak yang wajib dipelihara oleh setiap individu Muslim. Hal ini kerana aspek ini merupakan suatu tuntutan syarak dan maqasid syariah, bahkan ia berada dalam kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah yang wajib setiap individu memeliharanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali R.H di dalam kitabnya:
وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنْ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ: وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ
Maksudnya: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.”
(Rujuk: al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 174)
Memelihara nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Justeru, Ikhtiar perubatan adalah bertujuan untuk memelihara nyawa termasuklah mengambil vaksin. Tambahan pula, dalam keadaan wabak yang semakin kritikal adalah satu keperluan untuk seseorang itu mendapat vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19.
Di dalam al-Quran, Allah Subhanahuwata'ala menyebutkan larangan ke atas perbuatan mencampakkan diri kepada kebinasaan. Ini berdasarkan firman-Nya:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu mencampakkan (diri kamu) dengan tangan-tangan kamu ke arah kebinasaan.
Surah al-Baqarah ayat 195.
Di dalam kaedah usul menyebut:
النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم
Maksudnya: Larangan membawa erti pengharaman.
Justeru, larangan di dalam ayat tersebut jelas menunjukkan kepada pengharaman sesuatu perbuatan yang boleh membinasakan diri seseorang.
Disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam di dalam sebuah hadith,
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. Riwayat Al-Bukhari(5287)
Selain itu juga, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga mengarahkan untuk menjaga diri dari penyakit yang berjangkit seperti sabdanya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ فِرَارَكَ مِنْ الْأَسَدِ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah berkata; Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Jauhilah penyakit kusta sebagaimana engkau lari dari kejaran singa." Riwayat Ahmad(9345)
Pengambilan vaksin Covic 19 ini adalah merupakan satu arahan daripada pihak kerajaan dan merupakan sebahagian dari usaha pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak penyakit berjangkit itu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, sebagai rakyat kita seharusnya mentaati arahan pihak kerajaan sekiranya ia berrkait dengan kebaikan dan bertepatan dengan suruhan agama. Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 59
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa mentaati pemerintah pada perkara yang bertepatan dengan syarak ialah wajib. Progam pengambilan vaksin Covic 19 yang dilakukan oleh kerajaan ini juga jelas menunjukkan bagaimana pihak kerajaan telah meletakkan keutamaan dalam menjaga nyawa sekalian rakyatnya. Tambahan pula, sebarang tindak tanduk kerajaan pemerintah mestilah bersandarkan kepada maslahah (kebaikan) iaitu demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
Perkara yang perlu difahami ialah ketetapan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang dipercayai telah memutuskan untuk mengambil kaedah vaksinisasi sebagai langkah pencegahan dalam menangani wabak COVID-19.
Bagi kita sebagai seorang Muslim, Islam telah mengajar supaya merujuk kepada pakar dalam bidangnya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahuwata'ala:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. Surah al-Nahl ayat 43.
Oleh yang demikian, setelah kita memahami konsep sebenar kenapa pihak kerajaan menyuruh dan menggalakkan kita untuk mengambil suntikan vaksin Covic19. Maka jelas bagi kita bahawa perbuatan sebahagian rakyat yang enggan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 ialah merupakan satu perbuatan yang salah dan boleh menjatuhkan seseorang itu kepada dosa kerana telah melanggar perintah ulul amri (pemerintah) dalam perkara yang tidak mungkar.
Sekiranya ada dakwaan yang mengatakan bahawa vaksin ini akan memberikan kesan sampingan kepada individu yang menggunakannya, maka mudarat ini tidak sebesar jika dibandingkan dengan mudarat tidak mengambil vaksin secara total. Hal ini selari dengan kaedah yang menyatakan apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Nujaim:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhair, Ibn Nujaim, 76)
Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ memperincikan kaedah tersebut dengan mengatakan bahawa maksud meraikan kemudaratan yang paling berat diantara kedua-dua mudarat itu adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Hal ini kerana segala kemudaratan dipertimbangkan untuk kita mengelak dari melakukannya sepertimana segala kebaikan dipertimbangkan untuk kita melaksanakannya.
(Rujuk: Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201)
Dalam isu vaksin ini pula, sekiranya benar terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka pengambilannya tetap diteruskan kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kesan mudarat yang lebih besar yang bakal berlaku sekiranya ia tidak diambil seperti jangkitan wabak COVID-19 berskala yang lebih besar lagi.
No comments:
Post a Comment