Monday, May 3, 2021

Jangan buka aib sendiri. Allah tidak ampuni dosa orang yang buka dan sebar aib sendiri dan jangan buka aib orang lain.

Jangan buka aib sendiri. Allah tidak ampuni dosa orang yang buka dan sebar aib sendiri dan jangan buka aib orang lain. 


Dimulai tulisan ini dengan Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا


Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh". Al-Ahzab ayat 72.


Apabila terdengar orang bercerita tentang amal kebaikan yang dilakukannya, kita tidak hairan kerana itu sememangnya sifat manusia yang suka menunjuk-nunjuk.


Namun, jika ada yang bercerita membuka aib diri sendiri dan berbangga dengan apa yang dilakukannya, sudah tentu kita berasa pelik, bukan?


عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ


Dari Salim bin Abdullah dia berkata; saya mendengar Abu Hurairah berkata; saya mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali orang-orang menampak-nampakkannya(menunjuk-nunjuknya) dan sesungguhnya diantara menampak-nampakkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan amalan di waktu malam sementara Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: 'Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, ' padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah'." Bukhari (5608).


Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang melakukan perbuatan maksiat secara sembunyi-sembunyi contohnya di waktu malam, kemudian Allah menutup aibnya atau seseorang yang melakukan maksiat di rumahnya sendiri kemudian Allah menutup aibnya sehingga manusia lain tidak dapat melihatnya sehingga seandainya ia bertaubat kepada Allah maka jelas hal itu akan baik baginya.


Namun ketika ia menemui hari berikutnya dan bertemu dengan orang lain dia mengatakan: “Aku telah melakukan perbuatan maksiat ini dan itu”, maka orang yang demikian ini termasuk orang yang tidak akan dimaafkan Allah dosa-dosanya.


Orang ini termasuk Al Mujaahirin padahal sebelumnya telah Allah tutup aibnya.


Mengakui kesalahan adalah perlu kerana ia memberi makna mendalam ketika kita memohon kemaafan. Ia juga membantu kita untuk lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Namun, menguar-uarkan secara umum bahawa kita melakukan sesuatu dosa atau kesalahan tidak digalakkan kerana ia membuka aib diri sendiri serta aib orang lain yang terbabit sama.


Sadisnya, masih ramai suka mendedahkan dosa sendiri dengan alasan manusia tidak lari daripada melakukan dosa. Dosa bukan untuk ditayang atau diumum secara terbuka kerana pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang menyesali dosa dan kesilapan.


عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ النَّاسُ عَلَيْهِ


Dari Nawwas bin Sam'an Al Anshari, bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam tentang kebaikan dan dosa. Maka beliau bersabda: "Sesungguhnya kebaikan itu adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa itu adalah apa yang menggelisahkan hatimu dan kamu benci jika manusia mengetahuinya". Riwayat Ahmad (16975)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ؛ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ... وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ


Maksudnya:"....Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat…. Riwayat Muslim(4867)


Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka keaiban sama ada diri sendiri ataupun keaiban orang lain secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita.Tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan, aib itu diuar-uarkan kepada umum.


Dengan kecanggihan teknologi yang ada pada ketika ini membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas terutamanya melalui aplikasi telefon mudah alih dan juga media-media sosial.


Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya.


Tetapi awas, kecanggihan itu sebenarnya boleh menjadi penyebab kita akan disoal di akhirat kelak jika apa yang disampaikan atau disebarkan bersifat fitnah dan boleh mengaibkan.


عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ؛ صَعِدَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمِنْبَرَ فَنَادَى بِصَوْتٍ رَفِيعٍ فَقَالَ يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الْإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ


Dari Ibnu Umar ia berkata; Rasulullah Sallallaahu'alaihiwasallam menaiki mimbar lalu menyeru dengan suara yang lantang: "Wahai sekalian orang yang telah Islam dengan lisannya namun keimanan belum tertancap di hatinya, janganlah kalian menyakiti kaum muslimin dan jangan pula kalian memperolok mereka, jangan pula kalian menelusuri dan membongkar(membuka) aib mereka, maka barang siapa yang menyelidiki aib saudaranya seIslam nescaya Allah akan menyelidiki aibnya dan barang siapa yang aibnya diselidiki aibnya oleh Allah niscaya Allah akan membongkar(membuka) aibnya meskipun di dalam rumahnya sendiri". Riwayat Tirmizi (1955).


Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya.


Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.


Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk.


Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video kelakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang sehinggakan membuka aib isteri atau suami juga dilarang dalam Islam.


Maka kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini dengan menyebarkan aib orang lain seharusnya ia memikirkan keadaannya pada hari kiamat kelak kerana pada hari itu Allah akan bertanyakan mengenai diri mereka dan bukan orang lain.


Sebab itu pada hari kiamat nanti manusia akan mengatakan (nafsi nafsi) iaitu diriku diriku disebabkan di atas muka bumi mereka sibuk dengan keaiban orang lain sehingga mereka lupa akan keaiban diri mereka sendiri.


Hal yang disebut di atas adalah merupakan perkara yang ditegah dan dilarang dalam Islam melainkan kita menggunakan saluran yang betul seperti mana kata Imam Nawawi dalam menceritakan perilaku seseorang dibenarkan seperti berikut:


1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.


2. Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar dengan saluran yang betul.


3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.


4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.


5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan tanpa segan silu di hadapan orang ramai dan bukan dibuat secara sembunyi-sembunyi.


6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.


Sebagai penutupnya, 


Iman bukan sekadar membawa erti percaya, sebaliknya mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota.

No comments:

Post a Comment

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah  ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam. Secara umumnya...