Tuesday, April 20, 2021

Dosa meninggalkan solat dan azabnya dihari akhirat kelak.

Dosa meninggalkan solat dan azabnya dihari akhirat kelak. 

Perintah mendirikan solat lima waktu sehari semalam bermula saat berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. 


Solat adalah merupan rukun Islam yang kedua yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim lima waktu dalam sehari semalam. Secara istilah, solat ertinya perbuatan ibadah yang diawali dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.


عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ


Dari Ali radliallahu 'anhu dia berkata; Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Kunci solat adalah bersuci, yang mengharamkannya (dari segala ucapan dan gerakan di laur solat) adalah takbir, dan yang menghalalkannya kembali adalah salam". Abu Daud (56)


Di dalam solat terdapat gerakan dan ucapan-ucapan tertentu. Gerakan-gerakannya terdiri dari berdiri tegak, rukuk, sujud, duduk, dan lain sebagainya. Sedangkan ucapan-ucapannya terdiri dari bacaan-bacaan Al-quran, takbir, tasbih, tasmi', dan doa.


Kewajipan solat ini tergambar dalam firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 43:


وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ


Maksudnya:"Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk. 


Menurut al-Imam Abu al-Husain al-Subki bahawa ayat ini dalil ijab (mewajibkan) solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta`dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun daripada sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal. Rujuk Bahrul Muhit (2/59) oleh Imam Badruddin al-Zarkasyi.


Firman-Nya lagi:


حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ


Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk".Al-Baqarah ayat 238.


Firman-Nya lagi:


وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ


Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar”.

Al-Bayyinah ayat 5.


Perkataan “hunafa” dalam ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang berada dalam keadaan istiqamah terhadap agama mereka, lalu Allah menyuruh mereka untuk beribadah kepadanya dengan ikhlas sebagai syarat ketika melaksanakan solat dan mengeluarkan zakat.

Rujuk al-Hawi al-Kabir (2/3) oleh Imam al-Mawardi



Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam:


بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ


Maksudnya: “Dibina Islam atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)


Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Dibina Islam ertinya diasaskan, dan penggunaan perkataan bina, seperti mana yang diletakkan dalam hadis, untuk merujuk kepada kepada perkara-perkara yang boleh dicerap secara fizikal (mahsusat), untuk memberi maksud kiasan. Hubungannya adalah persamaan. Islam itu disamakan dengan binaan yang hebat dan kukuh. Tiang-tiangnya siap dengan pasak-pasak yang teguh lagi kukuh untuk menampuk bangunan tersebut".Rujuk al-Fath al-Mubin (189)


Daripada Muadz bin Jabal RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ


Maksudnya: “Tunjang segala urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat.”


Riwayat al-Tirmidzi dalam Sunan-nya (no. 2616) dengan sanad yang hasan (baik)


Dalam sehari semalam, terdapat lima solat yang wajib dikerjakan oleh seorang muslim, mencakupi solat Subuh, solat Zuhur, solat Asar, solat Magrib, dan solat Isya. Bagi lelaki muslim pula, pada hari Jumaat, solat Zohor digantikan dengan salat Jumaat.


Daripada Talhah bin Ubaidillah R.anhu bahawa Rasulullah Salallahu'alaihiwasallam bersabda:


خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي اليَوْمِ وَاللَّيْلَةِ


Maksudnya: Ada lima solat (yang wajib didirikan) pada siang malam.

Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)


Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.


Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً


Maksudnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh". Maryam ayat 59-60)


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ


Maksudnya: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya". Al-Ma’un ayat 4-5)


Iaitu lalai daripada menunaikan solat serta mensia-siakan solat.


Nabi Salallahu'alaihiwasallam telah bersabda:


إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ


Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.”


Riwayat al-Tirmizi (413), Ahmad (8017), Abu Daud (864) dan Ibn Majah (1425)


Allah Subhanahuwata'ala telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah Subhanahuwata'ala:


مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ


Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu".  Al-Mudassir ayat 42-48.


Nabi Salallahu'alaihiwasallam bersabda lagi:


الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ


Maksudnya: “Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.”

Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)


Dan Nabi Salallahu'alaihiwasallam juga bersabda:


وبين الشرك والكفر ترك الصلاة


Maksudnya: “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir, iaitu meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)


Yang memberi makna bahawa jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkarinya akan membawa kepada kafir. Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sabda Nabi Salallahu'alaihiwasallam:


مَنْ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعَصْرِ حَبِطَ عَمَلُهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat asar, maka sia-sialah amalnya.”

Riwayat al-Bukhari (553)


Sabda Nabi Salallahu'alaihiwasallam lagi:


مَنْ تَرَكَ الصلاةَ متعمِّدًا فقَدْ بَرِئَتْ منْهُ ذِمَّةُ اللهِ


Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas dari perlindungan Allah.”

Riwayat al-Baihaqi (14895) dan Ahmad (28007)  


Nabi Salallahu'alaihiwasallam bersabda lagi:


أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ


Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah Subhanahuwata'ala.”

Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (20)


Nabi Salallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ حافظَ عليْهَا كانَتْ له نورًا وبرهانًا ونجاةً يومَ القيامةِ، ومَنْ لمْ يحافظْ عليهَا لمْ يكنْ لَهُ نورٌ ولا برهانٌ ولا نجاةٌ وحُشِرَ يومَ القيامةِ معَ فرعَونَ وهامانَ وقارونَ وأُبَيِّ بنِ خلفٍ


Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.”

Riwayat Ahmad (6540) dan al-Darimi (2721)

No comments:

Post a Comment

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tah...