Sunday, May 30, 2021

Menghadapi wabak dari perspektif Sunnah dan Syahid bagi Mukmin yang mati kerana wabak.

Menghadapi wabak dari perspektif Sunnah dan Syahid bagi Mukmin yang mati kerana wabak. 


Dimulakan dengan firman Allah Subhanahiwata'ala :


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا


Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” Surah al-Ahzab ayat 21.


Maksud sunnah:

Ahli hadith dan ahli usul bersepakat mengatakan bahawa sunnah adalah setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan ataupun persetujuan (iqrar) daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Para ulama berbeza pendapat tentang pengertian ath-tha’un(الطاعون) dan al-waba’(الوباء). Waba' atau epidemic bermaksud penyakit yang tiba-tiba merebak secara mengejut di dalam suatu kawasan geografi di luar yang amat membimbangkan di kawasan tersebut. 

Ada ulama yang menganggap kedua-duanya itu sama dan ada pula ulama yang membezakan antara keduanya.

Menurut pakar bahasa arab dan pakar kesihatan, al-waba’ (wabak) adalah penyakit yang menular pada suatu wilayah, yang mana penyebarannya cepat dan meluas. Sedangkan ath-tha’un adalah wabak yang menyebar lebih luas dan menimbulkan kematian. Inilah pengertian ath-tha’un menurut pakar bahasa dan ulama fikh.


Para ulama sekarang menganggap bahawa virus corona(Covic 19) termasuk dalam kategori ath-tha’un.


Menurut pandangan WHO pula bahawa virus corona (Covic 19) termasuk dalam ertikata pandemik, oleh itu ianya lebih jelas bagi kita menyebutnya sebagai ath-tha’un(الطاعون).


Menghadapi wabak dari perspektif Sunnah:


1-Isolasi,kuarantin dan lockdown


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang mana Aisyah r.aha pernah bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam berkenaan ath-tha’un(الطاعون). 


عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا أَخْبَرَتْهُ أَنَّهَا سَأَلَتْ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الطَّاعُونِ فَأَخْبَرَهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى مَنْ يَشَاءُ فَجَعَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فِيهِ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَمْ يُصِبْهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ.


Maksudnya:"Dari Aisyah isteri Nabi Sallallahu'alaiwasallam berkata; 'Ia memberitahu bahawasanya ia bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaiwasallam tentang wabah tha`un, maka Nabi Sallallahu'alaiwasallam memberitahunya, "Tha`un adalah sebuah azab yang dikirimkan oleh Allah 'Azza wa Jalla terhadap siapa saja yang Dia kehendaki, lalu Allah menjadikannya rahmat bagi orang-orang mukmin. Tidak ada seorang hamba yang terkena wabah tha`un di tempat tinggalnya, lantas ia berdiam diri di dalamnya dengan sabar dan berharap pahala, ia tahu bahwa Tha`un tidak akan menimpanya kecuali yang telah ditetapkan Allah padanya, melainkan hamba tersebut akan mendapatkan seperti pahala orang yang syahid". Riwayat Ahmad(23222)


عَنْ أَبِي النَّضْرِ عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّاعُونُ آيَةُ الرِّجْزِ ابْتَلَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ نَاسًا مِنْ عِبَادِهِ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَفِرُّوا مِنْهُ هَذَا حَدِيثُ الْقَعْنَبِيِّ وَقُتَيْبَةَ نَحْوُهُ


Maksudnya:"Dari Abu An Nadhr dari 'Amir bin Sa'd bin Abu Waqqash dari Usamah bin Zaid dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Tha'un (penyakit menular/wabah kolera) adalah suatu peringatan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menguji hamba-hamba-Nya dari kalangan manusia. Maka apabila kamu mendengar penyakit itu berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu masuk ke negeri itu. Dan apabila wabah itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, jangan pula kamu lari daripadanya." Dan Hadith Qutaibah seperti itu juga". Riwayat Muslim(4109)


يُحَدِّثُ سَعْدًا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا فَقُلْتُ أَنْتَ سَمِعْتَهُ يُحَدِّثُ سَعْدًا وَلَا يُنْكِرُهُ قَالَ نَعَمْ


Maksudnya:"Bercerita kepada Sa'd dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bahawa beliau bersabda, "Apabila kalian mendengar wabah tha'un di suatu negeri, maka janganlah kalian masuk ke dalamnya, namun jika ia menjangkiti suatu negeri, sementara kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar dari negeri tersebut". Riwayat Bukhari (5287)


أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ خَرَجَ إِلَى الشَّامِ فَلَمَّا جَاءَ سَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الْوَبَأَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّامِ فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ فَرَجَعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِنْ سَرْغَ


Maksudnya:"Bahawa Umar bin Khattab keluar menuju Syam, ketika dia sampai di Sargha, terdengar khabar bahawa wabak penyakit menyebar di Syam. Lalu Abdurrahman bin Auf mengkhabarinya bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, "Jika kalian mendengar (wabak) di suatu daerah maka janganlah kalian memasukinya. Jika (wabak itu) berada di suatu negeri, dan kalian berada di dalamnya maka janganlah kalian keluar melarikan diri darinya." Lalu Umar bin Khattab meninggalkan Sargha. Riwayat Malik (1393)


Dari petunjuk hadith-hadith di atas menunjukan  dengan jelas bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaiwasallam melarang seseorang untuk masuk ke suatu daerah yang sedang terjadi wabak penyakit di daerah tersebut. Begitu juga saat wabak itu menyerang, sedangkan ia berada di dalam daerah yang terkena wabak itu, maka ia tidak boleh keluar dari daerah itu.


Hal ini adalah salah satu cara Rasulullah dalam mengatasi suatu wabak agar penyakit itu tidak menular ke daerah lainnya. Masuk ke daerah yang sedang dijangkiti wabak penyakit bererti mengundang datangnya penyakit ke dalam tubuh. Menghindarkan diri dari memasuki daerah tersebut pula adalah usaha awal untuk mencegah diri dari terkena penyakit tersebut. Adapun orang yang berada di daerah wabak, tidak diperkenankan keluar dari daerah tersebut kerana dikhawatirkan akan membawa wabak penyakit tersebut keluar daerah tersebut.


Daerah yang terkena wabak penyakit hendaklah diisolasi atau dikuarantin dari pergaulan dengan daerah lain. Cara menghindari wabak adalah dengan menjaga kesihatan, memakai masker, physical distancing serta menghindari diri dari orang ramai. Sikap menghadapi wabak itu bukan dengan dilawan, tapi dihindari. Bagi yang sudah terkena virus corona(covic 19), maka hendaklah diubati semampunya.


2-Penjarakan sosial(social distance) 


Dalam isu ini, terdapat sebuah hadith yang menunjukkan perintah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam agar menjauhi pesakit kusta yang merupakan salah satu penyakit berjangkit. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :


وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ


Maksudnya : Dan larilah kamu dari pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari singa. Riwayat Al-Bukhari (5707


Dalam hadith yang lain, 


وَعَنْ أَبِي سَلَمَةَ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ بَعْدُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ


Maksudnya:"Setelah itu Abu Salamah mendengar Abu Hurairah mengatakan; Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, "Janganlah (unta) yang sakit dicampurbaurkan/mendatangi dengan yang sihat." Riwayat Bukhari (5328)


Ibn Battal  menukilkan kata-kata Ibn Habib yang menyebut : Demikian juga dilarang bagi mereka yang dijangkiti penyakit kusta dari memasuki masjid serta dilarang bercampur dengan orang ramai sebagaimana yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab bahawa beliau pernah melihat seorang perempuan yang dijangkiti kusta mengerjakan tawaf di Baitullah, lalu beliau berkata :


يَا أمَةَ الله، اقْعُدِي فِى بَيتِكِ وَلَا تُؤذِي النَّاس


Maksudnya : Wahai hamba Allah, duduklah kamu di rumah kamu dan janganlah kamu menyakiti orang ramai.


Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (9/413)


Inilah juga yang menjadi pegangan para ulama Al-Syafi’eyyah iaitu menghalang mereka yang dijangkiti penyakit berjangkit dari memasuki masjid atau tempat berkumpulnya orang ramai. Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Imam Al-Syafi’e berkata :


وَقَدْ نَقَلَ الْقَاضِي عِيَاضٌ عَنْ الْعُلَمَاءِ أَنَّ الْمَجْذُومَ وَالْأَبْرَصَ يُمْنَعَانِ مِنْ الْمَسْجِدِ وَمِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ وَمِنْ اخْتِلَاطِهِمَا بِالنَّاسِ


Maksudnya : Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan pendapat dari para ulama yang menyatakan bahawa seseorang yang menghidap penyakit kusta dan sopak dihalang dari masuk ke dalam masjid dan (dihalang) mendirikan solat Jumaat serta tidak dibenarkan bercampur dengan orang ramai. Rujuk Asna Al-Mathalib, Zakaria Al-Ansari (1/215).


Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam menjelaskan sebab larangan tersebut adalah kerana takutkan kemudaratan darinya (penyakit yang berjangkit) maka ketika ini perbuatan menghalang tersebut menjadi wajib. Rujuk Al-Fatawa al-Fiqhiyyah Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Haitami (1/212).


Ada sebuah riwayat daripada Al-Zuhri bahawasanya Umar Ibn al-Khattab R.A pernah berkata kepada Mu’aiqib (Ibn Abi Fathimah Al-Dausi) R.A yang dijangkiti penyakit kusta dengan katanya :


اجْلِس مِنِّي قَيْدَ رَمْحٍ


Maksudnya : Duduklah dengan kadar panjang galah jaraknya dari aku.


Manakala ada sebuah riwayat lagi dari Kharijah bin Zaid beliau berkata :


كَان عُمَر إذَا أتى بِالطَّعَامِ وعِندَهُ مُعَيْقِيب قَالَ كُلْ مِمَّا يَلِيكَ، وَايمُ الله لَو غَيركَ بِهِ مَابِكَ مَاجَلسَ مِنِّي على أدنى مِن قَيدِ رَمْحٍ


Maksudnya : Umar dahulu apabila dihidangkan makanan kepadanya dalam keadaan di sisi beliau ada Mu’aiqib beliau berkata : ‘’Makanlah dari apa yang hampir dengan kamu. Demi Allah sekiranya orang lain selain kamu dengan penyakit ini nescaya aku tidak akan benarkan duduk berhampiranku kurang dari panjang sebatang galah jaraknya’’.


Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (9/413)


3-Tidak berjabat tangan(bersalam) 


Hal ini adalah dapat dilihat berdasarkan perbuatan Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amru dari bapanya beliau berkata :


كَانَ فِي وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ارْجِعْ فَقَدْ بَايَعْتُكَ


Maksudnya : Dahulu dari kalangan delegasi Tsaqif terdapat seorang lelaki yang dijangkiti kusta. Lalu Nabi Sallallahu'alaiwasallam menyampaikan ucapan kepadanya : ‘’Pulanglah kamu, sesungguhnya aku telah menerima bai’ah kamu’’. Riwayat Al-Nasa’ie (4182)


Maka jelaslah daripada hadith ini bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam tidak berbai’ah sebagaimana kebiasaan baginda iaitu berjabat tangan, namun memadai dengan pemakluman lisan sahaja apabila melibatkan seseorang yang dijangkiti penyakit kusta.


Ini menunjukan amalan sunnah berjabat salam itu tidak dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam apabila berhadapan dengan situasi wabak atau penyakit yang merbahaya ini. 


4-Tidak solat Jumaat dan solat berjamaah. 


Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh takut dijangkiti virus tersebut. Syeikh Ali al-Qaradaghi menyebut keharusan tersebut perlulah disyaratkan bahawa ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata.


Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam :


مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ


Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar orang yang melaungkan azan maka tidaklah yang keuzuran menghalangnya dari mengikutinya (hadir solat berjamaah)”. Para sahabat bertanya : “Apa maksud uzur ?”. Jawab Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam: “Ketakutan atau sakit".Riwayat Abu Daud (551) dan al-Daraqutni (1/420)


Dan ketakutan itu ada tiga jenis. Iaitu takut ke atas diri sendiri, takut ke atas harta benda, dan juga takut ke atas ahli keluarga. Justeru, berdasarkan apa yang telah disebutkan maka dibolehkan untuk meninggalkan solat Jumaat dan juga solat berjamaah ketika tersebarnya wabak (seperti Covid 19) kerana ia merupakan suatu yang menakutkan.


Akan tetapi ia dengan syarat ketakutan itu hendaklah suatu yang telah ditahqiqkan bukan semata-mata berdasarkan waham (sangkaan). Ini kerana meninggalkan yang wajib tidak dibenarkan kecuali setelah ghalabah zhan (sangkaan yang kuat). Ataupun disebabkan arahan dari ulil amri (pemerintah) dan juga ahli ikhtisas (golongan yang pakar).


Syeikh Muhammad al-Zuhaili juga menyebut, “Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/497)


Jika berlaku sesuatu perkara yang menyebabkan sehingga tidak boleh melaksanakan solat jumaat atau solat secara berjemaah di masjid, maka Islam memberi keringanan kepada Muslim untuk solat dirumah dengan syarat-syarat tertentu. Justeru kerana haram hukumnya jika meninggalkan solat jumaat dengan sengaja tanpa alasan yang munasabah.


Perbuatan ini pernah diperintahkan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dan terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam beberapa peristiwa;


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ الْوَهَّابِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْحَمِيدِ صَاحِبُ الزِّيَادِيِّ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ قَالَ خَطَبَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ

فِي يَوْمٍ ذِي رَدْغٍ فَأَمَرَ الْمُؤَذِّنَ لَمَّا بَلَغَ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ قَالَ قُلْ الصَّلَاةُ فِي الرِّحَالِ فَنَظَرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ فَكَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا فَقَالَ كَأَنَّكُمْ أَنْكَرْتُمْ هَذَا إِنَّ هَذَا فَعَلَهُ مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي يَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهَا عَزْمَةٌ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُحْرِجَكُمْ وَعَنْ حَمَّادٍ عَنْ عَاصِمٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْحَارِثِ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ نَحْوَهُ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ كَرِهْتُ أَنْ أُؤَثِّمَكُمْ فَتَجِيئُونَ تَدُوسُونَ الطِّينَ إِلَى رُكَبِكُمْ


Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami 'Abdullah bin 'Abdul Wahhab berkata, telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdul Hamid sahabatnya Az Zayadi, ia berkata, aku mendengar 'Abdullah bin Al Harits berkata, "Pada suatu hari ketika jalan penuh dengan air dan lumpur akibat hujan, Ibnu 'Abbas menyampaikan khutbah kepada kami. Saat muazin mengucapkan 'Hayya 'Alashshalaah' (Marilah mendirikan solat) ia perintahkan kepadanya untuk mengucapkan: 'Solatlah di tempat tinggal masing-masing'. Maka orang-orang pun saling memandang satu sama lain seakan mereka mengingkarinya. Maka Ibnu 'Abbas berkata, "Seakan kalian mengingkari masalah ini. Sesungguhnya hal yang demikian ini pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik dariku, yakni Nabi ﷺ. Dan sesungguhnya itu merupakan kewajipan ('azimah) dan aku enggan untuk mengungkapkannya kepada kalian." Dan dari Hammad dari 'Ashim dari 'Abdullah bin Al Harits dari Ibnu 'Abbas seperti itu. Hanya saja ia menambahkan bahwa Ibnu Abbas berkata, "Aku tidak mahu untuk membuat kalian berdosa, kalian mendatangi solat sementara lutut kaki kalian penuh dengan lumpur. " Riwayat Bukhari (628)



5-Suruhan basuh tangan atau sanitize(membersihkan) 


Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan kesejahteraan kepada kita semua.


Amalan baik dan kebersihan dari segi rohani dan jasmani adalah disukai oleh Allah Subhanahuwta'ala. Firman Allah Subhanahuwta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 222:


إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ


Maksudnya:“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”


Mencuci tangan adalah merupakan salah satu dari sunnah Nabi Sallallahu'alaiwasallam yang sangat utama dan kerap beliau kerjakan. Diantaranya:


Suruhan membersihkan tangan apabila berwudhu:


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْبِغْ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الْأَصَابِعِ


Maksudnya:"Rasulullah ﷺ bersabda, "Sempurnakanlah wudhu dan bersihkan sela-sela antara jari-jari". Riwayat Ibn Majah (442)


Suruhan membersihkan tangan apabila mandi junub:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ يَبْدَأُ


Maksudnya:"Rasulullah ﷺ bila mandi junub, beliau memulainya dengan mencuci kedua tangannya… ".Riwayat al-Nasai(416)


Suruhan membasuh tangan  selepas bangun tidur, 


وإذا استيقظ أحدكم من نومه فليغسل يديه قبل أن يدخلهما في الإناء ثــلاثا ، فــإن أحــدكم لا يــدري أين بــاتت يــده


Maksudnya“Dan apabila seseorang bangun daripada tidurnya ,hendaklah ianya membasuh kedua tangannya 3 kali

sebelum ia memasukkannya (tangan) ke dalambekas yang berisi air (kolam).Kerana sesungguhnya ,ia tidak tahu dimana tangannya berada (semasa tidur).”

Riwayat Bukhari (162) dan Muslim (278)


Hadith di atas menyebutkan tentang suruhan membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam kolam atau apa sahaja bekas yang mengandungi air atau memegang apa sahaja benda-benda yang basah. [Taisir al-‘Allam syarh ‘Umdatul Ahkam , m/s : 20]


Suruhan membasuh tangan sebelum dan seleas makan, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alaiwasallam :


فليتوضَّأْ إذا حضر غداؤُه


Maksudnya : “hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan)". Riwayat Ibn Majah (3260)


Juga sabda Nabi Sallallahu'alaiwasallam :


بَرَكةُ الطَّعامِ الوُضوءُ قَبلَه، والوُضوءُ بَعدَه


Maksudnya : “Keberkatan makan itu ialah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya". Riwayat Abu Daud (3761)


Imam al-Nawawi mengatakan bahawa berwuduk pada hadith tersebut bermaksud membasuh tangan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/405)


Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali menyatakan bahawa membasuh tangan sebelum makan hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270.


6-Suruhan berubat(Vaksin juga adalah satu cara pengubatan) 


Anjuran Sunnah apabila berlaku sesuatu  wabak atau penyakit supaya ianya dirawat. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa dalil dan juga kaedah-kaedah fekah yang berkaitan dengan hal ini. Antaranya adalah seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :


تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ


Maksudnya : Berubatlah kamu, sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya melainkan satu penyakit sahaja, iaitu ketuaan. Riwayat Abu Daud (3855)


Maka jelas dari hadith di atas arahan dari Nabi Sallallahu'alaihiwasallam untuk seseorang yang ditimpa penyakit supaya berubat. Secara umumnya, perintah yang terdapat di dalam hadith ini menujukkan bahawa berubat ini suatu yang disyariatkan dan hukumnya adalah mustahab (dituntut). Meskipun begitu, dalam beberapa keadaan tertentu hukum berubat boleh menjadi wajib sekiranya diketahui yang ia akan memberikan kebaikan dan jika diabaikan akan mendatangkan kemudharatan kepada pesakit.


Demikian juga penyakit termasuk dalam perkara mudharat yang perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah menyebut :


الضَّرَرُ يُزَال


Maksudnya : Kemudharatan itu dihilangkan.


Mukmin yang mati kerana wabak


Sebagai imbalan bagi orang yang tinggal di daerah terkena wabak penyakit tersebut yang dilarang meninggalkan daerahnya, iaitu Nabi memberikan harapan dan berita gembira sebagai ganti kepada Mukmin yang mati kerana wabak penyakit tersebut, iaitu dengan pahala mati syahid.


Justeru itu jika kita katakan virus corona (Covic 19) termasuk dalam istilah ath-tha’un, maka mukmin yang mati kerana virus corona tergolong syahid.


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Salallahu'alaihiwassalam bersabda,


الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ


Maksudnya:“Orang yang mati syahid ada lima, yakni orang yang mati kerana ath-tha’un (wabak), orang yang mati kerana menderita sakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati kerana tertimpa runtuhan dan orang yang mati syahid di jalan Allah". Riwayat Bukhari(2829) dan Muslim(1914)


Dari ‘Abdullah bin Busr radhiyallahu anhu, bahwa Rasulullah Salallahu'alaihiwassalam bersabda,


الْقَتِيلُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ شَهِيدٌ وَالْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ


Maksudnya:“Orang yang terbunuh di jalan Allah (fii sabilillah) adalah syahid; orang yang mati kerana ath-tha’un (wabah) adalah syahid; orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid; dan wanita yang mati kerana melahirkan adalah syahid". Riwayat Ahmad, 2: 522. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth menyatakan bahwa sanad hadith ini shahih sesuai syarat Muslim).


Dari Jabir bin ‘Atik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Salallahu'alaihiwassalam bersabda,


الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِى يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ


Maksudnya:“Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ‘azza wa jalla itu ada tujuh orang, iaitu korban ath-tha’un (wabah) adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa reruntuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal kerana melahirkan (dalam keadaan nifas atau dalam keadaan bayi masih dalam perutnya, pen.) adalah syahid". Riwayat Abu Daud, no. 3111. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini sahih. Lihat keterangan ‘Aun Al-Ma’bud, 8: 275)


Di antara maksud syahid sebagaimana dikatakan oleh Ibnul Ambari,


لِأَنَّ اللَّه تَعَالَى وَمَلَائِكَته عَلَيْهِمْ السَّلَام يَشْهَدُونَ لَهُ بِالْجَنَّةِ . فَمَعْنَى شَهِيد مَشْهُود لَهُ


Maksudnya:“Kerana Allah Ta’ala dan malaikatnya ‘alaihimus salam menyaksikan orang tersebut dengan syurga. Makna syahid di sini adalah disaksikan untuknya.” (Syarh Sahih Muslim, 2:142, juga disebutkan dalam Fath Al-Bari, 6:42).


Ibnu Hajar menyebutkan pendapat lain, yang dimaksud dengan syahid adalah malaikat menyaksikan bahswa mereka mati dalam keadaan husnul khatimah (akhir hidup yang baik). (Lihat Fath Al-Bari, 6:43)


Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa syahid itu ada tiga jenis:


1-Syahid yang mati ketika berperang melawan kafir harbi (yang berhak untuk diperangi). Orang ini dihukumi syahid di dunia dan mendapat pahala di akhirat. Syahid seperti ini tidak dimandikan dan tidak dishalatkan.


2-Syahid dalam hal pahala namun tidak ditujukan dengan hukum syahid di dunia. Contoh syahid jenis ini ialah mati kerana melahirkan, mati kerana wabak penyakit, mati kerana runtuhan, dan mati kerana mempertahankan hartanya dari rampasan, begitu pula penyebutan syahid lainnya yang disebutkan dalam hadith-hadith sahih. Mereka tetap dimandikan, disolatkan, namun di akhirat mendapatkan pahala syahid. Namun pahalanya tidaklah  seperti syahid jenis pertama.


3-Orang yang khianat dalam harta ghanimah (harta rampasan perang), dalam dalil pun menafikan syahid pada dirinya ketika berperang melawan orang kafir. Namun hukumnya di dunia tetap dihukumi sebagai syahid, iaitu tidak dimandikan dan tidak disolatkan. Sedangkan di akhirat, ia tidak mendapatkan pahala syahid yang sempurna. (Lihat Syarh Shahih Muslim, 2: 142-143).


Dari pembagian Imam Nawawi rahimahullah di atas, jika ada yang mati kerana virus corona, maka ia termasuk dalam golongan syahid yang kedua.











No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...