Tuesday, September 7, 2021

Kejahatan waktu malam

Kejahatan waktu malam

Allah Subhanahuwata'ala jadikan setiap makhluk  berpasangan-pasangan, langit dengan bumi, matahari dengan bulan, daratan dengan lautan, lelaki dengan perempuan, kehidupan dengan kematian. Begitu juga suasana, ada selamat adanya bahaya, ada siang adanya malam. Semuanya adalah makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata'ala. Hikmahnya adalah supaya kita semua mengingati kebesaran Allah Subhanahuwata'ala dan meyakini bahawa semua itu dicipta oleh satu pencipta yang Maha Suci Allah daripada bersekutu dalam hal itu.


Maka salah satu ciptaan Allah Subhanahuwata'ala yang Maha Hebat adalah waktu malam. Allah Subhanahuwata'ala menjadikan waktu malam sebagai pasangan kepada waktu siang kerana sebagai tanda bahawa Allah Subhanahuwata'ala menjadikan setiap makhluk-Nya berpasang-pasangan. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ


Maksudnya:"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. Az-Zariyat ayat 49.


Terdapat banyak kalimah al-lail di dalam al-Quran dan hadith, ini menjadi isyarat bahawa malam mempunyai hubungan secara langsung dalam kehidupan manusia dan menjadi keperluan penting kepada kita semua. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ


Maksudnya:"Allah-lah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu beristirahat padanya; dan menjadikan siang terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyal karunia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur". Ghafir/Mu'min ayat 61.


Menurut Tafsir as-Sa'di / Syaikh Abdurrahman bin Nashir. Firman Allah, 

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ

yang bermaksud “Allahlah yang menjadikan malam untuk kamu”. Maksudnya, kerana kamulah Allah menjadikan malam itu gelap “supaya kamu beristirehat padanya” dari gerak aktiviti kamu yang kalau seandainya terus-menerus tanpa henti, maka kan berakibat buruk. Kamu beristirehat di tempat tidur dan Allah kemudian menidurkan kamu yang dengannya fikiran dan badan menjadi istirehat. Tidur merupakan keperluan utama manusia, ia tidak akan boleh hidup tanpa tidur. Pada malam hari juga setiap kekasih merasakan kedamaian kepada kekasihnya, fikiran boleh fokus dan segala yang menyibukkan akan berkurang. “Dan” Allah menjadikan “siang terang benderang”, dengan adanya matahair yang berputar di ufuk, sehingga kamu bangun dari tempat tidur kepada kesibukan Agama dan dunia kamu. Sebahagian waktu untuk berzikir dan membaca dan sebahagian untuk solat, sebahagian lagi untuk menuntut ilmu dan belajar, sebahagian lagi untuk aktiviti jual-beli, untuk membangun, untuk menempa besi dan untuk berbagai aktiviti produksi lainnya. Sebahagian lagi untuk bepergian jauh melaui darat mahupun laut, untuk bercocok tanam, dan untuk mengurusi haiwan-haiwan terrnaknya. “sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia” yang sangat besar sekali, “atas manusia” di mana Dia kurniakan kepada mereka nikmat-nikmat ini dan yang lainnya, dan Dia jauhkan berbagai bencana dari mereka. Ini semua mengharuskan bersyukur penuh dan berzikir kepada-Nya. “akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” disebabkan oleh kebodohan dan kezaliman mereka.وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

 “....dan sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur” (Saba ayat 13) Iaitu menyangkut nikmat-nikmat dari Allah, mereka tunduk kepada-Nya dan mencintai-Nya, seraya menggunakan nikmat-nikmat tersebut dalan rangka taat kepada-Nya dan mencari keridhaan-Nya.


Allah Subhanahuwata'ala menjadikan malam sebagai waktu untuk beristirehat setelah penat melaksanakan tugas dan tanggungjawab pada siang hari. Selain daripada itu, banyak nas-nas syarak menganjurkan kita untuk mengambil peluang beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala kerana padanya terdapat salah satu waktu daripada waktu-waktu mustajab doa. Namun, di sana terdapat beberapa isyarat yang menunjukkan malam adalah waktu yang boleh mengundang bahaya dan musibah jika kita tidak berwaspada. Daripada Jabir r.a, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


 جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَحُلُّوهُمْ فَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ


Maksudnya:"Jabir bin Abdullah radhiallahu'anhuma berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Apabila hari mulai malam atau malam telah tiba, maka tahanlah anak-anak kalian, kerana saat itu syaitan berkeliaran, apabila malam sudah mulai larut maka lepaskanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumah kamu dan sebutlah nama Allah, kerana syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup, dan tutuplah tempat air minum kalian sambil menyebut nama Allah dan tutup pula wadah-wadah kalian sambil menyebut nama Allah walaupun hanya dengan sesuatu yang dapat menutupinya dan matikanlah lampu-lampu kalian". Riwayat Bukhari(5192),Muslim(3756)


Hadith di atas adalah  salah satu daripada hadith-hadith yang memberi peringatan supaya berwaspada pada waktu malam. Antara bentuk peringatan yang Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sebutkan ialah gangguan jin dan syaitan yang berkeliaran pada waktu senja hingga waktu isyak, maka tutuplah pintu dan tingkap rumah serta berzikir kepada Allah bagi mengelakkan gangguan mereka. Kedua, Baginda menyuruh supaya menutup bekas-bekas makanan dan minuman bagi mengelakkan daripada dihinggapi kotoran atau sesuatu yang boleh membawa penyakit, maka tutuplah bekas makanan dan minuman sambil berzikir sebagai jalan memohon perlindungan kepada Allah.


Juga sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيَّ فَأَرَانِي الْقَمَرَ حِينَ طَلَعَ فَقَالَ تَعَوَّذِي بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ هَذَا الْغَاسِقِ إِذَا وَقَبَ


Maksudnya:"Dari Abu Salamah berkata; Aisyah berkata; Rasulullah ﷺ menggait tanganku lalu memperlihatkan kepadaku bintang ketika muncul. Lalu beliau bersabda, "Berlindunglah kepada Allah dari kejahatan kegelapan ini apabila telah menyelimuti". Riwayat Ahmad(23186).Hasan


Al-Quran juga mengajar kita supaya memohon perlindungan kepada-Nya daripada bahaya waktu malam. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ


Maksudnya:"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita”. Al-Falaq ayat 3.


Salah satu makna yang diletakkan oleh ulama tentang kejahatan dan bahaya waktu malam ialah keadaannya yang gelap gelita yang boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang terhadap perkara-perkara yang tidak diingini. 


Penyebutan (غاسق) dengan lafazh nakirah untuk menunjukkan bahawa itu bersifat umum. Dan firman-Nya (وقب) yakni kegelapannya telah masuk pada segala hal, dan itu merupakan waktu orang-orang jahat melakukan kejahatan yang mereka inginkan.


Kata ghaasiq (غاسق) ertinya adalah malam, berasal dari kata ghasaqa (غسق) yang bererti penuh. Malam dinamai ghaasiq kerana kegelapannya memenuhi angkasa.


Kata waqaba (وقب) berasal dari kata al waqb (الوقب) yaitu lubang yang terdapat pada batu sehingga air masuk ke dalam lubang itu. Sehingga ayat ini bermakna malam yang telah masuk ke dalam kegelapan sehingga ia menjadi sangat kelam.


Apakah malam itu buruk dan jahat, padahal malam juga sinonim dengan ibadah dan kebaikan seperti qiyamul lail dan lailatul qadar?


Menurut Syeikh Sayed Qutb r.a di dalam tafsirnya Fizilalil Quran mengatakan, apabila malam menyelubungi bumi, maka malam itu sendiri menjadi sesuatu yang menakutkan, ia menimbulkan kemungkinan berlakunya segala sesuatu yang menakutkan yang tidak diketahui dan tersembunyi pada waktu malam seperti binatang buas dan berbisa, serangan musuh yang ingin merompak dan mungkin membunuh. Beliau menyebut lagi, kegelapan malam membantu syaitan untuk menggoda bahkan menggerakkan nafsu syahwat manusia serta munculnya bahaya daripada makhluk yang nampak atau yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar.


Menurut Ibnu katshir dalam tafsirnya, Tafsir al-Qur'an al-Azim. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

{مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ}

"dari kejahatan makhluk-Nya". Al-Falaq ayat 2.

Maksidnya,  iaitu dari kejahatan semua makhluk. 


Sabit Al-Bannani dan Al-Hasan Al-Basri telah mengatakan bahawa Jahanam, Iblis, dan keturunannya termasuk makhluk yang diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala.


Firman Allah Subhanahuwata'ala.:

{وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ}

"dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita". Al-Falaq ayat 3.


Mujahid mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah bila matahari telah tenggelam; demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Mujahid. Hal yang sama telah dikatakan oleh Ibnu Abu Najih, dari Mujahid. Dan hal yang sama telah dikatakan oleh Ibnu Abbas, Muhammad ibnu Ka’b Al-Qurazi. Ad-Dahhak. Khasif. Al-Hasan, dan Qatadah, bahawa sesungguhnya makna yang dimaksud ialah malam hari apabila datang dengan kegelapan.


Az-Zuhri mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: 

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

"dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita". Al-Falaq ayat 3. 

Maksudnya, iaitu matahari apabila telah tenggelam.


Telah diriwayatkan pula dari Atiyyah dan Qatadah sehubungan dengan makna firman-Nya: apabila telah gelap gulita. (Al-Falaq ayat 3) Iaitu malam hari bila telah pergi.

Abu Mihzan mengatakan dari Abu Hurairah sehubungan dengan makna firman-Nya: dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita. (Al-Falaq: 3) Bahawa makna yang dimaksud ialah bintang.

Ibnu Zaid mengatakan, dahulu orang-orang Arab mengatakan bahawa  الغَاسِق ertinya jatuhnya bintang surayya. Berbagai penyakit dan Ta'un wabak selepas jatuhnya bintang surayya, dan menjadi Lenyap dengan sendirinya bila bintang surayya terbit. Yang dimaksud dengan jatuh ialah tenggelam.


Ibnu Jarir mengatakan bahawa di antara atsar yang bersumber dari mereka ialah apa yang diceritakan kepadaku oleh Nasr Ibnu Ali, telah menceritakan kepadaku Bakkar, dari Abdullah anak saudara Hammam, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdul Aziz ibnu Umar, dari Abdur Rahman ibnu Auf, dari ayahnya, dari Abu Salamah, dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam. sehubungan dengan makna firman-Nya: dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita. (Al-Falaq ayat 3) Lalu beliau Sallallahu'alaihiwasallam. bersabda, bahawa makna yang dimaksudkan ialah bintang bila telah tenggelam.

Menurut pandangan saya(ibn Kathsir), perkataan marfu' hadith ini tidak sahih sampai kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Ibnu Jarir mengatakan, ulama lainnya mengatakan bahawa makna yang dimaksud ialah bulan. Menurut hemat saya(ibn Kathsir), yang dijadikan pegangan oleh orang-orang yang berpendapat demikian ialah apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Daud Al-Hafri, dari Ibnu Abu Zi-b, dari Al-Haris ibnu Abu Salamah yang mengatakan bahawa Siti Aisyah r.a. telah mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. memegang tangannya, lalu memperlihatkan kepadanya bulan saat terbitnya, kemudian beliau Sallallahu'alaihiwasallam. bersabda:


تَعَوَّذِي بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ هَذَا الْغَاسِقِ إِذَا وَقَب


"Mohonlah perlindungan kepada Allah dari kejahatan bulan ini apabila telah tenggelam".

Imam Tirmizi dan Imam Nasai telah meriwayatkan di dalam kitab tafsir dari kitab sunan masing-masing melalui hadith Muhammad ibnu Abdur Rahman ibnu Abu Zi-b, dari bapa saudaranya (iaitu Al-Haris ibnu Abdur Rahman) dengan lafaz yang sama; dan Imam Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih. Lafaznya berbunyi seperti berikut:

تَعَوَّذِي بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ هَذَا فَإِنَّ هَذَا الْغَاسِقُ إِذَا وَقَبَ

"Mohonlah perlindungan kepada Allah dari kejahatan (bulan) ini, iaitu apabila ia telah tenggelam.


Menurut lafaz Imam Nasai disebutkan seperti berikut:

تَعَوَّذِي بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ هَذَا، هَذَا الْغَاسِقُ إِذَا وَقَبَ

Mohonlah perlindungan kepada Allah dari kejahatan (bulan) ini, iaitu apabila ia telah tenggelam.


Orang-orang yang mengatakan pendapat pertama mengatakan bahawa bulan merupakan pertanda malam hari bila telah muncul, dan ini tidaklah bertentangan dengan pendapat kami(ibn Kathsir). Kerana sesungguhnya bulan merupakan pertanda malam hari dan bulan tidak berperanan kecuali hanya di malam hari. Demikian pula halnya dengan bintang-bintang; bintang-bintang tidak dapat bersinar kecuali di malam hari; dan hal ini sejalan dengan pendapat yang kami katakan; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Firman Allah Subhanahuwata'ala.:

{وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ}

"dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang mengembus pada buhul-buhul. Al-Falaq ayat 4.

Mujahid, Ikrimah. Al-Hasan. Qatadah. dan Ad-Dahhak telah mengatakan bahawa yang dimaksud ialah wanita-wanita penyihir. Mujahid mengatakan bahawa iaitu apabila wanita-wanita penyihir itu mengembus pada buhul-buhulnya.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abdul A'la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Saur, dari Ma'mar, dari Ibnu Tawus, dari ayahnya yang mengatakan bahwa tiada suatu perbuatan pun yang lebih mendekati kepada kemusyrikan selain dari ruqyatul hayyah dan majanin, iakni sejenis perbuatan sihir.


Menurut Buya Hamka dalam tafsirnya, Tafsir Al Azhar.Ketika menafsirkan ayat:

 

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ


Maksudnya:"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita”. Al-Falaq ayat 3


Kelamnya malam mengubah sama sekali suasana. Di rimba belukar yang lebat, di padang-padang dan gurun pasir timbullah kesepian dan keseraman yang mencekam. Maka pada malam hari itu berbagai ragam bahaya dapat terjadi. Binatang-binatang berbisa seperti ular, kala dan lipan, keluarlah berkeliaran di malam hari. Kita tidur dengan enak, siapa yang memelihara kita dari bahaya saat tengah kita tidur itu, kalau bukan Allah.


Dan pencuri pun keluar pada malam hari, sedang orang enak tidur. Kadang-kadang demikian enaknya tidur sehingga segala barang berharga yang ada dalam rumah diangkut pencuri. Kita sama sekali tidak tahu. Setelah bangun kita tercengang melihat barang yang penting dan berharga telah hilang.


Dalam kehidupan moden di kota-kota besar, bahaya malam lebih dahsyat lagi. Orang tenggelam dalam lautan nafsu, pada malam hari itulah mereka keluar rumah menuju tempat maksiat. Pada malam hari juga harta dihabiskan di meja-meja judi.


Sebab itu maka di segala zaman kita disuruh berlindung kepada Allah dari bahaya kejahatan malam apabila ia telah kelam.


Menurut Quraisy Syihab dalam Tafsir Al Misbah, beliau Ketika menafsirkan ayat:

 

وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ


Maksudnya:"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita”. Al-Falaq ayat 3


“Secara keseluruhan, ayat ketiga ini memohon perlindungan Allah dari kejahatan yang terjadi pada malam yang gelap. Memang, biasanya malam menakutkan kerana sering kali kejahatan dirancang dan terjadi di celah kegelapannya. Mulai dari pencuri, perompak, pembunuh, mahupun binatang buas, berbisa dan serangga. Anda dapat memperluas makna malam sehingga mencakup juga kerahsiaan.”


Namun malam tidak selalu sinonim dengan kejahatan kerana waktu malam hari juga adalah waktu terbaik untuk mendekatkan kepada Allah  Maka ayat ini tidak mengajarkan berlindung dari malam tetapi berlindung dari kejahatan yang terjadi di waktu malam.


Kesimpulannya, 


 (غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ) ini  maksudnya malam ketika telah gelap gulita. Namun  (وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ) bukanlah kejatahan malam melainkan kejahatan yang terjadi pada waktu malam. Sebagaimana waktu yang lain, malam itu adalah bersifat 'neutral'. Ia menjadi lebih buruk ketikamana kejahatan dilakukan di dalamnya dan ia menjadi baik ketikamana ibadah dilakukan di dalamnya.


Maka kita dituntun untuk berlindung dari bahaya kejahatan dan keburukan yang terjadi pada waktu malam. Semoga Allah melindungi kita semua.


تَعَوَّذِي بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ هَذَا الْغَاسِقِ إِذَا وَقَبَ


"Berlindunglah kepada Allah dari kejahatan kegelapan ini apabila telah menyelimuti". Riwayat Ahmad(23186).Hasan


No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...