Wednesday, April 21, 2021

Puasa tingkatkan integriti

Puasa tingkatkan integriti

Integriti menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) 1985 ialah “kejujuran dan ketulusan”, kesempurnaan, ‘keutuhan’. Ini bermaksud integriti adalah sifat “jati diri” yang merangkumi  juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang  kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain.


Secara ringkasnya, integriti ada dua bahagian iaitu integriti individu dan integriti  organisasi. Namun tulisan ini hanya membincangkan tentang Integriti individu  yang merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Ini bermakna, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.


Sempena ketibaan bulan Ramadan yang berkat, seluruh umat Islam di pelosok dunia menunaikan ibadah puasa yang wajib secara serentak. Ini bermakna pada siang hari hampir keseluruhan umat Islam di dunia menahan lapar, menjaga adab-adab puasa dan pada waktu malam pula melakukan pelbagai ibadah sunat bagi penambahbaikan kualiti puasa wajib itu.

 

Berdasarkan sambutan menyeluruh umat Islam itu, maka adalah jelas bahawa program puasa adalah perancangan tahunan luar biasa yang ditetapkan Allah Subhanahuwata'ala bagi mentransformasikan akhlak manusia. Inilah keberkatan dan keistimewaan bulan Ramadhan.

 

Allah Subhanahuwata'ala menetapkan piawaian kualiti puasa bahawa natijah dan objektif puasa ialah mewujudkan manusia yang bertakwa, 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ



Maksudnya:"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Al-Baqarah ayat 183.

 

Ketika mengulas lanjut natijah puasa ini, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberi peringatan dalam sebuah hadith, “Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

 

Persoalan besar timbul mengapa terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi gagal mencapai natijah yang ditetapkan. Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan faktor nafsu memainkan peranan besar dalam membangunkan taraf kemanusiaan. Nafsu ini mempengaruhi tingkah laku dan akhlak manusia.

 

Menurut Imam Ghazali, dalam diri manusia pada dasarnya terdapat tiga jenis nafsu. Pertama, nafsu ammarah: iaitu mempunyai kecenderungan melakukan kejahatan. Nafsu ini juga dikenali sebagai nafsu binatang. Kedua, Lawwamah: perjuangan jiwa yang wujud kecenderungan untuk membuat pertimbangan baik dan buruk. Ketiga, Mutmainnah: jiwa yang telah menemui rentak positif dan berusaha memperkukuhkan unsur positif sebagai budaya hidup kerana nyata memberi kebahagiaan kepada manusia.

 

Tingkah laku manusia dipengaruhi bagi memenuhi kehendak nafsu kendiri yang selalu bergerak-gerak. Nafsu ini sentiasa bergerak bagi memenuhi keperluan fisiologi (keperluan asas kehidupan), ketenteraman hidup, mendapat kasih sayang, penghargaan diri dan kemuncaknya ialah penyempurnaan kendiri mutlak.

 

Penyempurnaan kendiri yang tidak ada penghujung inilah yang menyebabkan manusia hilang kawalan, menjadi rakus, tamak haloba dan akhirnya menyumbangkan kepada kejatuhan integriti manusia kepada tahap kemanusiaan yang paling jijik.

 

Kecelaruan nafsu yang membawa kerakusan kendiri menghasilkan natijah manusia yang tidak beradab. Manusia yang tidak beradab inilah menjadi punca penularan gejala sosial seperti makan rasuah, menyalahguna kuasa, penagihan dadah, Aids, berzina, mengaku sebagai Tuhan atau Rasul Allah, orang jahil mengeluarkan fatwa, orang jahil mentafsir al-Quran, hadith sesuka hati dan pelbagai perbuatan negatif lain.

 

Pada dasarnya manusia yang tidak beradab ini adalah manusia palsu kerana telah hilang akidah, hilang sifat kemanusiaan, tidak bertamadun, dan menggugat kesucian Islam.

  

Terdapat perkaitan yang kuat antara integriti dengan takwa. Berdasarkan takrif integriti, ternyata integriti adalah sebahagian daripada ciri-ciri takwa kerana ia termasuk dalam sifat-sifat terpuji dalam Islam. Untuk mencapai natijah manusia yang bertakwa dan berintegriti bukanlah perkara mudah. Ia tidak boleh dihasilkan melalui teori, berkursus, berseminar, bengkel atau persidangan semata-mata. Ia memerlukan tekad dan kesungguhan manusia itu sendiri iaitu melakukan jihad melawan nafsu yang menjadi musuh utama manusia.

 

Jihad mempunyai pengertian yang luas. Jihad secara bahasa bermakna mengerahkan tenaga yang maksimum untuk menghapuskan musuh. Menurut Said al-Buti, jihad ialah usaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan akidah, membina masyarakat Islam dan mempertahankan Islam.

 

Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Allah memberi masa selama sebulan untuk kita berpuasa dan berjihad yang dikira cukup menewaskan nafsu (ammarah, lawwamah) dan memantapkan nafsu mutmainnah.


يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ.ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً


Maksudnya:"Hai jiwa yang tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya".Al-Fajr Ayat 27.


Dijelaskan oleh Ibnu ‘Abbas, nafsu muthmaninnah adalah nafsu yang membenarkan ketuhanan Allah. Sedangkan menurut Qatadah, nafsu muthmaninnah adalah nafsu seorang mukmin yang yakin terhadap janji-janji Allah, tenang berada di pintu makrifat kepada asma dan sifat-sifat-Nya, yakin terhadap segala yang dikabarkan rasul-Nya, percaya atas apa yang terjadi di alam barzakh dan hari akhir. Kerana yakinnya, ia melihat semua perkara yang dijanjikan Allah seakan-akan nyata dan berada di depan matanya.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ 


Maksudnya : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”. Al-‘Ankabut ayat 69.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


 أَفْضَلُ الْجِهَادِ أَنْ يُجَاهَدَ الرَّجُلُ نَفْسَهَ وَ هَوَاهُ 


Maksudnya:"(Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad [berjuang] melawan dirinya dan hawa nafsunya), maka hadits ini derajatnya shahih. Diriwayatkan oleh Ibnu An-Najjar dari Abu Dzarr Radhiyallahu anhu. Juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dan Ad-Dailami. Sahih Al-Jami’ush-Shaghîr, no 1099, 


Berdasarkan pengajaran al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, jihad memantapkan nafsu mutmainnah memerlukan pelaksanaan disiplin puasa yang ketat seperti berikut:


* Berniat secara ikhlas,

* Memelihara adab-adab dan perkara yang membatalkan puasa,

* Menghidupkan ibadah pada waktu malam (qiamullail),

* Banyak membaca al-Quran dan memahaminya,

* Banyak bersedekah,

* Banyak bermujahadah seperti beriktikaf, berzikir dan bertaubat,

* Makan makanan dan rezeki halal; dan

* Kurangkan makan dan tidak membazir.

Berdasarkan besar peranan jihad melawan nafsu ini, maka terdapat ulama mengatakan bahwa jihad nafsu adalah jihad utama yang menjadi penggerak membangunkan tamadun ummah dan keamanan dunia.

 

Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Manusia adalah sebaik-baik makhluk kejadian Allah dan pada prinsipnya bersifat bersedia untuk menerima perubahan. Sempurna kedatangan bulan Ramadhan yang berkat ini, maka marilah kita mengerahkan anak-anak dan keluarga kita mengambil peluang untuk berjihad melawan nafsu bagi menentukan kita menjadi manusia yang bertakwa, berintegriti, beradab dan kekal dengan sifat-sifat kemanusiaan.

 

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...