Monday, September 20, 2021

Perniagaan pusat kecantikan dan Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan.

Perniagaan pusat kecantikan dan Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan. 

Hukum memulakan sesuatu perniagaan perlu dilihat kepada hukum asal akad muamalat sesama manusia ialah sah dan harus. (Rujuk al-Qawa’id li Ibn Rejab, hlm. 340)


Hal ini dikatakan demikian berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".Surah al-Jumu’ah ayat 10.


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman, 


هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا


Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi".Surah al-Baqarah ayat 29.


Secara umumnya Islam membenarkan umatnya untuk berhias dan mencantikkan diri dengan cara yang bersederhana dan tidak tabarruj (berlebihan dalam berhias).


Walaupun begitu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian  bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)


Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى


Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab ayat 33.


Berhias dan mencantikkan diri pula adalah satu amalan yang terbaik sebelum mendirikan solat. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat), makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.


Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat dan tawaf. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. Juga diperbolehkan untuk makan dan minum tanpa berlaku boros, iaitu melampaui batas dalam melakukan setiap sesuatu. Sesungguhnya Allah membenci orang-orang yang berlebihan, meredhai orang yang menghalalkan sesuatu yang halal dan mengharamkan sesuatu yang haram.Tafsir Al-Wajiz oleh Dr. Wahbah az-Zuhaili,


Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمْ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمُ الْإِثْمِدُ يَجْلُو الْبَصَرَ وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ


Maksudnya:"Dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu Abbas ia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Pakailah pakaian yang putih, sebab ia adalah sebaik-baik pakaian kalian, dan kafanilah jenazah kalian dengannya. Sesungguhnya sebaik-baik celak kalian adalah itsmid (sejenis tumbuhan), itsmid dapat mempertajamkan pandangan dan menumbuhkan rambut". Riwayat Abu Daud(3380)


Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :


إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ


Maksudnya : “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”

Riwayat Muslim (91).


Islam juga menguatkan semangat kebersihan dan kekemasan pada tempat-tempat berkumpulnya umat Islam seperti pada hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


مَا عَلَى أَحَدِكُمْ إِنْ وَجَدَ سَعَةً أَن يَتَّخِذَ ثَوبَيْنِ لِيَوْمِ الجُمُعَةِ غَيْرَ ثَوبَي مِهْنَتِهِ


Maksudnya: “Tidak salah seseorang kamu, apabila mempunyai kelebihan rezeki, menyediakan dua pakaian khusus untuk hari Jumaat selain dari dua pakaian biasa untuk bekerja.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (22/287)


Galakan ini tidak terhad kepada lelaki tetapi juga merangkumi wanita. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ


Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Surah al-Nur ayat 31


Meskipun begitu, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan dengan keadaan sederhana. Islam melarang umatnya daripada sikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.


Selain itu, Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam ayat yang lain tentang keharusan memakai perhiasan:


قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ


Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?".Surah al-A’raf ayat 32.


Menurut Tafsir as-Sa'di oleh Syaikh Abdurrahman bin Nashir . Allah mengingkari orang yang keras kepala dan mengharamkan hal-hal yang baik yang dihalalkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:”katakanlah ‘siapakah yang mengaharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya“ dari berbagai macam pakaian dengan berbagai macam jenisnya, dan rezeki yang baik-baik, berupa makanan dan minuman dengan beragam macamnya. yakni sipakah gerangan yang berani mengharamkan apa yang Allah halalkan sebagai nikmat kepada hamba-hambaNya? Siapakah gerangan yang mempersulit kepada mereka apa yang telah dilonggarkan Allah? Allah memberikan kelonggaran kepada hamba-hamba-NYa menggunakannya sebagai penolong dalam beribadah kepadaNya maka Dia tidak membolehkannya kecuali hanya untuk hamba-hamba-NYa yang beriman.


Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)


Perniagaan pusat kecantikan adalah satu urusniaga yang berhubung rapat dengan muamalat ijarah atau upah. 


Secara harfiah, ijarah berasal dari kata al-ajru dari bahasa Arab yang menurut bahasa Melayu berarti ganti dan upah. Sementara secara etimologi, ijarah bermakna menjual munafaat. Dalam erti luas, ijarah adalah akad atas kemunafaatan suatu barang dalam waktu tertentu dengan pengganti sejumlah tertentu yang telah disepakati.


Hukum mengambil upah(ijarah) bagi menyediakan perkhidmatan berdandan dan berhias di samping menjual barang atau produk kecantikan yang ditawarkan adalah dibolehkan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu pendandan dan pelanggan.


Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dalam kitabnya:


يَصِحُّ الِاسْتِئْجَارُ لِلْخِدْمَةِ ثُمَّ إنْ عَيَّنَا شَيْئًا اُتُّبِعَ وَإِلَّا اتَّبَعَ الْعُرْفُ اللَّائِقَ بِالْأَجِيرِ وَالْمُسْتَأْجِرِ


Maksudnya: Sah memberi upah kerana perkhidmatan. Jika kedua-duanya (pemberi upah dan orang yang diupah) menetapkan sesuatu perkara dalam khidmat itu maka, ikutilah. Sekiranya tiada, ikutilah kebiasaan uruf pengupah dan orang yang diupah.

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, 24/378)


Selain itu, keharusan mengambil upah atas perkhidmatan berhias ini juga disebut dalam satu kaedah fiqh:


الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم


Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.

(Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir, al-Suyuti, hlm. 60)


Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk menentukan bahawa sesuatu perkara yang tidak disebutkan dalilnya adalah halal. Hal ini juga berdasarkan pandangan Imam al-Syafie bahawa perkara yang halal ialah sesuatu perkara yang tiada dalil menunjukkan pengharamannya. (Rujuk al-Mantsur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Imam al-Zarkasyi, 2/70-71)


Kesimpulannya:

Berdasarkan keterangan di atas, Perniagaan pusat kecantikan ialah suatu muamalah ijarah yang dibenarkan dalam Islam juga menurut kaedah fiqh:


الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم


Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil yang menunjukkannya haram.


Juga bertepatan pula dengan hukum asal berhias itu sendiri adalah satu perkara yang dibenarkan. 


Namun, sekiranya pusat kecantikan itu melakukan perkara yang diharamkan dalam berhias seperti membuat tatu,menyambung rambut, mengikir gigi mengubah ciptaan Allah seperti plastic surgery, botox, dan sebagainya maka hukum membuka pusat kecantikan pada keadaan itu adalah haram. Hal ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala untuk mengelakkan diri daripada bersubahat dalam melakukan dosa:


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).Surah al-Ma’idah ayat 2.


Perkara yang perlu di beri perhatian oleh pengusaha pusat kecantikan ialah:


Premis pusat kecantikan tidak terdedah dan terbuka sehingga menampakkan aurat. Sebagaimana wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah:


وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ


Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”.

Surah an-Nur ayat 31.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ


Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya”.

Riwayat ibn Hibban (5598), Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan perawi-perawi hadith ini thiqah (dipercayai).


Mengkhususkan pusat kecantikan untuk pelanggan dan pekerja sesama jantina sahaja.


وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا


Maksudnya:"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya….". Al-Nur ayat 31.


Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ


Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Thabrani, Mu’jam Al-Kabir (20/211


Hukum 'Haram' dalam isu kecantikan atau perhiasan,diantaranya;


1-Haram Tabarruj (Berlebihan dalam berhias)


Bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)


Firman Allah Subhanahuwata'ala :


وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى


Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab ayat 33.


Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)


Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.  Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62.


2-Mengandungi unsur penipuan atau mengubah ciptaan Allah Subhanahuwata'ala. Hal berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ‏


Maksudnya: Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu di wajah, mengikir gigi untuk kecantikan dan mengubah ciptaan Allah."


Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari (4886) dan Muslim dalam Sahih Muslim (2125)


Imam al-Nawawi berkata dalam kitab Syarah-nya:


وَهَذَا الْفِعْلُ حَرَامٌ عَلَى الْفَاعِلَةِ وَالْمَفْعُولِ بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيثِ وَلِأَنَّهُ تَغْيِيرٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَلِأَنَّهُ تَزْوِيرٌ وَلِأَنَّهُ تَدْلِيسٌ


Maksudnya: Dan perbuatan ini adalah haram ke atas pembuat dan orang yang dibuat perbuatan itu berdasarkan hadis ini. Hal ini demikian kerana perbuatan itu mengubah ciptaan Allah SWT dan merupakan satu pemalsuan dan penipuan.


(Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim,14/107


3-Perbuatan yang dianggap melampau dan dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah.


Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ


Maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).”

Riwayat Muslim (5687)


Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam lalu Baginda bersabda:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ


Maksudnya: Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.

Riwayat al-Bukhari (5934)


Imam al-Nawawi berkata, hadith ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak. Inilah pendapat yang kuat. (Lihat Syarh Sahih Muslim al-Nawawi, 14/103)


Qias dengan larangan menyambung rambut kepada memakai bulu mata Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah Subhanahuwata'ala.


4-Haram menggunakan peralatan dan barang kosmetik dari najis dan  berbahaya.


Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ


Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan". Surah al-Baqarah ayat 195.


Diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda pada hari pembukaan kota Mekah:


إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ فَقَالَ لَا هُوَ حَرَامٌ


Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tetang lemak bangkai (haiwan ) yang digunakan untuk menyalut sampan,meminyakkan kulit dan digunakan sebagai pelita. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda : Tidak boleh. Ia tetap haram dijual.”


Sahih al-Bukhari ( 2236)  dan Sahih Muslim ( 4132)


Menurut Imam al-Nawawi:


بَيْعُ سِرْجِينِ الْبَهَائِمِ الْمَأْكُولَةِ وَغَيْرِهَا وَذَرْقِ الْحَمَامِ بَاطِلٌ وَثَمَنُهُ حَرَامٌ هَذَا مَذْهَبُنَا


Maksudnya: Menjual najis haiwan yang boleh dimakan dan selainnya, serta najis burung adalah batil, dan hasil penjualannya adalah haram, dan inilah adalah mazhab kami (ulama Syafi’eyah). (Rujuk Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 9/230)



No comments:

Post a Comment

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur

Kematian, Ziarah kematian, solat jenazah dan mengiringi jenazah kekubur Kematian adalah suatu kenyataan yang pasti dihadapi oleh setiap makh...