Monday, August 2, 2021

Dunia hanyalah wasilah atau wadah menuju ke arah kehidupan abadi iaitu kehidupan di akhirat. Dan empat perkara akan disoalan pada hari Qiamat.

Dunia hanyalah wasilah atau wadah menuju ke arah kehidupan abadi iaitu kehidupan di akhirat. Dan empat perkara akan disoalan pada hari Qiamat. 

Percaya kepada hari kiamat adalah salah satu dari rukun iman yang wajib kita percaya, pada hari itulah seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab dan akan menerima pembalasan yang setimpal dari amal perbuatan yang telah dilakukan. Rasulullah Sallallahu'alaihiwassallam bersabda dalam sebuah hadith, 


عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ


Maksudnya:"Dari Abu Barzah Al Aslami berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak akan berganjak kedua-dua telapak kaki seorang hamba (manusia) pada hari kiamat sampai ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan kemana dia infakkan dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan". Riwayat Tirmizi (2341)


Sesungguhnya balasan manusia di akhirat ditentukan berdasarkan apa yang telah mereka lakukan ketika di dunia. Masing-masing akan menerima hasil perbuatan mereka dalam bentuk buku catatan amalan mereka. Jika diberi dan diterima dengan tangan kanan, maka berbahagialah si penerimanya kerana syurga bakal menantinya. Tetapi bagi mereka yang menerima buku catatan amalan mereka dari belakang, maka neraka bakal menantinya. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Insyiqaq ayat 7-13:


فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ(7) فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا(8) وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًا (9) وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ (10) فَسَوْفَ يَدْعُو ثُبُورًا(11)وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا(12)إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا (13


Maksudnya:"Adapun orang yang diberikan kitab amalnya di tangan kanannya. Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ia akan kembali kepada keluarganya yang sama-sama beriman dengan gembira.Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang,maka dia akan berteriak: "Celakalah aku".Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir).


Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah kehidupan yang sementara dan penuh dengan tipu daya yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah Subhanahuwata'ala. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata'ala dan mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Hasyir ayat 18:


يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ اتَّقُوا۟ اللَّـهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا۟ اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ


Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”


Berdasarkan ayat Al-Qur’an di atas kita diingatkan supaya jangan terlalu ghairah dalam mencari kesenangan hidup di dunia. Kehidupan dunia bukanlah satu matlamat yang dicari-cari dan dikejar. Sebaliknya, dunia hanyalah wasilah atau wadah menuju ke arah kehidupan abadi iaitu kehidupan di akhirat. Dunia itu umpama satu jambatan dan akhirat itu umpama tempat perhentian dan destinasi yang kekal buat selama-lamanya. Orang yang beriman dan bertaqwa menjadikan dunia sebagai persinggahan sementara untuk mempersiapkan bekal amal ibadah dan persediaan menghadap Allah Subhanahuwata'ala kelak.


Islam melarang umatnya untuk kasihkan dunia, iaitu kasih yang keterlaluan dan berlebihan seperti mengutamakan kehendak hawa nafsu dan dilarang oleh syarak dan mengutamakan perhiasan dunia seperti harta kekayaan dan anak-pinak sehingga melalaikan diri sendiri untuk menunaikan kewajipan terhadap Allah Subhanahuwata'ala. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Munafiqun ayat 9:


يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذٰلِكَ فَأُو۟لٰٓئِكَ هُمُ الْخٰسِرُونَ


Maksudnya:"“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta kamu dan anak-anak melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi".


Memang tidak salah, jika seseorang itu ingin mencari harta benda dan kekayaan yang melimpah ruah akan tetapi alangkah baiknya jika segala kekayaan dan harta benda itu digunakan sebagai jalan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Qasas ayat 77:


وَابْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ اللَّـهُ الدَّارَ الْءَاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِى الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ


Maksudnya:"“Dan carilah pahala negeri akhirat dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu dan janganlah engkau melupakan bahagian mu daripada kenikmatan dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu serta janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.”


Adapun cara untuk memanfaatkan kehidupan atau kesenangan di dunia untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata'ala itu ialah:


Pertama: Harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala, hendaklah disedekahkan, diwakafkan dan infakkan ke jalan kebaikan dan kebajikan bukannya digunakan untuk perkara-perkara maksiat dan sia-sia.


الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ


Maksudnya:"(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Al-Baqarah ayat 3.


Kedua: Umur yang dikurniakan Allah Subhanahuwata'ala hendaklah digunakan untuk beribadah kepadaNya dan jangan sekali-kali digunakan untuk melakukan maksiat atau perkara yang munkar.


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


Maksudnya:"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku". Azzariyat ayat 56


وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ


Maksudnya:"Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan". Al-Nisa ayat 14


Ketiga: Amanah dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada dalam mengunakan kuasa, pangkat, kedudukan atau jawatan. Ia wajib dilaksanakan dengan adil, telus dan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata'ala bukan untuk membuat kezaliman atau untuk kepentingan diri sendiri, saudara-mara, rakan-rakan dan sebagainya. Ingatlah, pangkat atau kuasa yang diberikan bukanlah satu keistimewaan tetapi ia adalah satu amanah atau tanggungjawab yang amat berat dan wajib ditunaikan dengan seadil-adilnya kerana ia akan dipersoalkan kepada kita di akhirat kelak.


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". Al-Nisa ayat 58.


قَالَ اللَّهُ هَٰذَا يَوْمُ يَنْفَعُ الصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ ۚ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ


Maksudnya:"Allah berfirman: "Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran(jujur) mereka. Bagi mereka syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar". Al-Maidah ayat 119


Keempat: Anak-anak hendaklah dididik dengan ajaran dan nilai-nilai murni Islam supaya menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti kepada kedua ibubapa, keluarga, agama, bangsa dan negara.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan". Al-Tahrim ayat 6


Kelima: Menuntut ilmu kerana Allah Subhanahuwata'ala bukan hanya untuk mendapatkan habuan dan ganjaran di dunia semata-mata.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ


Maksudnya:"Wahai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Al-Mujadalah ayat 11.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...