Thursday, July 22, 2021

Berkorban adalah ibadah yang agung dan ibadah korban sebagai penyucian jiwa.

Berkorban adalah ibadah yang agung dan ibadah korban sebagai penyucian jiwa. 


Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah Subhanahuwata'ala. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.


Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ibadah korban ada dinyatakan di dalam al-Qur'an dan terdapatnya tuntutan melakukan korban yang dibalas dengan pahala sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Di antaranya adalah firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya: Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: Nescaya aku akan membunuh kamu. Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa.

Surah Al-Maidah (27)


Menurut tafsiran para ulama terhadap ayat ini, ia sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash R.anhuma beliau berkata: Sesungguhnya dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang dari mereka dan tidak diterima korban dari yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil) adalah merupakan pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing. Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya. Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan tidak elok. Lalu Allah Subhanahuwata'ala menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima korban pemilik kebun tersebut. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (3/82).


Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ


Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”. Al-Kauthar 108:2


Ibadah korban adalah termasuk di dalam tuntutan ke atas umat Islam. Perintah ini datang sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang bersabda:


 إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا


Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.

Riwayat Muslim (1977)


Hadith di atas memberikan isyarat bahawa hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat dan bukan wajib. Ini kerana, perlaksanaan ibadah ini disifatkan sebagai memenuhi muraad (kehendak dan kemahuan) seseorang itu. Justeru, jika seseorang mahu melaksanakannya maka dia telah melakukan suatu perbuatan sunnah yang sangat digalakkan.


Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban. Antaranya:


Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا


Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah Subhanahuwata'ala sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]


Makna Hadith


Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 5/61]. Al-Mubarakfuri menilai hadith ini sebagai hasan sebagaimana yang dinyatakan ketika mensyarahkan hadith ini.


Di akhir hadith ini pula terdapat perintah agar kita membersihkan jiwa atau diri kita dengan melaksanakan ibadah ini kerana padanya disediakan ganjaran dan pahala yang cukup besar oleh Allah Subhanahuwata'ala.


Penyucian jiwa atau Tazkiyah al-Nafs menurut Imam al-Ghazali adalah sebagai satu proses penyucian jiwa daripada kekejian dan kekotoran yang berpunca daripada akhlak yang tercela. Dengan itu, ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kekuatan dan ketahanan diri yang mantap bagi melawan musuh-musuh batin ini dengan cara memperbanyakkan ibadah serta amalan-amalan sunat yang boleh membantu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala.




No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...