Wednesday, September 1, 2021

Ikutilah/iringilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya (وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا)

Ikutilah/iringilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya (وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا)

ٍ عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ


Maksudnya:"Dari Abu Zar ia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku, "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah/iringilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergauilah manusia dengan akhlak yang baik". Riwayat Tirmizi(1987),Ahmad (20392,20435,20556)


Feqh Hadith:

1-Bertaqwalah kepada Allah. 

2-Iringi keburukan dengan kebaikan. 

3-Bergaul bersama manusia dengan akhlak yang baik. 


Melatih diri untuk selalu berada didalam ketakwaan merupakan kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap Muslim. Orang yang bertakwa senantiasa  mencerminkan perilaku mulia, mengikuti al-qur’an dan ajaran Rasulullah, serta berusaha menghindari hal-hal yang menyebabkan Allah Subhanahuwata'ala  murka.


Sebagaimana Takwa adalah dengan beramal, mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala diatas cahaya (petunjuk ilmu) dari Allah Subhanahuwata'ala, dengan mengharap pahala Allah, serta meninggalkan maksiat dari takut kepada Allah dan Azab-Nya.


Takwa pada hakikatnya adalah melaksanakan amalan dengan penuh ketaatan kepada Allah kerana iman, dan mengharapkan pahala dari Allah Subhanahuwata'ala. Justeru kerana takwa itu lahir sebagai bentuk ketaatan seorang hamba kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan penuh rasa keimanan kepada–Nya. Kemudian dipupuk dengan rasa مراقبة الله(merasa diawasi Allah Subhanahuwata'ala, takut terhadap murka azab Allah Subhanahuwata'ala serta selalu berharap limpahan kurnia dan ampunan Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan kebahagian dan kemudahan bagi orang yang bertaqwa. Selain dari itu Allah Subhanahuwata'ala juga berjanji akan menghapus kesalahan dan dosanya yang telah berlalu.


ذَٰلِكَ أَمْرُ اللَّهِ أَنْزَلَهُ إِلَيْكُمْ ۚ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا


Maksudnya:"Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya". At-Talaq Ayat 5.


Namunpun begitu, selama hidup di dunia ini manusia tidak akan terlepas dari segala kesalahan dan kekhilafan. Hal Ini adalah merupakan satu tanda bahawa manusia itu bukanlah makhluk yang paling sempurna.


Oleh kerana itu, Allah telah mengurniakan jalan kepada manusia agar dia dapat menghapus segala kesalahan yang telah dia perbuat. Sebagaimana Sabda Rasululallah Sallallahu'alaihiwasallam, 


وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا


Maksudnya".........Ikutilah/iringilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya…".

Riwayat Tirmizi(1987), Ahmad (20392,20435,20556)


Boleh jadi apa yang dimaksudkan dengan "kebaikan/الْحَسَنَةَ" dalam hadith di atas ialah taubat dari kesalahan tersebut. Seperti firman Allah Subhanahuwata’ala,


 إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا


Maksudnya:"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”. Al-Nisa ayat 17. 


Ayat di atas menunjukkan bahawa barangsiapa bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha dan syarat-syarat taubatnya lengkap, Allah Subhanahuwata’ala pasti menerima taubatnya sebagaimana keIslaman orang kafir dapat dipastikan diterima jika ia masuk Islam dengan keIslaman yang benar. Ini pendapat jumhur ulama. 


Atau boleh jadi yang dimaksud dengan kebaikan pada sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, “ikutilah/Iringilah kesalahan dengan kebaikan",  ialah kebaikan yang lebih umum daripada taubat seperti yang digambarkan dalam firman Allah Subhanahuwataa’ala,


 إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ  


Maksudnya:“…Perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan…” Hud ayat 114.


Ayat yang penuh berbunyi 


وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ


Maksudnya:"Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. Hud ayat 114.


Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dari Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, 


أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang dapat menghapus kesalahan dan mengangkat darjat?" Mereka menjawab, ‘Tentu, wahai Rasulullah.’ Beliau bersabda, "Menyempurnakan wudhu (pada keadaan dan situasi yang menyulitkan serta tidak disukai), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat (fardhu) berikutnya setelah solat (fardhu yang dilaksanakannya), itulah ribath (menunggu di pos penjagaan dengan melaksanakan ketaatan-ketaatan yang disyari’atkan)". Riwayat Muslim 251


Amalan yang kedua  dari hadith di atas pula adalah "ikutilah/iringilah keburukan dengan kebaikan" (وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا). 


Kalimat ini menunjukan makna segera, iaitu segera menutupi perbuatan buruk tersebut  dengan taubat dan amal soleh. Jangan menunda-nundanya. Dosa bila dibiarkan tersimpan lama di dalam diri akan memberikan kesan yang tidak baik dan akan membahayakan diri.


Bilamana seorang hamba diperintahkan bertakwa di kala bersendirian dan ramai, namun meskipun demikian, ia terkadang lalai dalam  bertakwa, misalnya ia tidak mengerjakan sebahagian hal-hal yang diperintahkan atau ia mengerjakan sebahagian hal-hal yang dilarang. 


Oleh kerana itu, ia diperintahkan mengerjakan perbuatan yang menghapus kesalahan tersebut. Iaitu mengiringinya atau mengikutinya dengan perbuatan baik. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala, 


وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ


Maksudnya:"Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. Hud/11 ayat 114.


Dari ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu anhu,Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


 التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَا لَا ذَنْبَ لَهُ


Maksudnya:"Orang yang bertaubat dari dosa seperti orang yang tidak ada dosanya". Riwayat Ibnu Majah (4250) 


Maksudnya, selagi hamba tersebut dalam keadaan seperti itu ketika ia mengerjakan dosa, iaitu setiap kali ia mengerjakan dosa, ia bertaubat dan beristighfar dari dosa tersebut. 


Dosa bila dilakukan secara terus menerus apalagi diiringi dengan dosa-dosa yang lain pula tanpa adanya upaya untuk bertaubat, maka akan mendatangkan titik noda hitam yang akan mengelapkan hati. Akibatnya hati akan tertutup dari cahaya Allah sehingga sulit untuk menerima kebenaran dan hidayahnya.


Inilah yang diingatkan oleh  Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam melalui sabdanya, 


ٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ{ كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu beliau bersabda, "Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka di titikkan dalam hatinya sebuah titik hitam dan apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan dan apabila ia kembali maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutup hatinya, dan itulah yang diistilahkan "Ar raan" yang Allah sebutkan: كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.(Al Muthaffifin ayat 14)". Riwayat Tirmizi (3257)


كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ 


Maksudnya:"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka. Al Muthaffifin ayat 14.


Oleh kerana itu, tatakala kita sedar telah melakukan kesalahan dan dosa maka bersegerahlah untuk beristigfar dan memohon keampunan dari Allah Subhanahuwata'ala. Allah berjanji akan menghapus kesalahan dan memberikan ampunan serta syurganya kepada mereka yang selalu memohon ampunannya.


”وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. Ali-Imran ayat 133.


Hukum: Dosa-dosa kecil boleh dihapuskan dengan melakukan amal soleh dan disertai dengan menjauhi dosa-dosa Besar. 


Sebahagian ulama mengatakan bahawa amal soleh hanya menghapuskan dosa-dosa kecil. Ini pendapat yang diriwayatkan dari ‘Atha’ rahimahullah dan selainnya dari generasi Salaf. 

Kaum Muslimin bersepakat bahawa taubat adalah wajib, dan kewajipan-kewajipan itu tidak boleh dilakukan kecuali dengan niat dan kemahuan, maka jika seandainya dosa-dosa besar itu boleh diampuni dengan wudhu, solat, dan pelaksanaan rukun Islam lainnya, maka taubat tidak diperlukankan lagi, dan ini jelas batil menurut ijma’ (kesepakatan). 


Juga, apabila dosa-dosa besar dapat dihapuskan dengan melaksanakan kewajipan, maka tidak ada satu dosa pun bagi orang yang melakukan berbagai kewajipan syari’at yang akan memasukkannya ke dalam Neraka. Ini menyerupai pendapat Murjiah, dan ini jelas batil. Lihat Jami’ul ‘Ulum wal Hikam (I/425-426).


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


 اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ لِـمَـا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَائِرُ 


Maksudnya:"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa-dosa diantara keduanya selagi dosa-dosa besar dijauhi". Riwayat Muslim (233).


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


 مَا مِنِ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوْبَةٌ ، فَيُحْسِنُ وُضُوْءَهَا وَخُشُوْعَهَا وَرُكُوْعَهَا ؛ إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِـمَـا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوْبِ ؛ مَا لَـمْ يُؤْتِ كَبِيْرَةً ، وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ


Maksudnya:"Jika waktu solat fardhu tiba pada seorang Muslim, kemudian ia menyempurnakan wudhu, khusyu, dan rukuknya, maka solat wajib tersebut adalah penghapus dosa-dosa sebelum solat wajib tersebut selagi dosa besar tidak dikerjakan. Itu selama setahun penuh". Riwayat Muslim (228).


Hadith di atas menunjukkan  bahawa dosa-dosa besar tidak boleh dihapus dengan kewajipan-kewajipan seperti yang disebut oleh hadits tersebut. Akan tetapi dosa besar akan diampuni bila pelakunya bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan taubat yang nasuh (ikhas, jujur, dan benar). 


Hukum:Dosa-dosa besar hanya boleh dihapuskan dengan taubat Nasuha: 


Jumhur ulama berpendapat bahawa dosa-dosa besar tidak boleh dihapus Kecuali dengan taubat, kerana taubat adalah perintah wajib kepada hamba-hamba Allah, dan ini pendapat yang paling benar. Allah Subhanahuwata’ala berfirman


, وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ 


“Dan  barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". Al-Hujuraat ayat 11.


Diantara dalil yang menunjukkan bahawa dosa-dosa besar tidak diampuni tanpa taubat atau hukuman kerananya ialah hadith ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiyallahu anhu, ia berkata, 


“Kami berada di samping Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kemudian beliau bersabda,


 تُبَايِعُوْنِيْ عَلَى أَنْ لَا تُشْرِكُوْا بِاللهِ شَيْئًا ، وَلَا تَزْنُوْا ،وَلَا تَسْرِقُوْا ، وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِيْ حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْـحَقِّ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ. وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ  فَعُوْقِبَ بِهِ ، فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ. وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَسَتَرَهُ اللهُ عَلَيْهِ ، فَأَمْرُهُ إِلَى اللهِ. إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ


Maksudnya:“Berbaitlah kepadaku untuk tidak mempersekutukan Allah dengan suatu apa pun, dan tidak berzina, tidak mencuri, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar. Barangsiapa diantara kalian menepati (bai’at), pahalanya ada pada Allah. Dan barangsiapa mengerjakan salah satu dari perbuatan-perbuatan tersebut kemudian ia dihukum kerananya, maka itu penghapus dosa baginya. Barangsiapa mengerjakan salah satu dari perbuatan-perbuatan tersebut kemudian Allah merahsiakannya baginya, maka ia terserah kepada Allah; jika Dia berkehendak maka Dia memaafkannya dan jika Dia berkehendak maka Dia mengazabnya". Riwayat Bukhari (18) dan Muslim (1709).


Ini menunjukkan bahawa hudud (hukuman syar’i) adalah penghapus dosa.


Hukum: Bertaubat dari dosa-dosa kecil. 


Seorang Muslim juga sepatutnya bertaubat dari dosa-dosa kecil, ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ. وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya:"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. 

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

Al-Nur ayat 30-31


Orang yang berbuat baik adalah orang yang selalu bertaubat dari dosa besar dan dosa-dosa kecil dan ia selalu beramal kebajikan yang dapat menghapuskan dosa-dosanya. Jika dosa-dosa kecil yang terus menerus dikerjakan berubah menjadi dosa-dosa besar, maka (orang-orang yang berbuat baik) harus menjauhi sikap terus menerus mengerjakan dosa kecil agar mereka boleh menjauhi dosa-dosa besar. Sebagaimana dikatakan: 

لا توجد ذنب صغير إذا استمر ارتكابها ولا توجد إثم كبير إذا طلب الجاني المغفرة

Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dikerjakan dan tidak ada dosa  besar jika pelakunya beristighfar.


No comments:

Post a Comment

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur Kematian adalah suatu kenyataan yang pasti dihadapi oleh setiap makh...