Sunday, July 25, 2021

Menangislah wahai mata bila mengenangkan dosa-dosa.

Menangislah wahai mata bila mengenangkan dosa-dosa. 

Menangis itu sebenarnya fitrah buat manusia. Bukan ketika menghadapi situasi sedih atau takut sahaja manusia mudah mengalirkan air mata, adakalanya ketika gembira  juga mereka akan menangis.


Menangis itu indah, sihat, dan simbol kejujuran. Pada saat yang tepat, menangislah sepuas-puasnya dan nikmatilah kerana tidak selamanya orang boleh menangis. Orang-orang yang suka menangis sering kali dilabel sebagai orang cengeng. Cengeng terhadap Sang Khalik adalah positif dan cengeng terhadap makhluk adalah negatif.


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ


Maksudnya:"Dari Ibnu Abbas ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang tidak tidur untuk berjaga di jalan Allah". Riwayat Tirmizi(1563)


Jika air mata kerinduan terhadap Allah tidak lagi terurai, apatahlagi jika air mata selalu kering di atas tumpukan dosa dan maksiat, kita perlu segera melakukan muhasabah diri, apakah mata kita sudah mulai bersahabat dengan syurga atau neraka.


Allah Subhanahuwata'ala memuji orang yang menangis, 


وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا 


Maksudnya:"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu". Al-Isra' Ayat 109


Ciri-ciri orang yang beruntung ialah ketika mereka hadir di bumi ini terus menangis, sementara orang-orang yang di sekelilingnya tertawa dengan penuh kegembiraan. Jika meninggal dunia, ia tersenyum, sementara orang-orang di sekelilingnya menangis kerana sedih ditinggalkan.


Menjadi satu nikmat buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah Subhanahuwata'ala  serta mengenangkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya.


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ


Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.

Riwayat Ahmad (18006)


Terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih dari keadaannya sebelumnya. 


Sepanjang usia kita ini, pernahkah kita menangis kerana mengenangkan dosa serta berasa takut kepada Allah Subhanahuwata'ala?


Seandainya tidak pernah atau kita terlalu sukar untuk menangis, itu menandakan hati kita terlalu kotor dan keras.


أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِنْ رَبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ


Maksudnya:"Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu(keras) hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata". Az-Zumar ayat 22


Syeikh Ibn A'toillah Assakandari membicarakan hikmahnya dengan menyebut: "Sebahagian daripada tanda matinya hati adalah tidak merasa sedih kerana meninggalkan amalan kewajipan atau kebaikan dan tidak menyesal atas sesuatu pelanggaran dosa."


Tangisan paling istimewa seorang hamba adalah datangnya daripada hati yang benar-benar mengagungkan Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala memuji hamba-Nya yang suka menangis kerana takut kepadanya menerusi firman-Nya 


قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا. وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا


Maksudnya:"Katakanlah: "Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,dan mereka berkata: "Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu". Al-Isra’ ayat 107-109.


Ternyata air mata yang tumpah  itu bukan perkara sia-sia. Kita perlu mendidik diri kita supaya menangis kerana mengingati Allah Subhanahuwata'ala.


Ketika umat manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar kelak, semuanya berada dalam keadaan gusar dan terlalu takut menanti saat amalan mereka diperlihatkan serta dihitung.


Jika kita sentiasa memikirkan hal sedemikian pastinya akan melahirkan rasa gerun di hati.


Ia juga mampu membuatkan kita menangis lalu memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala supaya melepaskan kita daripada segala azab seksaan itu.


Sahabat Nabi Sallallahu'alaihiwasallam juga sangat mudah terkesan dengan nasihat dan mereka juga mudah menangis kerana takutkan Allah Subhanahuwata'ala.


Daripada Anas RA,  katanya  Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberi satu khutbah yang belum pernah aku mendengar khutbah sepertinya sebelum ini. 


عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُطْبَةً مَا سَمِعْتُ مِثْلَهَا قَطُّ قَالَ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا قَالَ فَغَطَّى أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُجُوهَهُمْ لَهُمْ


Maksudnya:"Dari Anas radhiallahu'anhu dia berkata; Rasulullah ﷺ berkhutbah dengan khutbah yang belum pernah aku dengar sebelumnya, beliau berkata, "Seandainya kalian dapat mengetahui apa yang aku ketahui, maka kalian pasti akan sedikit tertawa dan banyak menangis. Anas berkata; Para sahabat Rasulullah ﷺ menutupi kepala mereka dan mereka pun terserang sakit sengau hidung(menangis teresak-esak". Riwayat Bukhari (4255)


Maka, jika  kita benar-benar mengetahui tugasan dan tanggungjawab yang perlu dipikul di dunia ini cukup berat dan tidak mahu juga diri tergolong dalam golongan bermasalah di akhirat kelak,  sudah pasti kita akan sering menangis.


Menangis  itu dibenarkan, malah digalakkan terutamanya kerana  menyesal atas dosa dan maksiat yang dilakukan untuk  melahirkan rasa kesyukuran serta ketika timbul rasa khusyuk dalam beribadat.


Apabila dia melihat orang lain dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi Allah kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalam jiwanya dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan Allah Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana Allah menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...