Tuesday, June 1, 2021

Mengenal ahli Syurga dan ahli Neraka

Mengenal ahli Syurga dan ahli Neraka

Seseorang itu akan melakukan pekerjaan mengikut apa yang biasa dilakukannya. Jika dia membiasakan dirinya dengan berbuat baik, melakukan amal ibadah serta meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah maka senantiasalah dia akan membuat kebaikan dan jika dia membiasakan diri dengan kejahatan maksiat dan tidak patuh kepada perintah Allah,maka senantiasalah dia akan berbuat kejahatan.


عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُعْرَفُ أَهْلُ الْجَنَّةِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَلِمَ يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ قَالَ كُلٌّ يَعْمَلُ لِمَا خُلِقَ لَهُ أَوْ لِمَا يُسِّرَ لَهُ


Dari Imran bin Hushain menuturkan; ada seorang laki-laki mengatakan; 'Wahai Rasulullah, apakah penghuni syurga dan penghuni neraka telah diketahui/dikenali? ' 'Ya' jawab Nabi ﷺ. Orang tadi bertanya lagi; 'lantas apa gunanya orang beramal? ' Nabi menjawab, "Setiap orang mengamalkan sesuai dengan kehendak penciptannya, -atau- kepada yang dimudahkan baginya." Bukhari 6017


Menurut hadith di atas pada suatu ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, adakah manusia di atas dunia ini mengenali sama ada di kalangan mereka itu tergolong di antara ahli syurga atau neraka. Baginda mengiyakan pertanyaan itu, disusuli oleh pandangan para sahabat, untuk apakah lagi manusia beramal sedangkan sudah diketahui bahawa mereka sebagai menghuni syurga atau neraka. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjawab bahawa setiap orang akan dipermudahkan Allah jalan manakah yang menjadi pilihan mereka. Umpama telah berkata sesetengah ulama bahawa setiap kali kedengaran azan, manusia itu sedang memilih sama ada menjadi ahli syurga atau neraka dan sesungguhnya ahli syurga akan bersegera untuk mendirikan solat. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


{مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ}


Malsudnya: "Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?" Mereka menjawab, "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin". Al-Muddatstsir ayat 42-44.


Setiap amalan sama ada perbuatan atau ucapan  seseorang hamba Allah itu boleh menjadi tanda ke atas dirinya sendiri sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Kecenderungan dan minatnya juga boleh menjuruskan dirinya menjadi penghuni syurga atau neraka di akhirat nanti. 


Manakala orang-orang kafir dan munafiq sudah akan ke neraka. Sebagai firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا



Maksudnya:"....Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam". Al-Nisa ayat 140


Manakala Mukmin yang melakukan atau cenderung hati ke arah kebaikan sudah tentu bakal menjadi ahli syurga.


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar". Al-Buruj ayat 11


Manakala mereka yang melakukan maksiat atau cenderung hatinya ke arah maksiat maka sudah tentu akan ke neraka sebagai membalas segala dosa mereka. 


Justeru itu mereka yang melakukan perbuatan mencuri, penzina, perasuah, penjudi, peminum arak dan lain-lain pengamal dosa besar. Mereka yang barangkali orang-orang yang kita kenal peribadinya atau kita tahu fe’elnya. Selama mereka tidak bertaubat dan tidak diampun Allah akan dosa-dosa mereka maka mereka tetap ahli neraka.


وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا


Maksudnya:"dan Kami akan menghalau orang-orang yang durhaka ke neraka Jahannam dalam keadaan dahaga". Maryam ayat 86.


Ahli-ahli syurga pula sudah tentu mereka yang taat kepada perintah Allah, hamba-hamba Allah yang soleh dan mendapat rahmat serta keampunan-Nya. Mereka juga dapat dikenali melalui kerja buat dan ucapan seharian mereka. Sifat ahli syurga yang dapat dilihat di dunia juga termasuk ialah di kalangan manusia yang suka melakukan kebaikan. Mereka membuat perkara-perkara yang baik tanpa perlu diminta untuk melakukannya, dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan walaupun berdepan dengan kesusahan dan halangan.


Firman Allah Subhanahuwata'ala


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya:"Dan orang-orang yang berjihad(orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh) untuk kami (kerana memenuhi kehendak agama Kami/mencari keredhaan), benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik". Al-'Ankabut Ayat 69



No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...