Bulan Muharram dan maal hijrah
Kegembiraan menyambut kedatangan bulan Muharram, yang sinonim dengan perayaan sambutan tahun baru Hijrah.
Kalendar Hijrah adalah kalendar lunar/qamariah yang dikira berdasarkan kepada pergerakan bulan mengelilingi Matahari.
Terdapat 12 bulan dalam kalendar Islam bermula dari bulan Muharram ke bulan Zulhijjah. Kalendar Masihi pula dikira berdasarkan kepada pergerakan bumi mengelilingi Matahari.
Terdapat 12 bulan dalam satu tahun Masihi bermula dari bulan Januari hingga Disember.
Muharram adalah bulan pertama dalam Takwim Hijrah. Muharram bermaksud ‘Diharamkan’ iaitu Allah Subhanahuwata'ala melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.
Kelebihan bulan Muharram seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah Subhanahuwata'ala adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut". Al-Taubah ayat 36.
Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban". Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail)".Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda Sallallahu'alaihiwasallam:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah".Riwayat al-Tirmizi (741)
Pada bulan Muharram ini, iaitu salah satu dari empat bulan-bulan haram dalam Islam, Islam menekankan agar melaksanakan berbanyak-banyak amalan soleh.
Amalan-amalan soleh yang dianjurkan untuk memperbanyakkan adalah seperti membaca al-Quran, memahami makna setiap ayat-ayat, mentadabburnya dan melaksanakannya di dalam kehidupan. Tak lupa juga, memperbanyakkan bersedekah atau memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukannya, mempelajari dan mengkaji ilmu mengenai agama, berdakwah dengan penuh ikhlas dan berhikmah dan sekali gus, mujahadah (berjihad) sungguh-sungguh menjauhi apa sahaja bentuk dosa dan maksiat.
Hijrah pula bermaksud perpindahan Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam Dan para sahabat daripada Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Al-Baqarah ayat 218.
Peristiwa hijrah memberi panduan yang jelas kepada kita mengenai erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam liputan sejarah.
Hijrah mengingatkan seluruh umat Islam dengan sejarah suka duka dan pelbagai cabaran yang ditempuhi Rasullulah Sallallahua'laihiwasallam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Hijrah Rasullulah Sallallahua'laihiwasallam dan pembinaan negara saling berkait rapat di antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, menghayati hijrah bukan saja berupaya membentuk akhlak yang mulia, malah turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara.
Menghalusi sirah Nabi Muhammad Rasullulah Sallallahua'laihiwasallam, ia jelas membuktikan baginda sebagai seorang pemimpin yang beretika tinggi dengan akhlak yang mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah
Sifat Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam, ia turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kebesaran Allah Subhanahuwata'ala, lantas menjadikannya seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.
Nabi Muhammad Sallallahua'laihiwasallam turut berusaha menyuruh ke atas kebaikan dan mencegah kemungkaran. Semua ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran negara yang beretika dengan nilai-nilai yang murni.
Ciri-ciri kepimpinan yang dibawa oleh Rasulullah ini berjaya membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani,
Maal Hijrah atau bersama-sama hijrah di sini adalah dimaksudkan sebagai perjuangan penerapan nilai keislaman untuk diri sendiri, seperti berani meninggalkan sesuatu yang tidak baik yang merugikan diri sendiri dan berubah pada sesuatu yang lebih baik menurut nilai Islam.
Perubahan adalah satu sunnatullah atau peraturan Ilahi yang pasti berlaku di alam semesta ini. Tidak ada sesuatu pun yang wujud di atas muka bumi ini melainkan pasti akan menghadapi perubahan sama ada secara fizikal mahupun secara spiritual. Allah Subhanahuwata'ala memberikan contoh yang jelas berkaitan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.Menerusi firman-Nya,
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ
Maksudnya:"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa". Al-Rum ayat 54
Proses perubahan tersebut tidak hanya terhad pada sifat dan perilaku manusia, malah ia turut menganjakkan paradigma pemikiran dan sistem kehidupan. Perubahan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam yang agenda utamanya adalah untuk melakukan perubahan iaitu perubahan daripada kehidupan yang penuh jahiliah, kekufuran, kezaliman dan sebagainya kepada kehidupan yang penuh keimanan, keadilan dan kesejahteraan sejati.
Inilah yang ditegaskan Allah Subhanahuwata'ala sebagai perubahan daripada kegelapan kepada cahaya iman. Sebagaimana firman-Nya,
الر ۚ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya:"Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji". Ibrahim ayat 1.
Jelas di sini bahawa manusia amat dituntut supaya melakukan perubahan dalam kehidupan mereka iaitu berubah daripada keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik dan juga daripada keadaan yang baik kepada keadaan yang lebih baik lagi.
Mengambil semangat hijrah itu, maka sepatutnya begitulah kita hendaklah berhijrah dari satu keadaan yang tidak selamat untuk iman dan Islam kita kepada satu keadaan yang lebih selamat bukan sahaja untuk dunia bahkan untuk akhirat kita
Mungkin inilah dimaksudkan oleh Rasulullah Sallallahua'laihiwasallam melalui sabdanya:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
Maksudnya:"dari Ibnu 'Abbas radhiallahu'anhuma berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak ada lagi hijrah setelah kemenangan (Makkah) akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka jika kalian diperintahkan berangkat berjihad, berangkatlah". Riwayat Bukhari(2575)
Meninjau senario umat Islam kini terhimpit dengan kemelut kemunduran, kemiskinan, kejahilan, perpecahan, perbalahan sesama sendiri, kelemahan, kemelaratan, malahan terheret sama ke arah kehancuran akhirnya. Ironisnya, kehidupan umat Islam kini sudah begitu sinonim dan sebati dengan krisis dan kemelut yang membelenggu di sepanjang perjalanan hidup mereka.
Justeru, perubahan amat penting dilakukan bermula dari sekarang dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam selaras dengan firman Allah Subhanahuwata'ala.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya:"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu". Al-Baqarah ayat 208.
No comments:
Post a Comment