Tuesday, June 8, 2021

Nikmat Syurga

Nikmat Syurga

Pada ketika ini tiada siapa yang dapat melihat syurga. Ia adalah dalam pengetahuan Allah Subhanahuwata'ala namun gambarannya termaktub dalam al-Quran.


Tiada seorang manusia yang mendapat keistimewaan untuk berada di dalam syurga pada saat ini kerana ketentuannya akan berlaku pada satu masa selepas manusia meninggalkan dunia ini.


Meskipun syurga termasuk dalam perkara ghaib, Allah Subhanahuwata'ala tetap menjelaskan kenikmatan syurga dalam al-Quran.


Kenikmatan hidup di dalam syurga, penghuninya menjadi sibuk untuk menikmati keseronokan dan kelebihan yang menjadi ganjaran kepada mereka.  Sebagaimana firman Allah di dalam surah Yasin ayat 55-58


إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ (55) هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلالٍ عَلَى الأرَائِكِ مُتَّكِئُونَ (56) لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ (57) سَلامٌ قَوْلا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ (58


Maksudnya:"Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, baring di atas katil-katil. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. (Kepada mereka dikatakan), "Salam, "sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.


Allah Subhanahuwata'ala. menceritakan perihal ahli syurga, bahawa keadaan mereka di hari kiamat apabila telah diberangkatkan dari Padang Mahsyar, lalu mereka ditempatkan di taman-taman syurga, dan bahawa mereka sibuk dengan urusan mereka sendiri yang bergelimang dalam kenikmatan yang abadi dan keberuntungan yang besar. Al-Hasan Al-Basri dan Ismail ibnu Abu Khalid mengatakan bahawa ahli syurga terlalu sibuk dengan urusannya untuk memperhatikan azab yang diterima oleh penghuni neraka.

Mujahid mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). (Yasin: 55) Yakni merasa kagum dengan kenikmatan yang mereka alami. Hal yang sama telah dikatakan oleh Qatadah.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa arti fakihun adalah bersenang-senang. Lihat tafsir Ibnu Kathsir


Gambaran itu bertujuan memotivasikan manusia supaya terus mencari keredaan Allah Subhanahuwata'ala.



Bacalah al-Quran dengan memahami maknanya termasuk ayat berkaitan keindahan syurga Allah Subhanahuwata'ala yang disediakan buat hamba-Nya yang beriman.


Mulakan tadabbur al-Quran dengan membaca terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa yang kita fahami.


Kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara untuk mengumpul sebanyak mungkin kebaikan bagi melayakkan diri mendapat rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahuwata'ala.


Amalan yang dilakukan manusia belum tentu melayakkan dirinya mendapat syurga kerana segalanya bergantung kepada rahmat-Nya.


Persoalannya, sejauh mana manusia menginginkan syurga Allah Subhanahuwata'ala? Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan perihal syurga menerusi firman-Nya, 


 وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa". Ali-Imran ayat 133.


Imam al-Qurtubi menjelaskan ayat itu dalam Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, katanya: “Para ulama menjelaskan bahawa syurga telah tercipta dan telah ada sekarang.


‘Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

 “…yang disediakan untuk orang yang bertakwa". Ali-Imran ayat 133


Dan keyakinan seperti itu telah ada keterangan secara jelas dalam hadis yang menceritakan tentang Israk Mikraj. Baik yang terdapat dalam Sahihayn (Sahih al-Bukhari dan Shahih Muslim) mahupun kitab hadis lainnya. Diantara hadithnya, 


عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ


Maksudnya:"Dari 'Imran bin Husain dari Nabi ﷺ, "Aku mendatangi, syurga maka kulihat kebanyakan penduduknya adalah para faqir dan aku mendatangi neraka maka aku lihat kebanyakan penduduknya para wanita".


Ayat 133 dari surah Ali-Imran itu memberi kefahaman bahawa syurga Allah Subhanahuwata'ala sudah ada ketika ini dengan segala kenikmatan disediakan Allah Subhanahuwata'ala untuk para hamba-Nya yang berjaya.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي الْجَنَّةِ مِائَةُ دَرَجَةٍ مَا بَيْنَ كُلِّ دَرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ الْأَرْضِ وَالسَّمَاءِ وَالْفِرْدَوْسُ أَعْلَاهَا دَرَجَةً وَمِنْهَا تُفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ الْأَرْبَعَةُ وَمِنْ فَوْقِهَا يَكُونُ الْعَرْشُ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ. حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ نَحْوَه


Maksudnya:"Dari 'Ubadah bin Ash Shamit Rasulullah ﷺ bersabda, "Di syurga ada seratus tingkat, jarak antara masing-masing tingkat seperti antara bumi dan langit dan Firdaus adalah syurga tertinggi, darinya empat sungai surga memancar, di atasnya 'arsy, bila kalian meminta kepada Allah, mintalah Firdaus". Riwayat Tirmizi(2454)


Kadangkala mulut manusia mengatakan dirinya inginkan syurga namun perbuatan yang dilakukannya tidak mencerminkan apa yang diucapkan lidahnya.


Dalam Surah ar-Rahman, Allah Subhanahuwata'ala menyatakan keadaan syurga dengan cukup jelas. Antaranya, 


فِيهِمَا عَيْنَانِ تَجْرِيَانِ


Maksudnya:"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir". Al-Rahman ayat 50.


Kemudian firman Allah Subhanahuwata'ala, 


 فِيهِمَا مِنْ كُلِّ فَاكِهَةٍ زَوْجَانِ


Maksudnya:"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan”. Al-Rahman ayat 52.


Firman Allah Subhanahuwata'ala pada ayat seterusnya, 


مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ فُرُشٍ بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ ۚ وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ


Maksudnya:"Mereka baring di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua surga itu dapat (dipetik) dari dekat". Al-Rahman, ayat 54)


Pada ayat 56 surah ar-Rahman pula, Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan mengenai bidadari syurga: 


فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ


Maksudnya:"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam juga menjelaskan mengenai syurga dalam sabdanya, 


كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ إِذَا مَاتَ طَائِرٌ يَعْلُقُ بِشَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يُرْجِعَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّه


Maksudnya:"Ka'ab bin Malik sampai berita kepadanya (dari seseorang), Ka'ab bin Malik berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Roh seorang mukmin jika meninggal, akan terbang dan bergantung di pohon syurga sampai Allah Tabaroka Wa Ta'ala mengembalikan kepada jasadnya pada Hari Allah membangkitkannya."

Riwayat Ahmad(15217)


Nikmat melihat Allah Subhanahuwata'ala adalah nikmat syurga yang paling agong. Ini  merupakan sebesar-besar kelazatan (al-lazzah al-kubra) yang akan menyebabkan sekalian ahli syurga lupa kepada nikmat-nikmat yang lain. Oleh kerana itu,sekalian Muslimin hendaklah menjadikan nikmat melihat Allah Subhanahuwata'ala ini sebagai dorongan utama untuk memasuki syurga. Nikmat melihat Allah Subhanahuwata'ala ini merupakan sebesar-besar nikmat berbanding nikmat-nikmat material yang lain. 


Ulama Ahlussunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa melihat Allah Subhanahuwata'ala adalah suatu yang tidak mustahil dari sudut aqal, dan wajib pula melalui dalil-dalil sam’iy. Mereka juga bersepakat bahawa orang-orang mu’min akan melihat-Nya di akhirat kelak.


Antara dalil yang paling jelas lagi nyata ialah firman Allah Subhanahuwata'ala:


وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ﴿٢٢﴾ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ﴿٢٣


Maksudnya: Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; (22) Melihat kepada Tuhannya. (23)

Al-Qiyamah ayat 22-23.


Begitu juga dengan firman-Nya:


لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ


Maksudnya: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia".Yunus ayat 26.


Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda:


إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ - قَالَ - يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ - قَالَ - فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ


Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?” Lalu Allah Subhanahuwata'ala membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.

Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187)


Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman di tempat yang lain:


لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ


Maksudnya: Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Qaf ayat 35.


Begitu dengan firman-Nya:


كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ


Maksudnya: Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dan terhalang daripada Tuhan mereka.

All-Mutoffifin ayat 15.


Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa menurut Imam al-Syafi’e, ayat ini menjadi dalil bahawa  para wali Allah Subhanahuwata'ala akan melihat-Nya dalam keadaan Dia redha kepada mereka. (Rujuk Ma’rifah al-Sunan wa al-Atsar 1/191)


Selain itu, tsabit juga hadith riwayat Jarir bin Abdillah R.A:


كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ ‏ "‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ


Maksudnya: Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.

Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)


Begitu juga dengan hadith riwayat Abdullah bin Umar R.’Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


تَعَلَّمُوا أَنَّهُ لَنْ يَرَى أَحَدٌ مِنْكُمْ رَبَّهُ حَتَّى يَمُوتَ


Maksudnya: Ketahuilah, bahawa tiada seorangpun dari kalian yang akan melihat Tuhannya sehinggalah setelah dia meninggal dunia". Riwayat Muslim (2930)



Berkenaan dengan cara atau kaifiat melihat Allah Subhanahuwata'ala, ia merupakan perkara ghaib.  Cukuplah dengan keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak serupa dengannya walau apa pun, sepertimana firman-Nya:


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ


Maksudnya: Tiada suatupun yang sama dan sebanding dengan-Nya

All-Syura ayat 11.


Begitulah kehebatan Allah Subhanahuwata'ala menciptakan syurga dengan segala kenikmatan luar biasa untuk hamba-Nya yang taat.


Semua gambaran syurga pada ayat al-Quran dan hadith itu perlu dihayati supaya ia dapat memotivasikan diri untuk menggandakan amal ibadat.


Sekiranya masih ada lagi umat Islam terpesona dengan kenikmatan dunia, maknanya dia belum memahami hakikat kenikmatan syurga Allah Subhanahuwata'ala.


Semua manusia layak mendapat ganjaran syurga asalkan setiap perintah Allah Subhanahuwata'ala dipatuhi dengan kesedaran bahawa kehidupan di dunia adalah untuk bercucuk tanam bagi meraih hasilnya dengan ganjaran syurga nanti.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...