Sunday, May 23, 2021

Menghidupkan Sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan Rahsia kunci kejayaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Menghidupkan Sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan Rahsia kunci kejayaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam


Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjanjikan melalui hadithnya bahawa orang yang menghidupkan sunnahnya akan bersama Beliau Sallallahu'alaihiwasallam di jannah, sebagaimana sabdanya :


مَنْ أَحْيَا سُنَّتِي فَقَدْ أَحَبَّنِي، وَمَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِي الْجَنَّةِ


Maksudnya:"Barangsiapa menghidupkan sunnahku, maka bererti ia mencintaiku dan barangsiapa yang mencintaiku, maka bererti ia bersamaku di jannah.


Imam Tirmidzi meriwayatkan hadith ini dalam Sunannya (no. 2678) dari jalan :


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيُّ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ المُسَيِّبِ، قَالَ: قَالَ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ، قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا بُنَيَّ، إِنْ قَدَرْتَ أَنْ تُصْبِحَ وَتُمْسِيَ لَيْسَ فِي قَلْبِكَ غِشٌّ لِأَحَدٍ فَافْعَلْ» ثُمَّ قَالَ لِي: «يَا بُنَيَّ وَذَلِكَ مِنْ سُنَّتِي، وَمَنْ أَحْيَا سُنَّتِي فَقَدْ أَحَبَّنِي، وَمَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِي الجَنَّةِ»


Haddatsanaa Muhammad bin Abdullah al-Anshoriy dari Bapaknya dari Ali bin Zaid dari Sa’id ibnul Musayyib ia berkata, Anas bin Malik radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berkata kepadaku : “wahai anakku, jika engkau mampu pada waktu pagi dan petang, tidak ada sedikitpun di hatimu dengki kepada seseorang pun, maka lakukanlah”. Kemudian Beliau Sallallahu'alaihiwasallam bersabda : “wahai anakku yang demikian termasuk sunnahku, barangsiapa yang menghidupkan sunahku, maka berarti ia mencintaiku dan barangsiapa yang mencintaiku, maka berarti ia bersamaku di jannah”.


Imam Tirmidzi melakukan penilaian  terhadap hadith ini, kata beliau :


هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الوَجْهِ، وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِيُّ ثِقَةٌ، وَأَبُوهُ ثِقَةٌ، وَعَلِيُّ بْنُ زَيْدٍ صَدُوقٌ إِلَّا أَنَّهُ رُبَّمَا يَرْفَعُ الشَّيْءَ الَّذِي يُوقِفُهُ غَيْرُهُ


Ini hadith hasan gharib dari jalan ini, Muhammad bin Abdullah al-Anshoriy perawi thiqah, bapanya juga thiqah dan Ali bin Zaid Shoduq, namun terkadang ia memarfu’kan sebuah hadith yang tidak disepakati oleh perawi lainnya.


Imam Syatibiy dalam kitabnya al-I’tishom pun menghasankan hadith diatas.


Dalam hadith yang lain, 


كَثِيرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ الْمُزَنِيُّ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ أَوْزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا بْنِ عَوْفٍ الْمُزَنِيُّ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ أَوْزَارُ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِ مَنْ عَمِلَ بِهَا شَيْئًا


Maksudnya:"Katsir bin 'Amru bin Auf Al Muzani berkata, telah menceritakan kepadaku Bapaku dari Datukku bahawasanya Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, "Barangsiapa menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian orang-orang mengerjakannya, maka ia akan mendapatkan sebagaimana pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala mereka. Dan barangsiapa membuat kebid'ahan, kemudian kebid'ahan itu dikerjakan oleh orang lain, maka ia akan mendapatkan dosa sebagaimana dosa orang yang mengerjakannya tanpa mengurangi sedikitpun dari dosa mereka". Riwayat Ibn Majah (205)


Sunnah dari sudut bahasa adalah jalan atau kehidupan samada ia bersifat terpuji atau sebaliknya. Adapun dari sudut istilah pula terbahagi kepada dua antara definisi ahli hadith dan juga ahli usul:


1-Di sisi ahli Hadith: “Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda Sallallahu'alaihiwasallam samada sebelum perutusan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjadi rasul”. [Lihat: Qawaid al-Tahdith, 61]


2-Di sisi ahli Usul: “Sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam selain daripada al-Qur’an melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda Sallallahu'alaihiwasallam”.

 

Kesimpulannya, ahli hadith dan ahli usul bersepakat mengatakan bahawa sunnah adalah setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan ataupun persetujuan (iqrar) daripada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Hadith yang agung ini menunjukkan keutamaan besar bagi orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, terlebih lagi sunnah yang telah ditinggalkan kebanyakan orang. 


Faedah-faedah penting yang terkandung dalam hadith ini:


1-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah segala sesuatu yang bersumber dari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, baik ucapan, perbuatan mahupun penetapan beliau Sallallahu‘alaihiwasallam, yang ditujukan sebagai syariat bagi umat Islam.


2- Erti “menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam” adalah memahami petunjuk Beliau Sallallahu‘alaihiwasallam, mengamalkan dan menyebarkannya di kalangan manusia, serta menganjurkan orang lain untuk mengikutinya dan melarang dari menyelisihinya.


3- Orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam akan mendapatkan dua keutamaan (pahala) sekaligus, iaitu keutamaan mengamalkan sunnah itu sendiri dan keutamaan menghidupkannya di tengah-tengah manusia yang telah melupakannya. 


4- Allah Ta’ala memuji semua perbuatan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dan menamakannya sebagai “tauladan yang baik“, dalam firman-Nya, 


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا


Maksudnya:"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah". Al-Ahzaab ayat 21. 


Ini menunjukkan bahawa orang yang meneladani sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bererti dia telah menempuh ash-shirathal mustaqim (jalan yang lurus) yang akan membawanya mendapatkan kemuliaan dan rahmat Allah Ta’ala.


Ayat ini juga mengisyaratkan satu faedah yang penting untuk direnungkan, iaitu keterikatan antara meneladani sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dengan kesempurnaan iman kepada Allah dan hari akhir, yang ini bererti bahawa semangat dan kesungguhan seorang muslim untuk meneladani sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam merupakan pertanda kesempurnaan imannya.


Syaikh Abdurrahman as-Sa’di ketika menjelaskan makna ayat di atas, beliau berkata, “Tauladan yang baik (pada diri Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam) ini, yang akan mendapatkan taufik (dari Allah Ta’ala) untuk mengikutinya hanyalah orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan) di hari akhir. Kerana (kesempurnaan) iman, ketakutan pada Allah, serta pengharapan balasan kebaikan dan ketakutan akan siksaan Allah, inilah yang memotivasi seseorang untuk meneladani (sunnah) Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam".


Kegagalan memahami definisi sunnah antara faktor ada dalam kalangan masyarakat yang mengabaikannya dengan alasan ia hanya perbuatan sunat, apabila dikerjakan mendapat ganjaran pahala dan tidak pula berdosa jika ditinggalkan.


Sedangkan, konteks sunnah itu luas merangkumi segala perkara wajib yang perlu dilaksanakan termasuk menunaikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Ramadhan.


Perkara sunat hanyalah sebahagian kecil daripada sunah Nabi.


Antaranya, galakan memberikan senyuman ketika bertemu orang lain kerana ia juga satu sedekah yang memasukkan kegembiraan dalam hati dan mengeratkan ukhuwah.


Menjadikan Nabi Muhammad sebagai role model seterusnya menjunjung sunnah dibawa Baginda sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah Subhanahuwata'ala.


Tidak sukar untuk mencontohi Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam malah amalan yang dilakukan Baginda boleh ditiru dengan syarat seorang itu sentiasa bersungguh-sungguh serta istiqamah melakukannya.


Antara amalan paling mudah dilaksanakan adalah dengan memasang niat yang baik kerana ia akan mendorong kita melakukan perbuatan murni.


Niat adalah amalan hati dan antara sunah yang sangat mudah dilaksanakan.


"Ulama sependapat niat adalah wajib bagi membezakan suatu amalan itu dikira sebagai ibadah atau adat, bahkan ia penting bagi mendidik diri supaya lebih ikhlas melaksanakan ibadah semata-mata kerana Allah Subhanahuwata'ala".


Umat Islam juga dituntut menunaikan sunnah yang wajib dalam kehidupan seperti menuntut ilmu. Selain sunnah wajib, Umat Islam juga sangat digalakkan untuk memperbanyakkan zikir dan berselawat.


Perkara itu boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa.


Alangkah indahnya apabila dalam diri umat Islam terpancar percikan daripada bayangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melalui perlakuan, percakapan serta amalan Baginda yang dicontohi.


Rasulullah sebagai idola,sebagaimana yang kita maklumi bahawa keistimewaan Baginda Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai nabi, pemimpin, ketua keluarga, suami, bapa, sahabat dan jiran. Semua itu adalah panduan untuk kita menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja di dunia, juga akhirat.


Meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan Allah Subhahanuwata'ala yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman kita untuk mencontohi Baginda dalam menjalani kehidupan menuju alam kekal abadi.


Rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, 


* Keperibadian yang unggul


* Akhlak dan perwatakan yang terpuji


* Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan


* Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan.


No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...