Sunday, September 26, 2021

Wasiat menurut Perspektif Islam

Wasiat menurut Perspektif Islam

Amalan berwasiat merupakan amalan yang dilakukan sejak zaman berzaman. Pada kebiasaanya, wasiat yang ditinggalkan adalah berkaitan dengan harta milik pemberi wasiat. Umat Islam diharuskan untuk berwasiat dengan cara dan syarat yang tertentu sepertimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.


Wasiat adalah Iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.


Wasiat adalah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam islam, terdapat sejumlah dalil al-Quran, Sunnah, amalan sahabat serta Ijma’ dalam hal ini.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ


Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah Al-Nisa’: 11)


Melalui ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad Subhanahuwata'ala, 


عَنْ عَلِيٍّ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} [النساء: 12] «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ


Maksudnya: Daripada Ali R.A bahawasanya berkata: Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan)".Riwayat Tirmizi (2094)


Dalil dari al-Sunnah pula adalah hadith riwayat Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


ما حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، له شيءٌ يُرِيدُ أَنْ يُوصِيَ فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ


Maksudnya: “Tidak sepatutnya seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu ingin diwasiatkan tidur dua malam melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” Riwayat Muslim (3074)


Dalam hal wasiat ini, terdapat empat rukun yang perlu diraikan iaitu:


1-Pewasiat

2-Penerima wasiat

3-Perkara yang diwasiatkan

4-Sighah (ucapan)

[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/601-606


Syarat Harta Yang Diwasiat


1-Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat;

2-Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindahmilikkan selepas kematian pewasiat;

3-Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat, jika ditentukan atau wujud semasa kematian pewasiat, jika tidak ditentukan; dan

4-Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat.


Syarat sighah (iaitu lafaz ijab dan qabul). 


Rukun ini merupakan rukun terpenting bagi membuat sesuatu wasiat. Wasiat ini dilakukan secara lisan yang membabitkan ijab (penawaran) dan juga qabul (penerimaan).


Antara lafaz ijab yang jelas bagi wasiat ialah aku wasiatkan padanya dengan ini, barang ini menjadi milik kau selepas aku mati dan sebagainya. Kemudian, ijab juga boleh dilafazkan dalam bentuk kiasan berserta niat seperti rumahku ini adalah untuk zaid dan bermacam-macam lagi bentuk lafaz.


Namun, dalam hal membuat wasiat dengan tulisan mesti juga disertakan dengan niat kerana tulisan tidak kurang darjatnya dari lafaz dan juga ibarat dalam menerangkan kehendak seseorang. Bahkan tulisan ini lebih kuat dalam perkara yang memerlukan kepada pengukuhan hujah mahupun dalil. Maka, sekiranya pewasiat adalah seorang yang tidak mampu untuk berkata-kata seperti orang bisu dan sebagainya, maka wasiatnya perlu diikat melalui penulisan, dan disyaratkan supaya wasiat tersebut dapat diterima, hendaklah melalui tulisannya yang telah diakui oleh warisnya atau bukti lain yang menyaksikan bahawa dia yang menulisnya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/553-554].


Hukum Wasiat


Peringkat awal Islam, hukum wasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana firman Allah Subhahanuwata'ala:


كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ


Maksudnya: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa". Surah Al-Baqarah ayat 180.


Walau bagaimanapun, kewajipan ini telah dimansuhkan dengan Surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176 dan hadith-hadith yang berkaitan dengan harta pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris.


Ianya sebagaimana hadith daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


إنَّ اللهَ قد أعطى كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ؛ فلا وصيَّةَ لوارثٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Maka, tiada wasiat untuk waris.” Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286).


Kadar Wasiat


Di antara syarat dalam berwasiat adalah tidak berwasiat lebih satu pertiga daripada jumlah harta yang ditinggalkan, ini adalah sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam daripada kisah Saad bin Abi Waqqas RA:


عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ


Maksudnya: Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.

Riwayat al-Bukhari (2742)


Satu pertiga dikira daripada harta bersih setelah dijelaskan kos urusan pengebumian dan hutang pewasiat. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.


Hukum Wasiat Kepada Waris


Ulama’ berbeza pandangan mengenai masalah ini kepada dua pendapat:


Pendapat pertama: 


Wasiat kepada waris adalah tidak diharuskan dan wasiat hanya sah dibuat kepada bukan waris yang menerima bahagian harta di bawah peraturan faraid. Berdasarkan kepada pandangan ini, asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia. Dengan demikian, pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada persetujuan dan keizinan daripada waris yang lainnya .

Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya.

Pendapat ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e (4/561), al-Fiqh al-Manhaji (2/258),


Oleh itu, sesuatu wasiat yang dibuat kepada waris adalah tidak berkuatkuasa melainkan jika dipersetujui oleh waris-waris yang lain selepas kematian pewasiat.


Sandarannya adalah  Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ


Maksudnya: “Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris”


Riwayat ad-Daruqutni (4295)


Imam as-Suyuti, Imam al-Baihaqi dan Imam ibn Mulaqqin Rahimahumullah menghukum hadith ini sebagai lemah, manakala Imam adz-Zahabi Rahimahullah pula mengatakan sanad hadith ini baik dan Atho’ seorang yang soduq.


Hujah para fuqaha’ yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat seperti di atas adalah seperti berikut:


Hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, 


أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ


Maksudnya: “Sessungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”

Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)


Hadith ini dapat difahami bahawa tidak boleh meninggalkan wasiat kepad ahli waris jika ahli waris tidak mendapat haknya dan tidak redha akan pembahagian harta yang mengurangkan haknya. Namun, jika ahli waris redha dengan bahagian yang diperolehinya dan membenarkan wasiat kepada ahli waris lain ditunaikan, maka harus meninggalkan wasiat kepada ahli waris lain.


Pendapat Kedua:


Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad. Rujuk Hasyiyah ad-Dusuki (4/427), Nihayah al-Muhtaj (6/48), al-Mughni ma’a Syarh al-Kabir (6/419).


Mereka berhujah dengan beberapa hujahan, antaranya ialah:


Zahir makna hadith:


أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ


Maksudnya: “Sessungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”

Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)


Ini kerana pemberian wasiat kepada sebahagian ahli waris akan memberi kemudharatan kepada ahli waris yang lain. Allah telah melarang perbuatan ini dalam firman-Nya:


مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ


Maksudnya: “Sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris)". Surah an-Nisa’ ayat 12.


Didalam setiap pensyariatan pasti ada hikmah yang tersembunyi di dalamnya. Antara hikmah yang terkandung di dalam pensyariatan wasiat termasuklah:


Ianya merupakan amalan kebajikan yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata'ala dan dilakukan oleh mereka yang bertakwa kepadanya dengan cara menggunakan harta dan manfaat yang mereka miliki.


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan kebajikan melalui harta yang ditinggalkan.


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu peluang keemasan yang perlu digunakan sebaik-baiknya bagi umat islam untuk menghubungkan kebaikan yang diperolehi di dunia ini dengan pahala dan kebaikan di akhirat nanti.


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu

cara untuk dapat menambah pahala dan menampung kekurangan dalam ibadah yang dilakukan semasa hayat. 


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu cars melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata'ala..


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu cara untuk membantu menampung keperluan orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik.


Amalan berwasiat ini juga merupakan satu

untuk mengeratkan silaturrahim dengan kaum kerabat yang tidak menerima harta pusaka.


Golongan yang patut di beri wasiat:


1-Keluarga yang miskin

2-Anak yatim

3-Anak angkat

4-Anak susuan

5-Masjid atau surau

6-Badan kebajikan


Kesimpulannya; 

Sesungguhnya wasiat adalah ibadah akhir hayat bagi menambahkan darjah ubudiyah kepada Allah Subhanahuwata'ala untuk mengerjakan amalan kebajikan tertinggal melalui bantuan yang berkesan kepada kaum kerabat yang ditinggalkannya.


No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...