Saturday, September 25, 2021

Hibah menurut perspektif Islam

Hibah menurut perspektif Islam

Kata hibah berasal dari bahasa Arab  الهِبَةُ yang bermaksud pemberian sesuatu sama ada ia berbentuk harta ataupun bukan, ianya dilakukan secara sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan atau pertukaran.


Berdasarkan kenyataan ini, pemberian haiwan unta buat tanah haram disebut hadiah (اِهْدَاءُ الْنَعَمِ إِلَى الْحَرَم). Oleh kerana itu, tidak boleh menggunakan lafaz hadiah pada pemberian bumi dan bangunan sama sekali. 

Seseorang tidak boleh mengatakan: 

أَهْدَى إِلَيْهِ دَارًا و لاَ أَرْضًا 

Dia menghadiahkanya rumah atau tanah. 


Hadiah hanya digunakan pada pemberian harta yang boleh diangkat dan dipindah-pindah seperti baju atau yang lainnya. (Raudhatuth Thalibin 5/364). 


Berkaitan dengan hibah ini, dapat disimpulkan: Hibah merupakan perjanjian sepihak yang dilakukan oleh penghibah ketika hidupnya untuk memberikan suatu barang secara percuma kepada penerima hibah. Hibah mesti dilakukan antara dua orang yang masih hidup. 


Pengertian hibah menurut para Ulama  fiqh,  dengan ungkapan, 


 تَبَرُّعٌ بِالْمَالِ فِيْ حَالَةِ الْحَيَاةِ وَ الصِّحَّةِ 


Maksudnya:"Pemberian harta secara percuma dalam keadaan hidup dan sihat. [Minhajus Salikin, hlm 175 oleh syaikh Abdurrahmân as-Sa’di rahimahullah. 


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik. Pada asasnya hadiah, sedekah dan juga hibah adalah satu jenis yang sama iaitu pemilikan sesuatu benda tanpa sebarang pertukaran. Beza hadiah dengan hibah ialah pada berlakunya perpindahan harta kepada orang yang dihadiahkan. Hibah juga lebih umum dari hadiah dan juga sedekah, setiap hadiah dan sedekah adalah hibah dan tidak semestinya setiap hibah itu sedekah ataupun hadiah. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/120-121, 253].


“Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gentian (iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)


“Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (iwad) sewaktu hidupnya. Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/175)


Di sana ada keumuman dan kekhususan di kalangan para ulama antara hibah, pemberian (athiyah) dan sedekah. Dan garis tengah definisi di antara tiga perkara ini adalah niat, maka sedekah diberikan kepada seseorang yang memerlukan dan dalam rangka mencari wajah Allah Ta’ala. Sedangkan hadiah diberikan kepada orang yang fakir dan orang kaya, dan diniatkan untuk meraih rasa cinta dan membalas budi atas hadiah yang diberikan. Dan terkadang pemberian hadiah itu juga bertujuan untuk mencari keredhaan Allah. Adapun hibah dan athiyah pula, tidak ada di antara perbezaan antara keduanya dan terkadang dimaksudkan untuk memuliakan orang yang diberikan hibah atau athiyah saja dikeranakan suatu keistimewaan atau sebab tertentu dari sebab-sebab yang ada.


Daripada perspektif muamalah, hibah adalah dorongan untuk manusia membuat kebaikan. Terdapat banyak dalil mengenai hibah, diantaranya surah ali-Imran ayat 133 dan 134. 


وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ. الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya:"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.


Hibah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam islam, terdapat sejumlah dalil al-Quran, Sunnah serta Ijma’ dalam hal ini. Malah, ia juga digalakkan untuk memberi kepada saudara-mara dan kerabat yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ


Maksudnya: dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi

Surah al-Baqarah ayat 177.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا


Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya". Surah al-Nisa ayat 4.


Dalil dari Hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, 


تَهَادَوْا تَحَابُّوا


Maksudnya: “Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.”

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ secara mursal (2/908)


Demikian juga sabda Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam, 


  العائِدُ في هِبَتِهِ كَالْكَلْبِ يَعُوْدُ فِي قَيْئِهِ 


Maksud:"Orang yang menarik kembali hibahnya seperti anjing yang menjilat kembali muntahnya". Riwayat Al-Bukhari(2400).


Hibah adalah perbuatan yang lebih mulia berbanding memberi hadiah. Hibah dan hadiah, dalam masyarakat Arab adalah berbeza. Dorongan memberi ini memang disuruh oleh Allah Subhanahuwata'ala dan ianya juga tiada ada kena-mengena dengan faraid. Hibah yang dibuat adalah suatu muamalat berlaku ketika pemilik harta masih hidup dan faraid pula berlaku setelah pemilik harta telah meninggal dunia. Oleh kerana itu, jika semua harta yang ditinggalkan oleh simati  semasa hidupnya dan dia tidak menghibahkan atau tidak mewasiatkannya, maka harta tersebut akan menjadi harta pusaka dan ia tertakluk kepada faraid. 


Hibah adalah hak seseorang yang hidup untuk mencapai keredaan Allah. Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.


Perlu diingat, kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid. Kerana itu, hibah dan faraid tidak ada kena-mengena antara satu sama lain. Justeru itu, apabila satu-satu harta telah di'hibah'kan maka faraid sudah tidak berlaku lagi pada harta tersebut. 


Hibah pada dasarnya adalah akad tabarru’at (pemberian) yakni pemberian hadiah atas sebab kebajikan bukannya mengharapkan balasan mahupun pertukaran. Ia bukannya akad mu’awadhah (pertukaran) sepertimana proses jual beli. 


Meskipun begitu, di sisi ulama’ ada berbeza pendapat mengenai sah syarat pertukaran:


Pendapat pertama: 

Sah syarat pertukaran dan ia adalah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama’ yang terdiri daripada ulama’ mazhab Hanafi, mazhab Maliki, dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali dan juga majority ulama’ mazhab Syafi’i.


Mereka berhujahkan dengan sebuah hadith Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam


الْوَاهِبُ أَحَقُّ بِهِبَتِهِ مَا لَمْ يُثَبْ


Maksudnya: “Pemberi hibah itu berhak ke atas hibahnya selama mana orang yang diberi hibah tersebut belum membalasnya”.


Riwayat al-Baihaqi (12151), [Lihat: al-Sunan al-Kubra lil Baihaqi; 12/337]


Pendapat kedua: Tidak sah syarat pertukaran dan ini merupakan salah satu qaul dalam mazhab Syafi’i dan juga sebuah qaul bagi mazhab Hanbali.


Mereka berdalilkan bahawa lafaz hibah menunjukkan akad tabarru’, maka ia bercanggah dengan perlakuan memberi hadiah dengan syarat adanya pertukaran.


Hukum Asal Hibah


Hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 42/122].


Rukun Hibah


Rukun bagi hibah ada tiga iaitu:


1-Pemberi hibah

2-Penerima hibah

3-Harta yang hendak dihibah

4-Ijab dan Qabul


Rukun keempat ini sangat penting kerana ia bermaksud kontrak. Kontrak ini berdasarkan surah al-Baqarah ayat 282. Juga satu bukti atau keperluan penting sebagai rujukan hendaklah dilakukan dalam bentuk ada hitam putih. Catitan:Buatlah surat secara bertulis dan sahkannya.


Imam al-Nawawi menyebut bahawa akad hibah perlu kepada lafaz ijab dan qabul sepertimana dalam urusan jual beli dan seluruh hak milik. Adapun hadiah, terdapat dua pendapat ulama’ mengenai hal ini. Pendapat pertama di sisi Syeikh Abu Hamid dan yang berguru dengannya, mensyaratkan lafaz ijab dan qabul dalam hadiah sepertimana urusan jual beli dan hal wasiat. Manakala pendapat kedua ialah tidak perlu kepada lafaz ijab dan qabul bahkan cukup sekadar terima serahan dan memilikinya. Ini adalah pendapat yang sahih dalam mazhab dan mereka bersandarkan pada dalil bahawa ada hadiah yang diberikan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menerimanya tanpa sebarang lafaz dan ia juga telah dipraktikkan oleh orang ramai sejak berzaman. [Lihat: Rawdatu al-Tholibin; 5/365-366].


Hibah ada dua jenis iaitu:


1.Hibah mutlak(al-hibah al-munjizah) 


2.Hibah bersyarat (umra dan ruqba)


Di bawah hibah mutlak, ia berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik sudah dibuat, ia terus menjadi hak si penerima. Penerima berhak membuat apa saja dengan haknya termasuk menjualnya. Dari sudut faraid pula, sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi harta pusaka penerima.


Hibah bersyarat pula penghibah meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama.


“Boleh menggunakan kaedah hibah bersyarat dan surat hitam putih pula sebagai bukti. Saksi adalah pilihan. Dalam surat hitam putih itu ditulis, hibah ini berkuatkuasa sebaik pemberinya meninggal dunia dan sekiranya penerima yang dipilih itu mati dahulu, ia kembali kepada pemberi supaya boleh diberikan kepada penerima baru. Jadi tidak wujud kerisauan sekiranya penerima mati dahulu daripada pemberi dengan menggunakan hibah bersyarat ini. Surat hitam putih  sebagai bukti telah diisyaratkan oleh firman Allah Subhanahuwata'ala, 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar….". Surah Al-Baqarah Ayat 282.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...