Sunday, September 12, 2021

Hukum nazar yang pelbagai dan berlainan bagi satu perkara yang sama.

Hukum nazar yang pelbagai dan berlainan bagi satu perkara yang sama. 


Ingin menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Ini kerana Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:


لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ


Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah Subhanahuwata'ala sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil". Riwayat Muslim: (1640)


Nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:


اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء


Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2:501)


Hal ini adalah sebagaimana yang telah Allah Subhanahuwata'ala  perintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman-Nya di dalam al-Quran:


ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ


Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu". Al-Hajj ayat 29.


Maksud nazar ialah apabila seseorang itu  telah mewajibkan dirinya untuk melakukan suatu perkara ketaatan yang disyariatkan, maka wajiblah dia menunaikan nazar tersebut. 

Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda dalam satu hadith:


مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ


Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. Riwayat al-Bukhari: (6696)


Nazar adalah ketataan yang wajib ditunaikan, bilamana setelah seseorang itu mewajibkan perkara tersebut keatas dirinya dan sekiranya tidak ditunaikan maka ianya akan menjadi hutang dan hak kepada Allah Subhanahuwat'ala sehinggalah dia menunaikannya. 


Sesungguhnya menunaikan hak dan janji yang telah dilakukan merupakan satu kewajipan yang akan dipersoal di akhirat kelak berdasarkan perbahasan di atas dan juga firman Allah Subhanahuwat'ala yang berikut:


وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُوْلاً


Maksudnya: Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti akan dipersoalkan kelak. Al-Isra’ ayat 34.


Justeru itu, apabila seseorang bernazar untuk melakukan pelbagai ketaatan yang ditentukannya sendiri maka wajiblah dia tuniakan nazar tersebut. 


Juga jika seseorang itu ber"nazar" yang pelbagai dan berlainan bagi satu perkara yang sama hendaklah ditunaikan kesemuanya, jika sekiranya ianya merupakan satu ketaatan kepada Allah Subhanahuwat'ala.

Seumpamanya, jika seseorang itu menyatakan bahawa jika sekiranya dia berjaya mendapat pekerjaan yang dipohonnya, maka dia bernazar untuk buat kenduri dan di masa yang lain pula dia bernazar akan tunaikan ibadah umrah jika dia berjaya mendapat pekerjaan yang dipohon tersebut, maka wajiblah dia menunaikan kesemua nazarnya tersebut.


Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang itu tidak berkemampuan untuk menunaikan nazar yang telah dilakukannya tersebut selepas dia berusaha melakukannya dengan bersungguh-sungguh, maka dia hendaklah membayar kaffarah nazarnya itu. 


Justeru itu, hendaklah orang yang tidak mampu untuk menunaikan nazarnya untuk melaksanakan kaffarah: 


Dengan memilih sama ada memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin atau memerdekakan hamba (sekiranya ada).  


Jika ketiga-tiga perkara di atas tidak mampu untuk ditunaikan, maka perlulah dia berpuasa selama tiga hari. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwat'ala yang berikut, 


لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur". Al-Maidah ayat 89.


Semoga Allah Subhanahuwat'ala memberikan kita kefahaman terhadap segala urusan agama-Nya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. آمين يا رب العالمين.

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...