Hukum Prank menurut perspektif Islam.
Prank menurut kamus dewan bahasa adalah usikan yang kebudak-budakan.
Prank adalah satu istilah moden yang digunakan bagi menggambarkan perbuatan mengusik seseorang dengan perkataan atau perbuatan sebagai bahan jenaka atau menguji seseorang.
BUDAYA prank pada hari ini semakin menular dalam masyarakat kita. Prank merupakan budaya seseorang merancang untuk melakukan tipu helah atau penipuan terhadap orang lain. Adakalanya, gurauan atau prank tersebut agak melampau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi seseorang. Seseorang yang terkena prank akan merasa malu, kecewa dan merasa tertipu. Adakah gurauan ini masih berada dalam batasnya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada prank yang lucu, namun sering kali dianggap melangkaui batas dalam budaya masyarakat kita.
Budaya ini seiringan dengan mentaliti “loyar buruk” yang semakin meraih keberanian untuk berkembang. Budaya ini bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan.
Budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. “Bergurau tidak kena tempat”. Jika pada suatu ketika dahulu gurauan ini menjadi bahan ketawa, seperti siri America’s Funniest People sekitar tahun 1990-an dan Just for Laugh (Juste Pour Rire), lama-kelamaan gurauan ini berubah menjadi versi yang agresif, seperti Jackass,menjelang milenium baharu.
Mungkin bagi sesetengah orang, prank hanya gurauan semata-mata. Sejauh manakah gurauan itu hanya sekadar gurauan? Pernahkah kita terfikir bagaimana jika bahan cerita yang ingin kita guraukan itu mampu untuk memberikan reaksi di luar jangkaan kita? Pernahkah kita terfikir tentang sensitiviti orang lain? Bukan semua hal boleh dibawa bergurau dan bukan juga hidup ini perlu sentiasa serius sehingga tidak boleh langsung untuk kita bercanda ria. Namun demikian, biarlah gurauan kita itu bertempat dan berada dalam batasannya. Tidak semestinya jika sesuatu budaya itu diterima secara meluas oleh masyarakat, maka budaya tersebut betul.
Prank juga biasanya dianggap sekadar untuk hiburan diri sendiri atau orang lain. Kini, prank semakin menjadi fenomena global, malah dinanti-nantikan bukan hanya dalam media sosial, bahkan turut rancak dalam radio dan televisyen. Prank juga boleh dijadikan sebagai tangkal pelaris untuk slot hiburan radio dan televisyen. Tambahan lagi, budaya ini makin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan pembuat video di Youtube dan media sosial yang lain kerana kebiasaannya video-video prank sebegini akan mendapat sambutan dan tontonan yang ramai. Hasil daripada tontonan tersebut, pemilik video akan memperoleh pengikut-pengikut baharu dan juga boleh dibayar oleh Youtube atas capaian dan tontotan yang tinggi tersebut. Oleh kerana itu, makin ramai yang menghasilkan video-video berunsurkan prank ini untuk mendapatkan tontonan yang tinggi dan sekaligus mendapat hasil pendapatan darinya.
Dengan jati diri yang rendah, apa-apa sahaja yang datang ke sini dari negara lain ditelan dan diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya, seperti parodi, menjatuhkan harga diri kita. Biarpun prank dan parodi kini menjadi begitu popular dan digilai ramai, kita seharusnya mengambil maklum bahawa parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan melakukan perbuatan lain yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu – ada rasa “malu” atau “tidak ada rasa malu”. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah untuk memalukan diri sendiri dan mangsa kita dengan prank itu, maka tepuk dada tanya iman.
Ada juga rancangan stesen radio tertentu mengejutkan orang yang dipanggil, menakutkan, mempersendakan, dan memalukan mereka menjadi sesuatu yang haram dari segi agama, apatah lagi rancangan itu didengar oleh ramai pendengar dan menimbulkan rasa malu atau kejutan kepada mangsa. Rancangan seperti itu hanya memperbodoh mangsa dan menjadikan mangsa bahan untuk ditertawakan oleh orang ramai secara yang memalukan. Secara tidak langsung, perbuatan ini sering mendedahkan aib peribadi mangsa yang tidak sepatutnya.
Hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa. Menghasilkan video-video atau ‘content’ prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum. Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat pada penonton serta dapat memberikan pengajaran.
Islam adalah agama fitrah yang diturunkan untuk manusia. Kita tidak mampu untuk membayangkan bagaimana Islam boleh menghalang naluri manusia ketawa dan bergembira.
Islam menerima semua perkara yang boleh menjadikan kehidupan itu lebih ceria dan bahagia.
Islam juga mahukan orang Islam ceria dalam kehidupan. Teladan sebenar kita ialah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang mana walaupun baginda menghadapi pelbagai kerumitan, kesusahan dan kesedihan, baginda tetap ada ruang untuk bergurau serta bersantai bersama sahabat.
Sahabat menyifatkan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sebagai seorang manusia yang menyeronokkan dan kita dapat melihat sendiri melalui sirah bagaimana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bergurau dengan isteri baginda serta mendengar cerita mereka.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam suka membangkitkan keceriaan dan kegembiraan terutama dalam perayaan dan majlis perkahwinan.
Imam An-Nawawi dalam kitab Riyadh As-Salihin, halaman 174 menyebutkan satu kisah, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan bahawa dia tidak akan masuk syurga sehingga wanita tua tersebut beredar dengan perasaan yang sedih yang kemudiannya Rasulullah menjelaskan semula bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua tetapi akan masuk dalam keadaan muda.
عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوْزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُوْلَ اللهِ اُدْعُ اللهَ أَنْ يُدْخِلَنِيْ الْجَنَّةَ فَقَالَ: « يَا أُمَّ فُلَانٍ إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوْزٌ » قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِيْ فَقَالَ: «أَخْبِرُوْهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوْزٌ» إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ: (إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا) (رواه الترمذي في الشمائل المحمدية)
Maksudnya:"Dari Al-Hasan, ia berkata,Seorang wanita tua datang kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah Subhanahuwata'ala berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya (Surah al-Waqiah: 35-37). (Rujuk Syamail Muhammadiyyah h.144). Riwayat Tirmizi.
Melalui kisah yang tersebut dalam hadith di atas, bahawa orang tua tidak akan ada di dalam syurga. Malahan semua orang yang masuk syurga akan kembali menjadi muda, kembali tampan dan cantik seperti sedia kala saat masih muda.
Oleh itu, dapat difahami bahawa bergurau atau bercanda adalah dibolehkan asalkan tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.
Hukum Gurauan Yang Melampau
Istilah melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang mana Allah Subhanahuwata'ala melarang perbuatan merendah-rendahkan orang lain, menyebarkan aib orang lain, memanggil orang lain dengan panggilan buruk dan lain-lain. Firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرًا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءً مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرًا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim". Al-Hujurat ayat 11.
Jenaka itu bukan gurauan pada tempat yang serius dan saat yang diperlukan menangis.Firman Allah Subhanahuwata'ala,
أَفَمِنْ هَٰذَا الْحَدِيثِ تَعْجَبُونَ. وَتَضْحَكُونَ وَلَا تَبْكُونَ. وَأَنْتُمْ سَامِدُونَ
Maksudnya:"Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis? Sedang kamu melengahkan(nya)?. An-Najm Ayat 59-61.
Larangan bergurau dan membuat lawak jenaka adalah dengan syarat tidak menjadikan pendustaan sebagai jalan untuk menjadikan orang lain ketawa.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksudnya:" Dari Bahz bin Hakim ia berkata; telah menceritakan kepadaku Bapakku dari Bapanya ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Celakalah bagi orang yang berbicara lalu berdusta untuk membuat orang lain tertawa. Celakalah ia, celakalah ia". Riwayat Abu Daud(4438)
Salah satu bentuk kezaliman pada orang lain yang berkaitan dengan melampau dalam gurauan adalah sehingga membuatkan orang lain terperanjat. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya:"Dari 'Abdurrahman bin Abu Laila ia berkata, " Para sahabat Muhammad ﷺ menceritakan kepadaku bahwa saat mereka sedang berjalan bersama Nabi ﷺ, salah seorang dari mereka tertidur. Lalu ada sebahagian sahabat mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya hingga orang yang tertidur itu terkejut. Maka Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak halal bagi seorang muslim membuat terkejut sesama saudaranya yang muslim". Abu Daud (5004)
Terdapat juga larangan mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut menyebabkan wujudnya unsur menakut-nakutkan atau merisaukan orang atau membuatkannya sedih. Yang mana pada kebiasaannya pemilik barang akan rasa risau dan sedih apabila barangannya hilang.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ ابْنِ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لَاعِبًا وَلَا جَادًّا وَقَالَ سُلَيْمَانُ لَعِبًا وَلَا جِدًّا وَمَنْ أَخَذَ عَصَا أَخِيهِ فَلْيَرُدَّهَا لَمْ يَقُلْ ابْنُ بَشَّارٍ ابْنَ يَزِيدَ وَقَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya:"Dari Ibnu Abu Dzi`b dari Abdullah bin As Saib bin Yazid dari Bapanya dari Datuknya Bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Jangan sekali-kali salah seorang dari kalian mengambil barang milik saudaranya, baik untuk begurau atau sungguhan." Sulaiman berkata, "Untuk bergurau atau sungguhan. Maka barangsiapa mengambil tongkat milik saudaranya hendaklah ia kembalikan." Riwayat Abu Daud (5003)
Allah Subhanahuwata'ala melarang menyakiti orang lain. Kadang-kala prank atau gurauan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang menjadi mangsa prank tersebut. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
قَالَ لَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ وَاحِدٍ فَإِنَّ ذَلِكَ يُؤْذِي الْمُؤْمِنَ وَاللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَكْرَهُ أَذَى الْمُؤْمِنِ
Maksudnya:"....Dan diriwayatkan dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menyertakan yang satunya, kerana itu akan menyakitkan orang mukmin, dan Allah 'Azza wa Jalla membenci menyakiti orang mukmin". Riwayat Tirmizi(2751)
No comments:
Post a Comment