Sunday, September 5, 2021

Dadah adalah termasuk di dalam pengertian arak. Kerana keduanya mempuyai illah (sebab) yang sama iaitu boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran.

Dadah adalah termasuk di dalam pengertian arak. Kerana keduanya mempuyai illah (sebab)  yang sama iaitu boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran. 


Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Manusia diciptakan Allah Subhanahuwata'ala di atas muka bumi sebagai khalifah cukup istimewa kerana diberikan akal fikiran untuk membezakan antara baik dengan buruk. Manusia mampu berfikir sebelum menentu atau melakukan sesuatu perkara.


وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya:"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran), agar kamu bersyukur. Al-Nahl ayat 78


Bagaimanapun keistimewaan akal itu boleh dirosakkan hingga menghanyutkan kehidupan manusia ke lembah kesesatan, iaitu apabila manusia terbabit dengan arak,dadah dan seumpamanya.


Allah Subhanahu Wata'ala mengharamkan sesuatu itu setentunya mempunyai hikmahnya tersendiri. Seperti pengharaman riba, rasuah, judi dan penyalah-gunaan dadah. Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana arak boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran, akan tetapi kesan dadah adalah lebih buruk lagi daripada arak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Maidah ayat 90 - 91,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)".


Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana arak boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran, begitu juga dengan dadah akan tetapi kesan dadah adalah lebih buruk lagi berbanding dengan arak. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada apa yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, 


َةَ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ


Maksudnya:"Dari Ibnu Umar dia berkata, "Rasulullah ﷺ bersabda, "Setiap yang memabukkan adalah arak (خمر), dan semua jenis arak (خمر) adalah haram". Riwayat Ibn Majah (3381).


Apa yang dapat difahami dari hadith diatas adalah bermaksud sesuatu yang memabukkan itu termasuklah  sesuatu yang diambil dengan cara diminum, dimakan atau dihisap itu yang biasanya akan menyebabkan seseorang itu mabuk tanpa mengira kadarnya.


Pengertian Mabuk


Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum, dimakan atau dihisap itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya, pemakannya atau penghisapnya sama ada kadar yang diambil itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum, pemakan atau penghisap itu mabuk ataupun tidak.


Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:


مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ


Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”

Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)


Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ


Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)


Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.


Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.


Semua minuman, makanan atau sesuatu yang dihisap memabukkan serta merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.


Ketahuilah bahawa penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak boleh menyebabkan orang yang melakukannya itu lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ia memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat sarap serta boleh mengganggu kesihatan mental dan fizikal.


Bagi penagih dadah dan arak yang sudah berkeluarga, ianya boleh meruntuhkan   kebahagiaan rumah tangga, boleh menyebabkan berlakunya perceraian dan memporak-perandakan kebahagiaan keluarga, mereka lupa tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada mereka. Rumah tangga yang sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang belum mengerti apa-apa akan turut menderita. Mereka akan disingkirkan dan disisihkan oleh keluarga dan orang yang disayangi.


Dadah dan arak juga boleh menghabiskan wang dan harta. Penagihan dadah dan arak juga boleh menyebabkan penagih kehilangan pekerjaan dan akhirnya sanggup melakukan apa saja jenis jenayah seperti mencuri dan membunuh asalkan ketagihannya dapat dipenuhi.


Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak dan dadah menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.


Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Al-Maidah ayat 91.


Begitu juga hadith daripada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam:


اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ


Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan”. Riwayat al-Hakim (4/145)


Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:


اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ


Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”

Riwayat al-Nasaie (8/315)


Itu adalah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman atau hisapan yang memabukkan.


Jika diselidiki, di antara sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah ialah kurangnya penghayatan ajaran agama Islam, tunduk mengikut hawa nafsu, ingin mencuba walaupun ia telah mengetahui akibat buruk dari penyalahgunaan dadah itu, Ditambah pula dengan sikap tiada pendirian, mudah dipengaruhi oleh kawan-kawan, ingin untuk mencari keseronokan dan menganggap dadah boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.


Sesungguhnya penyalahgunaan dadah itu tidak lain hanya membawa kepada kesengsaraan dan kebinasaan. 


Jika kita renung pula kepada  hadith Rasulullah Sallallahu'alahiwasallam yang bermaksud setiap penyakit ada ubatnya, 


عَنْ جَابِرٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ


Maksudnya:"Dari  Jabir dari Rasulullah ﷺ, beliau bersabda, "Setiap penyakit ada obatnya. Apabila ditemukan obat yang tepat untuk suatu penyakit, maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'Azza wa Jalla". Riwayat Muslim (4084)


Ini bermakna penyakit penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak. juga mempunyai ubatnya, tetapi memerlukan usaha yang gigih daripada semua pihak dalam mempelbagaikan kaedah dan aktiviti yang serasi dengan penyakit ini, sebagai contoh memberikan bimbingan yang baik, iaitu sentiasa mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahuwata'ala dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberikan sokongan yang padu dalam membina kehidupan baru yang baik dan sempurna dan mendampingkan diri dengan masjid.


Disamping itu penagih dadah dan arak juga hendaklah menghargai diri dengan mengambil langkah positif bukan dengan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan seperti melakukan aktiviti yang kurang sihat dan menyalahi undang-undang. Apabila seseorang itu menghargai dirinya, إن شاء الله dia akan berkemampuan untuk menangkis setiap pengaruh negatif yang mendatanginya. Mereka juga hendaklah memiliki keyakinan diri yang tinggi untuk mengatakan tidak kepada aktiviti negatif ini, sebaliknya pula hendaklah mengisi masa yang terluang dengan membuat perkara yang lebih berfaedah untuk kesejahteraan diri.


Dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini, sesungguhnya kita mempunyai hak untuk membuat pilihan. Namun janganlah hendaknya pilihan yang kita buat itu menyalahi undang-undang negara dan hukum-hakam agama sehingga menghancurkan masa hadapan dan kehidupan kita sendiri.


Oleh itu jika kita ingin hidup aman damai dan bahagia, kita mestilah menghindarkan diri dari terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak. 

Dengan menghargai diri akan menerbitkan daya tahan dan jati diri yang kental yang merupakan asas dan tunggak yang penting yang perlu ada dalam diri setiap individu untuk dijadikan benteng bagi mengelakkan diri dari terjebak ke kancah penyalahgunaan dadah.


Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195,


وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya:"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik".


Juga hendaklah diinsafi bahawasanya pada hari Kiamat kelak, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah Subhanahuwata'ala, 


Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:


إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.”

Riwayat Muslim (2002)


سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ أَتَى عَطْشَانًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَلَا فَكُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَإِيَّاكُمْ وَالْغُبَيْرَاءَ


Maksudnya:"Saya (Qais bin Sa'd bin 'Ubadah radhiallahu'anhu) telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Barangsiapa yang meminum arak, maka pada hari kiamat dalam keadaan haus. Ketahuilah setiap yang memabukkan adalah arak. Jauhilah Al Ghubaira' ". Riwayat Ahmad(14935).



No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...