Monday, September 6, 2021

Allah tidak akan mengabulkan doa seseorang itu, yang di dalam diri orang tersebut terisi dengan hal-hal yang diharamkan Allah.

Allah tidak akan mengabulkan doa seseorang itu, yang di dalam diri orang tersebut terisi dengan hal-hal yang diharamkan Allah. 


Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Pada kesempatan kali ini, marilah kita sama-sama hayati sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari jalan sahabat Abu Hurairah Radhiyallahu anhu. 


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ: (إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَاً وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ المُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرْسَلِيْنَ فَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحاً) (المؤمنون: الآية 51) ، وَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ) (البقرة: الآية 172)،ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ) رَوَاهُ مُسْلِمٌ. 


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: ‘Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah subhanahuwata’ala telah memerintahkan kepada kaum mukminin dengan sesuatu yang Allah perintahkan pula kepada para rasul. Maka Allah Subhanahuwata’ala berfirman: ”Wahai para rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal shalih.”(Al-Muminun ayat 51) Dan Allah Subhanahuwata’ala berfirman: ”Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kalian dari rezeki yang baik-baik yang telah Kami berikan kepada kalian.”(Al-Baqarah ayat 172) Kemudian beliau Sallallahu‘alaihiwasallam menyebutkan seseorang yang melakukan perjalanan panjang dalam keadaan dirinya kusut dan kotor, dia menengadahkan kedua tangannya ke langit seraya berdoa: ”Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,” namun makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan kenyang dengan sesuatu yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan?". Riwayat Muslim (1015) 


Di dalam hadith yang mulia ini terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil sebagai pedoman. 


1-Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, 


إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَاً


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik.


Tayyib (طَيِّبٌ) bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. Lihat Ikmal al-Mu’lim (3/535)


Maksudnya, Allah memiliki sifat-sifat yang baik, suci dari segala kekurangan. Allah Maha baik pada Zat-Nya, Sifat-sifat-Nya, Nama-nama-Nya, hukum-hukum-Nya, perbuatan-perbuatanNya, dan dalam segala apa yang bersumber dari-Nya. Maka kita mengetahui bahawa semua nama-nama itu indah. Di dalamnya terkandung sifat-sifat yang indah.Demikian pula pada sifat-sifat Allah, maka Allah memiliki sifat-sifat yang baik, Allah Maha berkuasa, Maha mendengar, Maha melihat dan sifat-sifat baik lainnya yang dimiliki oleh Allah.

Sedikitpun kita tidak dapati kekurangan pada nama-nama Allah tersebut. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

 وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ 

“Dan hanya milik Allah-lah nama-nama yang baik”. Al A’raf ayat 180.


2-Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, 

لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبَاً


Maksudnya:".....dan tidak menerima kecuali yang baik".


Kerana Allah Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Seluruh Amal soleh dibangunkan diatas harta yang haram maka tidak akan diterima Allah. Berhaji dengan harta yang haram, maka hajinya tidak diterima.

Allah juga tidak menerima amalan-amalan yang tercampur dengan perbuatan syirik, kerana amalan syirik bukanlah amalan yang baik. Demikian pula Allah tidak menerima amalan yang tercampur dengan perbuatan bid’ah. 

Amalan yang baik pula ialah amalan yang dilakukan dengan ikhlas,Ikhlas juga menjadi syarat ibadat diterima Allah Subhanahuwata'ala sesuai dengan firman-Nya, 

 

فَادْعُوا اللّٰهَ مُخْلِصِیْنَ لَهُ الدِّیْنَ وَ لَوْ كَرِهَ الْكٰفِرُوْنَ


Maksudnya: "Oleh itu, maka sembahlah Allah Subhanahuwata'ala dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu".Ghafir ayat 14.


Ikhlas adalah perintah daripada Allah Subhanahuwata'ala. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar ayat 11,


قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ


Maksudnya:"Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.


3-Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,


 …..وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ المُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرْسَلِيْنَ….. 


Maksudnya:"....Dan sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah memerintahkan kepada kaum mukminin dengan sesuatu yang Allah perintahkan pula kepada para rasul…. ".


Para rasul juga diperintahkan dan dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala, walaupun mereka adalah orang yang telah diampuni Allah, sebagaimana yang diisyaratkan dari hadith berikut, 


عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى حَتَّى انْتَفَخَتْ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ أَتَكَلَّفُ هَذَا وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا


Maksudnya:"Dari Al Mughirah bin Syu'bah Nabi ﷺ solat hingga kedua kaki beliau bengkak, dikatakan pada beliau: Apa Tuan memaksakan ini padahal Allah telah mengampuni dosa yang terlalu dan yang dikemudian. Beliau menyahut, "Apakah aku tidak menjadi hamba yang bersyukur?". Riwayat Muslim(5044),Bukhari(1062)


Jaminan tersebut tidak menjadikan Rasulullah malas beribadah kepada Allah, akan tetapi membuat mereka lebih bersungguh-sungguh menjalankan syariat-Nya.Begitulah peribadi Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai suri tauladan bagi kita sehingga hari Kiamat.


Hukum asal semua yang disyariatkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam adalah yang disyariatkan kepada umatnya melainkan ada dalil yang mengkhususkan untuk Baginda sahaja. 

Dalilnya,


إِنَّ اللهَ أَمَرَ المُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرْسَلِيْنَ


Maksudnya: ".....Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang beriman dengan apa yang Allah telah perintahkan kepada para Rasul…..."


Contoh yang dikhusus untuk Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sahaja:

- Beristeri lebih dari empat

- Menikah tanpa mahar


Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Bahawa seorang mukmin itu semuanya baik hati, lidah dan tubuh badannya lantaran iman yang terdapat di dalam hantinya, zikir yang lahir pada lidahnya dan amalan soleh yang lahir pada seluruh anggotanya yang merupakan hasil daripada keimanan bahkan iannya termasuk di dalam pengertian iman".


4-Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, 


...فَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحاً) (المؤمنون: الآية 51) ، وَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ) (البقرة: الآية 172)........


Maksudnya:"…….Maka Allah Subhanahuwata’ala berfirman: ”Wahai para rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal shalih.”(Al-Muminun ayat 51) Dan Allah Subhanahuwata’ala berfirman: ”Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kalian dari rezeki yang baik-baik yang telah Kami berikan kepada kalian.”(Al-Baqarah 172)...".


Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dikehendaki dengan ayat ini bahawa para Rasul dan umat mereka diperintahkan untuk memilih makanan yang baik yang halal dan beramal dengan amalan soleh. Ini kerana, apabila makanan itu halal maka sudah tentu amalan soleh akan diterima oleh Allah.”


Al-Maraghi berkata: “Walaupun perintah ini ditujukan kepada para Nabi namun umatnyapun disaran untuk mengikuti mereka. Ini seolah-olah Allah Subhanahuwata’ala berfirman kepada kita: Wahai kaum muslimin yang berada di seluruh pelusuk bumi, makanlah makanan yang halal bersih dan baik. Yang halal ialah yang tidak mengandungi penderhakaan kepada Allah, manakala yang bersih ialah tidak mengandungi perkara yang dapat melupakan Allah, yang baik pula ialah dapat menahan nafsu dan memelihara akal. Oleh itu, kerjakanlah amal soleh.”


Sayyid Qutb berkata: “Dialah yang mengharuskan makanan yang baik yang dikurniakan kepada mereka iaitu Allah menyedarkan mereka bahawa Dia tidak sesekali mengharamkan sesuatu yang baik dan apabila Dia mengharamkan sesuatu makanan maka berarti makanan itu sebenarnya tidak baik, bukannya semata-mata Dia mahu mengharamkannya dan menyusahkan mereka. Malah Dia-lah dari mulanya yang melimpahkan rezeki kepada mereka.”


Dari pandangan ulama-ulama diatas maka dapatlah difahami bahawa Allah memerintahkan kepada para rasul dan juga kaum Mukminin untuk memakan makanan yang baik. Iaitu makanan yang dihalalkan oleh Allah. Dan dalam mencarinya juga hendakah dengan cara yang halal, bukan dengan cara-cara yang dimurkai Allah. Kemudian Allah memerintahkan agar beramal soleh, kerana amal soleh akan mewujudkan rasa syukur seseorang kepada Allah. Dengan maksud, apabila  seseorang itu diberi kurniaan dengan mendapatkan makanan yang halal dan diperolehinya dengan cara yang halal, maka sudah sewajarnya ia bersyukur kepada Allah. Iaitu dengan menyandarkan kenikmatan tersebut kepada Allah dan beramal soleh.


5-Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam,


……...ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ


Maksudnya:"........Kemudian beliau Sallallahu‘alaihiwasallam menyebutkan seseorang yang melakukan perjalanan panjang dalam keadaan dirinya kusut dan kotor, dia menengadahkan kedua tangannya ke langit seraya berdoa: ”Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,” namun makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan kenyang dengan sesuatu yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan?".


Islam telah memberikan garis panduan di dalam soal pemakanan agar memudahkan umatnya dalam meneruskan kehidupan seharian. Kaedah umum yang disebutkan di dalam Al-Quran adalah sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ


Maksudnya: dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk". Al-A’raf ayat 157.


Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah membawakan pendapat sebahagian ulama’ mengenai ayat di atas iaitu apa yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala, ianya sesuatu yang baik dan bermanfaat buat tubuh badan dan juga agama. Bagi setiap yang diharamkan-Nya pula adalah sesuatu yang buruk dan memudaratkan tubuh badan serta agama.


Allah tidak akan mengabulkan doa seseorang, yang di dalam diri orang tersebut terisi dengan hal-hal yang diharamkan Allah, sekalipun ia melakukannya dengan bersungguh-sungguh; maka bagaimanakah Allah akan mengabulkan doa orang yang perutnya terisi dengan barang-barang yang haram, makanannya haram, minumannya haram, ataupun makanan dan minuman yang halal akan tetapi dicari atau diperolehi dengan cara yang haram?


Ini adalah merupakan suatu peringatan keras serta ancaman yang berat bagi orang yang tidak mahu memperdulikan darimanakah ia mendapatkan rezekinya. Allah tidak mengabulkan doa dari hamba-Nya kecuali dia memperolehi penghasilan dari yang halal, pendapatan yang halal, tidak boleh makan, minum kecuali makanan dan minuman yang halal.


Patut untuk dikesalkan, kerana ternyata masih ramai orang yang bermuamalah dengan muamalah yang haram, dan tidak jarang kerana hanya untuk demi sedikit harta, kemudian mereka rela mencarinya dengan melanggar batasan-batasan Allah.  Benarlah seperti yang disabdakan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam :


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلَالِ أَمْ مِنْ الْحَرَامِ



Maksudnya:"Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu dari Nabi ﷺ bersabda, "Akan datang suatu zaman pada manusia yang ketika itu seseorang tidak peduli lagi tentang apa yang didapatnya apakah dari barang halal ataukah haram".  Bukhari(1918),Ahmad(9247)


Kita lihat saat ini, berapa ramai di antara kaum Muslimin yang berjual beli dengan sistem riba, ataupun hutang-piutang dengan sistem riba? Ingatlah wahai, kaum Muslimin! Apabila kita masih melakukan perbuatan tersebut, sesungguhnya hanya dosa serta kehinaan yang akan kita dapatkan. 


Al-Maraghi berkata: “Di sini perintah memakan makanan yang baik didahulukan berbanding dengan perintah mengerjakan amalan soleh, bagi menunjukkan bahawa amalan soleh tidak akan diterima jika tidak didahului dengan memakan makanan yang halal.”


Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Daripada sebesar-besar yang menghasilkan amalan yang baik bagi orang yang beriman adalah baik makanannya, iaitu daripada punca dan sumber yang halal. Dengan demikian akan membawa kepada baik dan suci amalannya. Hadith ini menunjukkan bahawa tidak diterima amalan dan tidak suci serta bersih kecuali dengan makanan yang halal.”


Hadith ini juga memberikan pengertian bahawa kita akan menuai pahala atas apa yang kita makan dari yang halal jika semua itu kita niatkan sebagai bekal untuk melakukan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah.


Harta merupakan amanah dari Allah dan kita kelak akan diminta bertanggungjawab  di hadapan Allah, maka marilah kita renungan. Apakah kita dapatkan dengan cara yang halal, ataukah sebaliknya dengan cara yang haram?


ٍ عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ


Maksudnya:"Dari Abu Barzah Al Aslami berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Kedua telapak kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sampai ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan kemana dia infakkan dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan". Riwayat Tirmizi(2341) Darimi(536).

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...