Keharaman Judi dan kerosakan kerananya.
Manusia diciptakan oleh Allah Subhanahuwata'ala untuk beribadat kepada-Nya dan dikurniakan nikmat untuk digunakan pada jalan yang diredai-Nya juga diberikan akal fikiran supaya tidak tunduk pada hawa nafsu.
Manusia dianugerahkan pancaindera untuk mencari rezeki dan menikmati kehidupan di muka bumi ini, dengan berusaha mengikut landasan yang benar, menjauhi perkara-perkara haram, seperti kekerasan, penindasan, penipuan, rasuah, riba, judi dan bermacam-macam lagi kemungkaran.
Agama Islam mengharamkan semua unsur perjudian, sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya kerana judi adalah perbuatan keji, perbuatan syaitan dan berdosa besar.
Antara permainan judi ialah loteri, tikam ekor, bertaruh, main katam dan bermacam-macam lagi nama yang diberi dengan pelbagai cara yang dicipta untuk menarik minat supaya orang berjudi.
Pada zaman ini, judi sudah menjadi semakin mudah untuk dilakukan, umpamanya melalui laman-laman sesawang(judi online) dan telefon-telefon pintar, seperti permainan dalam talian yang ada unsur-unsur judi di dalamnya.
Berjudi boleh mendatangkan kesan-kesan yang bahaya kepada masyarakat kerana ia merupakan gejala penyakit yang merosak kehidupan, bukan sahaja kepada orang yang berjudi itu, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Orang yang terpengaruh dengan judi boleh menyebabkan hati mereka tertutup dan buta hingga mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hati agar segera dapat wang untuk dijudikan.
Selain itu, berjudi juga mengakibatkan seseorang menjadi malas, tamak dan rakus, hasad dengki dan dendam, suka menimbulkan persengketaan dan pergaduhan juga hilang harta benda dan tiada maruah, yang akhirnya pula, boleh membawa manusia menjadi papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak isteri, masyarakat, negara dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah Subhanahuwata'ala.
Wang yang diperoleh daripada judi adalah haram dan tidak boleh digunakan, apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak dan isteri.
Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar.
Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)
Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir, 2/200)
Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah menyebut:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”. Surah al-Baqarah ayat 219.
Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)
Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262)
Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Surah al-Maidah ayat 90.
Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keatasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).”
Riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan
al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)
Imam al-Khattabi berkata: Al-kubah ditafsirkan dengan gendang dan dikatakan kubah adalah dadu. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4dipikul
Kesan dan Akibat Daripada Judi
Antara kesan lain akibat perbuatan berjudi ialah:
1-Lalai daripada tanggungjawab yang dipikul
Ketagihan berjudi mampu mengakibatkan seseorang lupa dan lalai daripada amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Hal ini boleh membawa kepada gejala ponteng kerja, kuliah atau sekolah bagi yang masih belajar.
2-Mengalami kehabisan wang dan sumber
Bagi tujuan memuaskan nafsu dengan keseronokan berjudi, wang dan sumber akan kehabisan kerana kesemuanya dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Ini menyebabkan ramai yang diisytiharkan muflis akibat perbuatan buruk tersebut.
3-Selalu dibebani dengan hutang
Penjudi juga akan selalu dibebani dengan hutang, kehidupan menjadi tidak tenang dan banyak masa terbuang serta mengabaikan keluarga, dan bersikap tamak.
3-Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah
Akibat terdesak dan terhimpit untuk mencari sumber bagi terus melayani ketagihan berjudi yang tiada penghujung, pelakunya terdedah untuk terlibat dengan jenayah. Ini kerana, kegiatan perjudian membuka potensi yang besar kepada pelakunya untuk terheret ke kancah pergaduhan, perbuatan mencuri, merompak, malah sampai ke tahap membunuh.
4-Meruntuhkan institusi kekeluargaan
Ketagihan berjudi oleh ‘kaki judi’ akan sampai kepada tahap tergamak mengorbankan kebahagiaan rumatangga yang dibina, mengabaikan nafkah keluarga serta tanggungjawab terhadap anak-anak. Ini sudah tentu akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.
5-Punca perpecahan dalam masyarakat
Kegiatan perjudian juga menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Jika tidak dibendung, ia akan terus membiak dan menjadi barah kepada generasi akan datang dan negara akan mempunyai individu dengan sahsiah yang sangat buruk.
6-Ia juga meruntuhkan moral dan integriti sesebuah masyarakat.
Bagi kaki judi pula, duit dan harta akan habis dalam sekelip mata kerana sifat tamak. Malah lebih teruk, harta dan wang ringgit isteri serta anak turut digunakan secara paksa. Ada juga kes, seseorang sanggup membunuh ahli keluarganya semata-mata kerana judi. Inilah sering berlaku dan dilihat di dada akhbar tempatan bagaimana buruknya kesan seseorang terjebak dengan arak serta judi.
Mereka langsung tidak dapat berfikir dengan waras, apatah lagi memikirkan perbuatan itu betul atau tidak. Oleh itu, Islam sangat melarang kita untuk membabitkan diri dalam perkara merosakkan iman kita.
No comments:
Post a Comment